Rabu, 16 Januari 2013

Makara Sankranti 2013


Hari Isnin yang lepas iaitu 14 Januari masuk lah ke peristiwa Magara Sangkranti bagi tahun 2013. Perayaan ini ini merupakan rentetan perayaan yang berlaku dalam pelbagai kebudayaan di kawasan benua India. Ia merupakan tarikh bermulanya perayaan menuai bagi masyarakat Hindu dan Hindu-Buddha. Masyarakat Tamil di negara aku merayakan perayaan Ponggal iaitu mereka mula memasak nasi meruap yang ditambah dengan susu dan kacang-kacang. Pastinya sedap, terasa nak mencuba pula, haha... Di Siam dan Kemboja, perayaan ini dikenali sebagai perayaan Songkhran.

Magara Sankranti mempunyai kaitan dengan ilmu nujum, apabila matahari masuk ke bintang Capricorn atau Magara. Tarikh ini sentiasa malar tiada berubah menurut kepada penanggalan Gregoria. Walau bagaimanapun, belahan kepada paksi bumi atau ayanamsa menyebabkan magara sangkranti terbelah jauh sehingga berabad-abad. Seribu tahun lampau, magara sangkranti dirayakan pada 31 Disember dan kini ia jatuh pada 14 Januari pula. 5000 tahun kemudian, ia akan jatuh pada penghujung bulan Februari, sementara 9000 tahun kemudiannya, ia akan dirayakan pada bulan Jun.  

Sementara penanggalan Hindu tradisional berdasarkan kepada sistem lunar, Sangkranti mengikut kepada sistem solar. Maka tarikh perayaan Hindu akan berubah pula menurut sistem penanggalan sama seperti penanggalan Gregoria. Jadi tarikh magara sangkranti akan kekal malar untuk jangka panjang. Magara sangkranti dirayakan menurut bulan Magha dalam penanggalan Hindu.

Banyak orang Hindu menggabungkan perayaan ini dengan titik mula musim sejuk. Mereka percaya bahawa matahari berakhir pada perjalanan pengujung sebelah selatan atau dakshinayana pada Capricorn tropika dan mula bergerak di sebelah utara atau uttarayana menuju ke bintang Cancer tropika dalam bulan Pausha pertengahan bulan Januari. Tiada perayaan bagi titik mula musim sejuk dalam agama orang Hindu. Magara sangkranti memperingati permulaan musim menuai dan kurangnya angin monsun barat laut di sebelah India Selatan.   

Upacara

Sebelah Teluk Bengal, kebanyakan orang akan berkumpul di pertemuan sungai Gangga bagi menjalani upacara mencelup diri dalam Ganga Sagara menjalankan Prayag dan menyembah kepada Surya. Sebelah Gujerat pula, mereka akan menghantar layang-layang kepada Surya. Tindakan ini membawa maksud mencapai Tuhan tercinta yang mewakili segala terbaik. Dalam kawasan pedalaman dan tepian pantai, ada laga ayam macam di Nusantara dan Asia Tenggara semasa perayaan ini. 

Selain itu ada upacara memuja kepada dewi Saraswati bagi turunnya ilmu pengetahuan. Permulaan peristiwa ini, akan ada pemujaan kepada pitar atau nenek moyang. Magara Sangkranti merupakan tempoh pencerahan, keamanan, kemakmuran dan kebahagiaan diikuti oleh tempoh kegelapan, kejahilan rohaniah, dan kemaksiatan dengan kesedihan bersangatan. Enam bulan lamanya pergerakan surya di utara manakala enam bulan lagi di selatan. 

Perayaan Seterusnya 

Nanti ia akan dilanjutkan lagi sampai ke perayaan Thai Pusam bagi penganut dewa Muruga atau Skandha di Tamil Nadu dan bagi masyarakat diaspora Tamil seluruh dunia. Di India Utara pula, penganut Hindu akan berkunjung ke sungai Ganges menjalankan upacara peribadatan bagi perayaan Kumbh Mela.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan