Ahad, 11 Ogos 2013

Karma Yoga

Om Swastiastu!


Karma Yoga ini adalah ajaran yang berdasar kepada Bhagawadgitam. Kata "Karma" sudahlah kita ketahui bererti "Perbuatan". Seri Begawan Kresna mengajarkanlah kita bahawasanya tindakan tidak mementingkan diri sendiri itu adalah jalan yang terutama bagi menyedari Kebenaran dan mencapai kehidupan dalam cahaya gilang-gemilang.

Bhakti Yoga pula bererti mencintai-Nya dan memberi sepenuh kasih sayang kepada Guru. Karma Yoga ini adalah perbuatan kebajikan kepada seluruh loka, mencintai loka seluruhnya dan segala ciptaan dalamnya. Begawan Kresna mengajarkan Karma Yoga, Bhakti Yoga dan Jnana Yoga bagi merenung diri dan persemadian kita. Ketiga-tiga ini merupakan jalan cinta yang sempurna. Namun, utama sekali dalam segala kebaktian itu adalah Karma Yoga.

Jalannya

Hiduplah dalam ketenangan dalaman dan bertindak dengan cinta serta kesukaan terhadap segala ciptaan. Bagi setengah orang itu, pentinglah untuk hidup dengan ketenangan luaran, mencapai pula ketenangan dalaman. Dasarnya, ketenangan dalaman itu puncanya dari ketenangan minda. Minda yang tenang terjadi apabila kita menumpukan perhatian kepada rohani atau jiwa kita. Dengan memberi tumpuan kepada ciri-ciri kita sendiri, maka kita juga memberi tumpuan kepada para dewata kerana bagi orang Hindu itu ada pandangan Aham Brahmasi atau jiwa seseorang itu bahagian cetusan dari-Nya. Ciri diwiyam akan dicapai menerusi cubaan menguasai ciri-ciri buruk diri sendiri, ketagihan, ketakutan dan dendam kemarahan dalam masa yang sama cuba menambah lagi ciri-ciri baik pada diri sendiri. 

Cubalah bahagikan masa bertindak dalam kebajikan dengan rehat peribadi kita. Hiduplah dengan keseimbangan dalaman, menjimatkan tenaganya, menjaga kesihatan tubuh dan minda. Jika segala ini diperkuat, maka bolehlah ditumpukan pula kepada ciri positif dalaman dan cinta kasih yang akan membawa kita kepada cahaya cerah secerah siang. Tukarkan pemikiran buruk dengan pemikiran baik dan sangkaan baik. Cuba selalu bersangka baik, bercakap perkataan arya mulia dan tindakan arya mulia.

Cuba menyumbang kepada loka yang bahagia, bukannya mengusutkannya. Tatkala kita mengarahkan keinginan untuk loka yang bahagia, maka kita juga sedang melangkah ke arah pencerahan. Rahasia kepada keinginan ini ada kaitannya dengan jiwa dalaman dengan loka luaran. Secara kejiwaannya kita ini bukannya orang lain pada ciptaan lain. Kebahagian mereka akan turut memberi kesan kepada kita. Bila kita membayangkan bahawa ciptaan lain itu bahagia maka kita pun sama suka bahagia. Sesiapa yang menggalakkan tujuan ke arah loka bahagia maka dia pun mencetuskan kebajikan di dalamnya. Apabila kita menghantarkan cahaya kepada ciptaan lain, maka satu hari cahaya itu pun akan menerobosi jiwa kita jua. Jika kita berbuat baik untuk lokamaya, maka lokamaya pun mengaruniakan kita dengan kuasa jiwa yang baik.       

Jadikan kebahagiaan dalaman itu sebagai tumpuan hidup, bukannya kebahagian luaran. Jika kita mengikut dua prinsip ini iaitu amalan kerohanian dan cinta pada loka segala maka minda kita pun akan turut mengalami perubahan. Ketegangan dalaman kita akan mencair dan muncul bahagia. Makin lama kita hidup dan makin lama kita mengamalkan Karma Yoga, maka semakin bersinarlah jiwa dan diri kita.   

Tapa Ketenangan Jiwa
  •  Cuba lihat pada bumi ini yang berada di injakan kaki mu dan sapulah perlahan kaki mu di tanah lalu penuh kasih sayang dan secara mental berkata, "Moga suka bahagia segala ciptaan. Moga dikau sang Pertiwi bahagia hendaknya!"
  • Lihat di televisyen jika ada orang yang menyentuh hatimu secara positif atau negatif? Bersihkan hubungan tenaga, lalu bayangkan orang itu sebagai seorang Buddha atau seorang dewata. Taburkan kata-kata positif. Bayangkan kata-kata mu itu mantra dan ucapkannya sehingga kamu dapat mengatasi segala keterikatan atau penolakan terhadapnya. Segala yan kau lihat pada pandangan mata mu itu yang mengikat dan mengusutkan jiwamu. Cetuskan keharmonian dalam minda mu. Langkah pertama adalah mencetuskan loka postif dalam minda mu sendiri. Gerakkan tangan mu seolah-olah kamu menghantarkan cahaya kepada semua orang yang kamu lihat itu dengan mental berkata, "Aku hantarkan cahaya kepada .... , aku mengharapkan moga dia mendapat kebijaksanaan, suka dan bahagia. Moga semua mereka di dalam televisyen itu mencapai pencerahan, menjadi yogi dan mencapai kedewataan".
  • Cuba kau usap-usap tangan pada cakra hati. Bayangkan yang dirimu itu seorang Buddha, yogi, dewi atau seorang Kristian. Katalah, "Aku ini seorang yogi. Aku cuma menuju kepada jalan yang positif. Aku hidup dalam ketenangan, cinta dan bahagia". 
  • Usap tangan pada cakra di ubun-ubun kepala dan mintalah kepada guru-guru yang dicerahi untuk mendapat petunjuk dan bantuan. Contohnya bolehlah minta pada Betara Siwa jika kamu seorang Saiwa, Betara Wisnu kalau seorang Waisnawa, Begawan Kresna, Sang Buddha serta lain-lain guru yang kamu kenal dan berbakti. Hubungkan dirimu dengan tenaga mereka secara kejiwaan. Katalah, "Om guru dicerahi sekelian. Aku mohon petunjuk dan bantuan dalam jalan kejiwaanku ini". 
  • Letaklah tangan-tanganmu di ribaan, gerakkan kaki mu dan baca pada hatimu japamantra, "Om santi santi om" bagi mewakili tubuh mu, kaki mu keduanya dan untuk lokamaya. Berhenti berpikir untuk seminit. Tenangkan diri, senangkan diri. Hiduplah sebentar sebagai seorang Karma Yogi dalam ketenangan, suka dan bahagia. 
Amalkan sehari-hari ciri baik yang dicapai. Jadilah sang sura bagi loka, "Aku menghantarkan cahaya kepada... Moga segala ciptaan itu suka bahagian. Moga lokamaya ini bahagia suka adanya."

Amaran

Ada sahaja bahayanya dalam perjalanan ini. Jalannya itu berliku-liku durinya. Tuan budiman sekelian, aku sendiri melaluinya. Aku menghadapi pelbagai cabaran termasuk patah hati dan ingin membunuh diriku kerana merasai diriku tiada berguna. Keadaan ini terjadi disebabkan kita terlalu bekerja keras lalu kita pun kehilangan segala tenaga bagi kesukaan kerana segalanya dikerahkan kepada ciptaan lain. Karma Yogi mestilah mengamalkan ketenangan diri yang berakar kejap pada dirinya. Diri sendiri haruslah dijaga dahulu kerana jika diri sendiri tidak terusurs, bagaimana pula kita akan menguruskan ciptaan lain? Kerja keras yang tidak bijak sebenarnya meletihkan kita sahaja, bukannya mencerahkan kita. Kita akan merasai kegelapan. Makanya penting kita senantiasa ditemani oleh Begawan Kresna menerusi Bhagawadgita supaya ada panduan yang mencecah kita tatakala menghadapi masalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan