Khamis, 15 November 2012

Penelitian tentang Tuhan dalam Aliran Buddha


Abhidhamma Pitaka

Dalam tradisi Abhidhamma aliran Theravada, perdebatan tentang Tuhan wujud atau tidak tak pernah dihubungkaitkan dengan pelajaran agama tapi dalam Abidhammakosa dari aliran Sarvastivada, Vasubhandhu pernah membicarakan dengan giatnya tentang ketidakwujudan pencipta, sebab alam semesta ini tak ada permulaannya.

Bhikku dari dinasti Tang di empayar China pada abad ke-7 M, Xuanzang pernah tinggal di Nalanda mempelajari kitab ajaran Buddha. Di sana, dia hanya mempelajari tentang "Kesedaran" yang diturunkan dari Asanga dan Vasubhandhu melalui rahib-rahib di Silabhadra. Dalam karya pemahamannya, Vignaptimatratasiddhisastram atau Cheng Weishi Lun, Xuanzang menolak fahaman falsafah Hindu berkenaan Maheswara atau Brahma Agung yang dianggap sebagai kewujudan diri dan Dewata Pencipta Maha Berkuasa yang menjadi Pemerintah kepada semua kewujudan atau makhluk:

"Menurut kepada satu ajaran, ada dewata kewujudan diri yang hebat yang zatnya benar dan menembusi segalanya, abadi dan menghasilkan segala pancaran kejadian. Ajaran ini tidak lah munasabah. Jika sesuatu itu menghasilkan sesuatu, maka ia tidak lah abadi, dan yang tidak abadi itu tidak lah menembusi segalanya, dan yang tak menembusi segalanya itu tidak lah benar-benar wujud. Jika zat dewata itu menembusi segalanya dna abadi, maka ia mestilah mengandungi segala kuasa dan mampu menghasilkan segala pancaran kejadian yang wujud di mana-mana sahaja, bila-bila masa pun dan beriringan. Jika ia menghasilkan pancaran kejadian menurut kepada kehendak yang timbul atau menurut keadaan, makanya ia berlawanan lah dengan ajaran penyebab tunggal. Atau, kehendak dan keadaan yang timbul secara semula jadinya kerana penyebab itu abadi. Ajaran lain mendakwa bahawa ada nya Brahma agung, Masa, Ruangan, Titik Permulaan, Sifat, Zat dan Diri yang abadi dan wujudnya hakikat dipindahkan semua kuasa kepadanya dan mampu menghasilkan segala kejadian. Kami menolak semua ini sama seperti kami menolak konsep Maheswara". 

Aliran Mahayana

Dalam tradisi Pramanna, Dharmmakirtti mengetengahkan beberapa hujah yang berlawanan dengan kewujudan dewata yang mencipta dalam Pramannavarika sama juga seperti Vasubandhu. Kemudian, cendekiawan aliran Buddha Mahayana seperti Shantarakshita dan Kamalasila meneruskan tradisi ini. Sesetengah tradisi Mahayana dan Dzogchen dalam agama Buddha bagaimanapun ada menekankan tentang "tapak makhluk" atau tathagatagarbha yang merupakan falsafah monisme tersurat. Ia menjelaskan bahawa "tapak makhluk" tersebut wujud dan tak pernah termusnah dalam semua makhluk dan kejadian. Untuk mengelakkan kekeliruan, mereka ini sebenarnya merujuk kepada Brahma dan Brahma pada pandangan ajaran Buddha bukan lah pencipta alam semesta. Tathagatagarbha Suttam secara mutlaknya ada menyebut tentang pandangan ini.    

Tatahagatagarbha, Dharmmakaya dan Tuhan

Aliran Mahayana tak seperti aliran Theravada, ada membicarakan tentang pikiran menggunakan istilah seperti Tathagatagarbha atau "rahim bagi yang akan datang pada masa hadapan". Pengesahan tentang kekosongan oleh istilah positif secara radikalnya berbeza dengan ajaran Buddha awal Buddha tentang anatta dan penolakan untuk menggambarkan atau mengkonkritkan sebarang Hakikat Tertinggi

Dalam tradisi Tathagatagarbha, Sang Buddha dikenali dengan Dharmmakaya, iaitu Hakikat Tertinggi, yang mempunyai kualiti-kualiti seperti Tuhan iaitu abadi, tak mudah difahami, kekal tak berubah sejak azali. Prof. C. D. Sebastian dalam penelitian karya Hindu purba, Uttaratantra telah menghasilkan tulisan akademiknya mengenai kajian ajaran Tathagatagarbha menulis tentang bagaimana Sang Buddha yang didewatakan dan dipuja serta disifatkan sebagai pengasih, penyayang dan terjelma di dunia dalam bentuk kegiatan penyelamatan bagi membebaskan makhluk dari kesengsaraan. Prof. Sebastian menambah lagi bahawa dalam tradisi ini, walaupun Sang Buddha dipuja dan dianggap layak menerima pujaan tetapi baginda tak pernah dianggap sebagai Tuhan atau Sang Pencipta alam semesta:    

"Aliran Mahayana bukan sahaja aliran berfalsafah yang diikuti oleh para intelek tetapi pengikutnya juga rajin memuja... dalam aliran Mahayana, Sang Buddha dianggap sebagai Tuhan atau Hakikat Tertinggi yang turun ke bumi dalam rupa manusia demi kebaikan manusia. Konsep Buddha sebagai setara dengan Tuhan seperti dalam tata kepercayaan agama yang bercakap tentang Tuhan bukan menyentuh tentang penciptaan alam semesta sebaliknya menyentuhnya sebagai jelmaan Kasih Sayang Tuhan yang berasaskan karuna atau belas kasihan mengangkat kesengsaraan manusia seluruhnya. Dia dipuja dengan sesungguhnya... Dia mewakili Paramartha Satyam atau Yang Mutlak hanya Yang Tunggal dan tiada banyak sarva prapanchantavinirmuktam. Tiada awal tiada pertengahan dan tiada pengakhiran... abadi dan tak pernah berubah... Dan Dia diwakili oleh Dharmmakaya".

Menurut Tathagatagarbha Suttam, Buddha mengajarkan kewujudan zat rohaniah yang dipanggil sebagai sifat Buddha atau Tathagatagarbha. Ia wujud dalam semua makhluk dan kejadian. Dr. B. Alan Wallace menulis mengenai ajaran ini:

"Sifat asas dalam seluruh sengsara dan nibbhana itu adalah ruangan mutlak (dhatu) Tatagatagarbha. Tapi ruangan ini bukanlah satu ruangan yang dikelirukan dengan hanya kewujudan mata benda. Sebaliknya, ruangan mutlak ini diilhamkan dengan pengetahuan tak terbatas, belas kesian, kuasa dan kegiatan pencerahan Sang Buddha. Tambahan lagi, ruangan cerah ini menyebabkan munculnya dunia berkejadian dan ia tak lain dan tak bukan sifat pikiran seseorang yang secara semula jadinya cerah bercahaya".   

Dr. Wallace menulis lagi tentang bagaimana Buddha yang permulaan, Sang Buddha Samantabhadra yang dalam kitab-kitab dipandang sebagai salah seorang Tathagatagarbha, membentuk tapak yang bersinar cemerlang dalam kedua-dua sengsara dan nibbhana. Dr. Wallace menyedari tentang perkembangan dalam ajaran Buddha dari ajaran berkenaan bhavanga atau aliran pemikiran sehingga kepada pemutlakan Tathagatagarbha, beliau mengulas bahawa mungkin nampak terlalu ringkas untuk mentakrifkan ajaran Buddha sebagai tak bertuhan atau ateis apabila melihat kembali semua unsur-unsur ajaran ini:

"Samantabhadra, iaitu Buddha awal yang sifatnya dikenali dengan Tatagatagarbha dalam setiap makhluk berkesedaran, merupakan tapak mutlak kepada sengsara dan nibbhana; dan seluruh alam semesta ini kosong tak lain dan tak bukan mempamerkan kesedaran kosong, bersinar dan tak berpenghujung. Dalam pemahaman perkembangan teori dari bhavanga sehingga tatagatagarbha sampai kepada hikmah purba mengenai ruangan hakikat mutlak, ajaran Buddha bukannya boleh mudah-mudah dicap sebagai tak bertuhan kalau cuma dilihat sekali imbas". 

Aliran Vajrayana

Dalam setengah tradisi Mahayana, Buddha dipuja dan dipandang sebagai dewata kelihatan di mata yang mempunyai ciri-ciri ghaib dan kuasa. Dr. Guang Xing menulis: "Buddha dipuja oleh pengikut aliran Mahayana sebagai dewata berkuasa yang dikurniakan dengan sifat-sifat ghaib dan ciri-ciri keghaiban... Dia digambarkan sebagai hampir berkuasa dan hampir mendekati ciri Tuhan". 

Cendekiawan Buddha, B. Alan Wallace juga seperti diterangkan menyatakan bahawa ajaran Buddha sebagai seluruhnya "tak bertuhan" mungkin nampak sebagai pandangan yang sambil lewa sahaja. Wallace menampilkan beberapa persamaan antara bentuk ajaran Buddha aliran Vajrayana dan sebutan tentang "tapak makhluk" dan ciptaan. Beliau menulis: "penelitian berhati-hati tentang teori kewujudan aliran Vajrayana, utamanya seperti yang ditampilkan oleh tradisi Atiyoga dalam aliran Vajrayana Indo-Tibet mendedahkan teori tapak makhluk yang menyeluruh dan proses penciptaan yang mempunyai persamaan dengan pandangan Vednta dan teori-teori penciptaan alam Neoplato dalam ajaran agama Kristian di Barat. Hakikatnya juga, Dr. Wallace memandang pandangan-pandangan ini sebagai sangat bersamaan dan setiap satunya cuma jelmaan berlainan bagi teori yang satu". Beliau mengulas lagi: "Aliran Vajrayana, falsafah Vedanta dan Neoplato mempunyai banyak persamaan sehingga ia boleh dianggap sebagai penafsiran pelbagai bagi satu teori". 

Cendekiawan dan rahib Buddha Tibet dari tradisi Jonang, Dol Popa menyebut bahawa zat rohaniah sejagat atau neumenon (dharmmakaya) wujud dalam semua makhluk berkesedaran. Beliau memetik dari Sutra Rahsia Tak Tercapai bagi Yang Pergi

"... ruangan ada dalam semua rupa... sama juga, jasad bagi yang sudah pergi (Buddha) juga berada dalam semua rupa makhluk... contohnya, semua penampilan rupa termasuk dalam ruangan. Sama juga, semua penampilan makhluk berkesedaran juga termasuk dalam jasad yang sudah pergi iaitu Buddha sebagai Dharmmakaya".

Dol Popa kemudian memetik kitab Buddha apabila menulis tentang zat rohaniah sejagat atau neumenon sebagai "Atas Diri Tertinggi dalam Semua Kesinambungan" dan sebagai "Diri yang selalu berada dalam semua, sebagai diri semua".

Yogachara dan Yang Mutlak

Seorang sarjana lain pula melihat kepada Kemutlakan Kesedaran seorang Buddha. Dr. A. K. Chatterjee menulis: "Yang Mutlak itu adalah kesedaran tanpa duaan. Ia adalah hakikat dan hanya hakikat... Tak ada kesedaran yang mutlak kecuali kesedaran itu adalah mutlak". 

Tafsiran tradisional Tibet berkenaan Yogacara ini ditolak oleh sarjana Barat seperti Kochumuttom, Anacker, Kalupahana, Dunne, Lusthaus, Powers dan Wayman. Sarjana Dan Lusthaus menulis: "Para Yogacari tidak menumpukan kepada kesedaran untuk menekankan bahawa ia pada akhirnya hakikat tetapi kerana ia adalah penyebab kepada masalah karma yang mereka cuba cari untuk menghapuskan nya". Para Yogacari mendakwa bahawa kesedaran itu hanya hakikat sejak ia timbul daripada saat ke saat kerana turun naiknya penyebab dan keadaan.

Dhyana dan Yang Mutlak

Nama lain bagi yang tak berkurang, masa dan ruang meliputi rahsia Kebenaran atau Zat Hakikat Buddha ada disebut dalam teks Mahayana dan Tantra. Ia dirujuk sebagai Dhammakaya atau Tubuh Kebenaran. Daripada ini, Guru ajaran Buddha Dhyana, Sokei An berkata:

"... dharmmakaya itu persamaan nya dengan Tuhan... Buddha juga bercakap tanpa ada ruang masa dan ruang tempat, yang mana jika aku membuat satu bunyi dalam satu saat itu sama dengan sejuta tahun. Ia tak beruang seperti gelombang radio, seperti ruangan elektrik. Ia semulajadi. Sang Buddha berkata bahawa dalam cermin itu terpapar kesedaran. Dalam ruangan elektrik sejuta batu dan satu titik penanda. Sejuta tahun dan sesaat adalah sama. Ia murni pada zat... Kita panggil nya sebagai "kesedaran asal" atau "akasha asal" atau mungkin juga Tuhan menurut pemikiran orang Kristian. Aku tak berani bercakap tentang sesuatu yang aku tak biasa dengan nya. Tiada siapa tahu siapa kah Ia...

Lanjut lagi Sokei An berkata: "Kuasa pencetus alam semesta ini bukan lah jenis manusia; ia adalah Buddha atau Yang Cerah. Dan yang Mendengar itu bukan mata atau telinga ini tapi adalah kesedaran ini. Ini adalah Buddha. Ini yang muncul dalam setiap pemikiran. Ini yang biasanya ada pada setiap makhluk berkesedaran dan berperasaan. Ia itu lah Tuhan".        

Guru Dhyana aliran kecil Rinzai, Soyen Shaki bercakap kepada orang Amerika pada awal abad ke-20 semasa berbincang tentang bagaimana dalam zat nya fikiran tentang Tuhan ini tak wujud dalam ajaran Buddha, apabila ia difahami sebagai Hakikat Terakhir Kebenaran.

"Biar aku jelaskan, bahawa ajaran Buddha bukan ajaran yang ateis atau tak percaya ke Tuhan sebagaimana ia selalu dikenal oleh orang ramai. Ia ada bertuhan, Kebenaran dan Hakikat Tertinggi itu lah Dia. Melalui-Nya juga alam semesta ini terwujud. Walau bagaimanapun, pengikut ajaran Buddha mengelakkan istilah Tuhan disebabkan ia akan mengelirukan penganut Buddha dengan ajaran Kristian. Hal nya disebabkan pemahaman orang Kristian terhadap Tuhan berbeza dengan penganut Buddha. Penganut Buddha sering bercakap berdasarkan pengalaman rohaniah persendirian sedangkan penganut Kristian akan bercakap mengenai sesuatu hal itu dengan hanya hal yang mereka dengar-dengar... Untuk mentakrifkannya lebih lanjut, sebutan penganut ajaran Buddha terhadap fahaman mereka bagi Yang Tertinggi itu, adalah sesuai untuk kita gunakan istilah yang digabungkan oleh sarjana Jerman iaitu Panentheisme. Seperti aku perjelas di awalnya, penganut ajaran Buddha tak pernah menggunakan istilah Tuhan sebab ia digunakan oleh penganut agama Kristian dan itu adalah istilah mereka. Yang digunakan oleh penganut Buddha untuk merujuk ke Tuhan adalah Dharmmakaya... Apabila Dharmmakaya diperjasadkan maka ia menjadi Sang Buddha atau Tathagata.."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan