Rasanya tidak adil jika kita berbicara tentang Kemboja dan mengenepikan kerajaan Chenla yang wujud sebelum kemunculan samrajiyam Kambuja Desa. Nama Chenla ini sebenarnya panggilan Cina kepada rantau di Kemboja selepas kejatuhan anacakra Funan. Nama ini masih diperguna sehingga satawarsa ke-13 M oleh rajaduta China, Zhou Daguan. Rajaduta China itu menulis catitan Adat Istiadat Kambuja Desam berjudul Cinanya Feng Tu Ji. Setengah sarjana moden menggunakan nama ini bagi merujuk negeri-negeri Khĕmir pada hujung satawarsa ke-6 m sampai awal satawarsa ke-9 M.
Permulaan Panglima-Panglima Dangrek sebagai kawasan pemerintahan kedatuan di sebelah utara dan selatan Gunung Dangrek masihlah kabur-kabur. Putera-putera raja permulaan ada disebut dalam prasasti awal. Prasasti berbahasa Sanskerta tak bertanggal di Wal Kantel, di bhumipada Sĕtung Treng (K.359) mencatat nama raja Wirawarman sebagai ayahanda kepada seorang puteri yang tak tersebut namanya. Baginda puteri berwiwaha dengan lelaki jati Brahmana bernama Somaśarman dan baginda puteri ini adalah adinda kepada Phra Kumara Bhawawarman.
Menurut praṣaṣti dari Čăn Năk’ôn di Basăk di Laos kini (K.363), dinyatakan bahawa raja Wirawarman ini juga merupakan ayahanda kepada Phra Kumara Citrasena yang lebih muda daripada Phra Kumara Bhawawarman. Jelas lah sudah, kedua-dua putera ini mempunyai ibunda yang sama tetapi berbeda ayahanda. Keadaan ini terpapar pada praṣaṣti K.978 di dalam Thailand moden 15° 27’ U, 101° 4’ T yang menjelaskan bahawa Phra Kumara Bhawawarman ini adalah anakanda kepada Prathiwindrawarman dan cucunda kepada seorang Cakrawatin sementara sebuah lagi praṣaṣti di Pak Mun dalam bhumipada Ubon di Thailand (K.496) mencatatkan nama ayahanda baginda Wirawarman itu sebagai Sarwabhauma.
Semua praṣaṣti ini merujuk kepada rantau yang luas diperintah oleh semua raja-raja ini. Dicatat dalam praṣaṣti K.151 dari Robaṅ Romas di Iśanapuram (di tapak carigali di Saṃbor Prei Kuk) bahawa ada seorang bernama Narasiṃhagupta yang merupakan samantanĕrpa atau raja bawahan memerintah di bawah raja bertiga Bhawawarman, Mahendrawarman (nama singgahsana, Citrasena) dan Iśanawarman membuat pasak bagi Kalpawasudewa (Betara Wisnu) pada 13 April 598 M. Peristiwa ini bertembungan dengan rekod Cina lama yang menyebut nama Chenla dalam Pustaka Wangsa Sui catitan Wei Cheng (580-643) pada 636 M. Catitan itu memberi samacara bahawa pada permulaan satawarsa ke-7 M, Chenla diperintah oleh Citrasena dan Isanawarman (aku malas menulis nama Cina mereka kerana aku tak reti). Ibukota terkemudian Chenla di Iśanapuram, manakala raja Bhawawarman I pula bersinggahsana di Bhawapuram, iaitu satu kawasan yang kini berada di Thala Boriwat 13°33’ U, 105°57’ T.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan