Jumaat, 16 Ogos 2013

Jñāna Yoga

Om Swastiastu!


Lama aku tak bersiaran bersama rakan-rakan sekelian. Diharapkan rakan-rakan semua bergembira bercuti walaupun hari cuti yang baru berlalu itu bukan perayaan keagamaan orang Hindu tapi perayaan agama orang lain. Tapi jika sudah namanya cuti maka sudah tentulah boleh bertenang-tenang sebentar. Cubalah tuan budiman sekelian elakkan bercakap hal-hal agama dengan orang-orang beragama Arab tersebut terutamanya juga mereka sedang berada dalam musim sentap menyentap. Baru-baru ini terdapat kes-kes berkaitan dengan agama seperti agama Kristian, ajaran Buddha serta kelompok penganut agama itu sendiri yang "dikatakan" menghina itu dan ini dalam agama mereka menurut acuan pemahaman mereka. Itu bukan tujuan kita mengetik di sini lagipun aku tak berminat nak mengambil tahu hal mereka kerana suka hati mereka lah. Biar sahaja mereka. Kita ini mesti pula memantapkan pengetahuan dharma serta menjalani samskara dharmam supaya jangan kita menjadi ciptaan yang rosak dan kotor.

Pengertian Jñāna

Masukan kita ini adalah tentang Jñāna yoga yang boleh disebut pula dengan pelbagai cara seperti Nyana, Dhyana atau Gyana. Perkataan Jñāna ini membawa pengertian pengetahuan. Makanya Jñāna yoga ini merupakan jalan atau disiplin yang diamalkan bagi pengikut adat-istiadat keagamaan orang Hindu sekelian untuk mencapai pengetahuan benar. Penganut ajaran Buddha turut juga mengamalkan jalan ini yang disebut sebagai Dhyana atau Zen itu. Untuk keselarian pula, ku ceterakan bahawa Jñāna ini sepadanlah dengan Gnostisisme di sebelah Barat seperti di Mesir, Tanah Yunani, Tanah Parsi, Syria dan Iraq. Untuk bandingannya, nanti-nanti sahaja sekiranya aku berkelapangan kerana hal pekerjaan seharian ku ini sudah pun menyebabkan aku terpaksa melanggar beberapa samskara bangsa Brahmana yang menyebabkan aku berasa sesal dan pilu hati. Maka, pada masukan yang ini biar kita ketahui pada dasarnya dahulu. Kemudian baru kita membandingkannya dengan bentuk kefahaman bangsa lain tentang jalan yang ini serta melihat pula kepada ajaran Buddha.  

Matlamat Jñāna Yoga

Seperti yang tersebut menerusi Bhagawadgitam, ahli falsafah Brahmana; Mpu Adi Sangkara sangat-sangat mementingkan jalan ini serta menyatakan bahawa jalan ini adalah jalan mencapai pengetahuan tentang Yang Mutlak itu iaitu Brahman. Manakala Mpu Ramanuja yang mengulas Wisistadwaita menganggap bahawa pengetahuan itu cuma satu syarat sahaja bagi kebaktian.

Sri Begawan Kresna sebagai tercatit dalam Bhagawadgitam (13.3) menyebut bahawasanya Jñāna itu mengandungi pemahaman yang sesuai tentang ksetram atau lapangan kegiatan yang merujuk kepada tubuh kita ini dan juga ksetrajña atau pengenalan bagi tubuh kita itu atau roh yang kita selalu sebut sebagai jiwa menurut langgam bahasa Hindu kita kerana roh itu adalah bahasa Arab. Kemudian Begawan Kresna menekankan lagi dalam Gita (13.35) bahawa pelajar yang mempelajari kecakupan Nya itu mesti memahami dulu beda antara keduanya itu. Mpu Sri Ganapatrao Maharaja Kannur menekankan juga kepentingan kita mengetahui tentang diri kita kerana ia membawa kita kepada mengetahui juga Yang Maha Agung itu dan penting sekali bagi menghapuskan ego atau sikap mementingkan diri sendiri serta kecenderungan kita mengenalpasti diri kita dengan tubuh dan bukan dengan jiwa kita. 

Jalan Berlapis Empat

Adwaita Wedanta yang klasik memperguna sadhana catustaya atau jalan empat lapis bagi melatih para pelajar dan bagi pencapaian moksa. Disebut ia berlapis empat itu kerana sebenarnya ia mengandungi empat tahap pula: 

1. Samanyasa yang pada tahap ini seseorang itu cuba menuruti ciri-ciri ini:
  • Wiweka atau kemampuan untuk membedakan yang hakikat dan bukan hakikat. Konsep ini sangat penting sekali kerana ia tersebut juga dalam sastera sebelum dicetuskan sastera Bhagawadgitam. Ia selalunya diseru dalam rupa angsa yang dikatakan mampu pula mengasingkan antara susu atau soma daripada air semasa minum.
  • Wairagya yang merujuk kepada melepaskan ikatan belenggu, tidak mengendahkan kesukaan pada tubuh dan juga kesakitan pada tubuh lagi tak mengira apa jua keadaannya.
  • Shadsampat yang terdiri pula daripada enam tabiat baik:
                - Sama iaitu ketenangan atau kawalan minda. Damai-damai saja.
                - Dama atau mengawal pancaindera dan deria.
                - Uparati atau meninggalkan kegiatan keduniaan.
                - Titiksa iaitu ketahanan kepada perubahan dan keadaan yang berlawanan.
                - Sraddha atau kepercayaan teguh pada guru, atman dan juga sastera suci.
                - Samadhana iaitu tumpuan pikiran.
  • Mumuksutwa iaitu keazaman untuk kebebasan.
2. Srawana mendengar kepada ajaran-ajaran segala acarya dan resi dengan bantuan Upanishad dan Adwaita Wedanta. Belajar Caturweda dan sastera Wedanta seperti Brahma Sutra, Bhagawadgitam, Ramayana dan Mahabharata. Di tahap inilah nanti, pelajar akan mempelajari hakikat Brahman dan hubungan-Nya dengan atman.
3. Manana atau tahap merenung kepada ajaran.
4. Dhyana iaitu tahap tapa semadi pada kebenaran "bahawa Engkau itulah Engkau!" Ajaran ini tak perlu pada agama yang tertentu pun menurut pada muka buminya atau terlalu sukar untuk dipahami bagi yang biasa dengan sastera-sastera Hindu tapi mungkin terlalu tinggi bagi jenis-jenis orang yang tak biasa dengan konsep Jñāna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan