Jumaat, 30 November 2012

Gambaran Nagawangsa dalam Veda


Rigveda

Menurut catatan Rigveda yang merupakan kitab suci orang Brahmana, Naga disebut sebagai sejenis bangsa. Mereka mempunyai raja-raja mereka dan kesatria mereka sendiri. Terdapat gambaran tentang dewa ular, Ahiwritra dalam ayat-ayat Rigveda yang berbunyi ahi yang bermaksud ular. Perkataan Ahibudhna atau ular di kaki bukit disebut sebanyak 12 kali dalam Rigveda. 

Menurut sarjana, Oldenberg, air merupakan sejenis ular dan menurut Macdonell, ular-ular adalah rupa Ahiwritra yang dianggap sebagai dewata. Dapat disimpulkan dari Rigveda bahawa Ahibudhana itu adalah seorang dewa ular yang dipuja juga oleh orang Brahmana di kawasan itu.

Gambaran tentang Writra juga diulang-ulang dalam Rigveda. Dia merupakan musuh ketat betara Indra dan dia akan dibunuh akirnya. Dia juga dikenali sebagai dasyu, dasa, asura dan ahi. Naga yang agung sekali menurut pujangga veda adalah Writra Sarpa yang boleh menghalang air sungai. Dalam Atharvaveda dan sastera-sastera terkemudian kaum Brahmana, disebut juga Ahi bersama dengan Writra. Ahi merupakan gelaran kepada raja-raja Naga dan juga kepada rakyat ular. Bagi menyokong pandangan ini, terdapat banyak bukti dari sastera Sanskrit seperti Amargosha dalam kandam pertama yang mana dalam senarai ada tersebut perkataan ahi. Dalam kamus bahasa Hindi Nalanda, maksud Ahi adalah ular dan merujuk kepada Writrasura. Dalam kamus bahasa Sanskrit-Hindi Apte, maksud Ahi adalah jenis ular sawa. Dalam Rigveda VII-50-1 sehingga 3 menyatakan bahawa Ahi ini adalah ular yang berbahaya. Pusat kebudayaan dan pemerintahan bangsa Naga pada abad purba pertengahan adalah di Ahicchhattra di Uttara Pradesh yang terletak di daerah Barrielly. Jadi nampak bahawa Ahi merupakan panggilan kepada raja wangsa Naga ketika itu, bernama Writra.  

Atharwaveda

Sarjana sejarah dan budaya purba terkenal, Dr. Bhagawatasharana Upadhyaya menyatakan bahawa setengah seloka dalam Atharwaveda (V-13-6 sampai 10) merupakan rujukan kepada raja-raja Naga Suryani iaitu Aligi dan Viligi. Ini menunjukkan bahawa pemujaan Naga dalam tradisi Brahmana dan amalan totem di India purba adalah sama dengan di Syria.   

Sejarah Nagawangsa

Lal Pradhaman Singh menulis sejarah Nagawangsa. Beliau mendakwa bahawa naga ini berasal dari Maharesi Kasyapa, iaitu bapa kepada Surya yang darinya turun salasilah Suryawangsa yang berkasta kesatria lalu kemudian berkembang di India purba. Dunia bawah dikenali sebagai petala merupakan tempat tinggal naga-naga dan Anantha sebagai maharaja kepada naga, sarpa, uraga dan pannaga. Kitab veda tidak menyebut tentang pengenalan kaum Kesatria purba sebagai Suryawangsa, Chandrawangsa, Nagawangsa atau Agniwangsa. Purana yang membina semula salasilah semua kesatria ini. Nagawangsa mencapai kedudukan dewa-dewa kerana ciri-ciri baik yang ditunjukkan dalam amalan, tabiat dan sikap mereka. Purana menyebut para naga bersama dengan dewa-dewa. Purana pula menyebut tentang banyak kerajaan naga. Pada zaman purba, para naga pernah memerintah hampir seluruh kawasan India purba manakala ibu kota mereka bertempat di Mathura, Padmawati dan Kantipuram. 

Dalam bab ke-29 buku "India pada Abad Gelap", raja naga Takshaka disebut sebagai raja Gajwakatra. Dalam bab ke-42 buku yang sama disebut republik wangsa Naga ini memanjang dari wilayah timur Punjab sampai ke Ganga dan republik Yodhya lalu mengunjur sampai ke Rajastan. Menurut kepada sarjana Buddha India, Dr. B. R. Ambedkar yang ditulis ucapannya oleh kerajaan wilayah Maharashtra bil. 18 bahagian ke-3, menyatakan bahawa Nagapuram adalah hak milik wangsa Naga. Brahmana Nagara juga dikatakan berasal dari sana.        

Semasa kemuncak zaman pemerintahan raja-raja naga, mereka pernah menghantar tentera ke negara-negara lain lalu menawannya. Dalam banyak tempat di India purba, kawasan tersebut dikatakan berada dalam pemerintahan nagawangsa seperti raja Takshaka dan raja Tushta. Selain itu, ada banyak lagi cabang naga lain seperti Karkotakawangsa, Sheshawangsa, Sindiwangsa, Vasugiwangsa, Kushanawangsa, Baishawangsa dan Saindhawawangsa. Kumpulan manusia di India purba ini mengembangkan wangsa mereka menurut sistem pemujaan dewa dan naga. 

Pemuja para dewa misalnya dewa Indra dikenali sebagai Aindra, pemuja Varuna sebagai Varun, pemuja Mitra sebagai Maitreya, Maitraka atau Mitraa, pemuja dewa Siva sebagai Siwi atau Saiwaya, pemuja Marut sebagai Marut, pemuja Gandarwa sebagai Gaandarwa, pemuja Shesha sebagai Sheshma, pemuja Karka sebagai Karkotaka, pemuja Naga sebagai Naga atau Nagil.       

Tiada ulasan:

Catat Ulasan