Pada zaman Buddha Gautama, adalah seorang pertapa sedang berusaha keras mengembangkan pemikirannya itu supaya beroleh masuk ke alam para dewata. Berkat usaha kerasnya, dia berjaya membawa dirinya ke sorga pertama, iaitu Sorga Empat Raja Langit. Tujuannya bertemu dewa-dewa adalah untuk bertanyakan soalan yang dalam maknanya iaitu "ke mana perginya empat unsur agung tanpa tinggal sedikit pun kesannya?"
Setibanya di Sorga Empat Raja Langit, dia pun bertanyakan dewa-dewa akan soalan ini. Tiada siapa pun dalam kalangan dewa mengetahui jawapannya. Kata mereka, "Mungkin kamu boleh bertanya pula kepada Empat Raja Langit". Makanya, pertapa pun bertanyakan Empat Raja Langit, namun mereka pun tidak mengetahui jawapannya. Jadi mereka pun mencadangkan pertapa, "Mungkin engkau boleh bertanya kepada 32 dewa di sorga atas ini".
Pertapa pun pulang ke bumi lalu bertapa lagi. Dengan usaha kerasnya, dia berjaya menghantar dirinya ke sorga kedua, iaitu Sorga 32 Dewa. Dia bertanya soalan itu juga kepada dewa-dewa tersebut. Tiada seorang pun mampu menjawabnya. Mereka berkata, "Cuba engkau tanyakan kepada Raja Sakka, iaitu raja kepada 32 dewa". Dia pun berjumpa Raja Sakka, tapi tiada jawapan diperolehi pun. Raja Sakka berkata, "Mungkin engkau boleh tanyakan para Yamma di sorga atas ini".
Pertapa pulang ke bumi dan bertapa lagi sehingga mampu ke sorga tempat Yamma semua bertempat. Tiada siapa pun mampu menjawabnya. Jadi dia pun ke sorga keempat pula. Sampai lah ke sorga paling atas sekali sorga para Brahma, dewa-dewa tinggi. Apabila ditanya kepada para Brahma pun, tidak mampu lah mereka jawab. Kata mereka, "Mungkin kau boleh berjumpa Brahma Agung" iaitu pencipta, tiada tercipta mengetahui segalanya... Pada ketika nama Brahma Agung disebut, muncul lah dia dengan gilang gemilangnya di hadapan semua. "Aku ini Brahma Agung, Pencipta, Tiada Tercipta, Maha Mengetahui...", ucap Sang Brahma. Teruja dengan kehadiran Brahma Agung, pertapa pun bertanyalah soalan tersebut.
Brahma Agung tidak lah menjawab. Sebaliknya berkata, "Aku ini Brahma Agung, Pencipta, Tiada Tercipta, Maha Mengetahui..." Pertapa berasa sedikit kecewa, "Ya benar, wahai Yang Mulia, aku mengetahui engkau itu Brahma Agung, namun aku datang ini bertanyakan soalan kepada mu, ke mana perginya empat unsur utama menghilang tanpa ditemui kesannya?" Tiada jawapan diberikan sebaliknya, yang keluar hanya ucapan awal itu sahaja. Tiga kali banyaknya pertapa bertanya.
Kali ketiga pertanyaan, Brahma Agung tidak berkata apa-apa pun. Dia hanya memegang tangan pertapa dan muncul di penghujung kewujudan. Kata Brahma Agung selepas itu, "Pertapa, kamu nampak semua dewa-dewa di sana? Mereka semua pikir bahawa aku tahu segalanya. Adakah kamu ingin memalukan aku di hadapan semua dewa ini?" Pertapa sedikit terkejut berkata, "Wahai Tuan, jika engkau tidak mengetahui jawapannya, siapa yang tahu lagi?". "Kau ini memang bodoh!", jerkah Brahma Agung. "Sang Buddha berada di bumi untuk menjawabnya, kenapa engkau tidak bertanya kepadanya dan mengganggu aku?".
Pertapa pulang lah ke bumi lalu bertemu Sang Buddha. Sang Buddha tertawa mendengar cetera perjalanan pertapa itu lalu berjenaka dengannya. "Pertapa, pada zaman dahulu, pelayar bergantung kepada burung-burung untuk mengetahui jika ada daratan berdekatan dengan mereka. Mereka akan melepaskan seekor burung. Jika burung kembali, makanya tiada lagi daratan yang berdekatan. Kamu wahai pertapa, sama lah seperti burung itu. Kamu terbang dari kapal, nampak tiada daratan, lalu pulang kepada aku". Pertapa berasa terhibur pula lalu dia pun ketawa bersama dengan Sang Buddha. Selepas itu, Sang Buddha pun menjawab, "Nibbhana itulah tempatnya empat unsur utama menghilang tanpa dikesan". Pertapa pun terus faham dengan jawapan tersebut lalu merasa gembira dan bahagia kerana mendapat jawapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan