Jumaat, 23 Ogos 2013

Punca Tercetusnya Upakarma


Upakarma ini selalunya berlangsung pada hari bulan mengambang bulan Srawana. Kepentingan hari ini adalah berdasarkan kepada lagenda baginda Betara Wisnu mengambil rupa seekor kuda lantas mengembalikan semula weda yang dicuri dari Sang Brahma oleh asura berdua, Sang Madhu dan Sang Kaitabha.

Tatkala diambilnya rupa seekor kuda itu, Betara Wisnu pun digelar pada jelmaan-Nya itu dengan gelaran Hayagriwa atau Yang Berkepala Kuda. Selepas Betara Wisnu mencetuskan Sang Brahma, baginda mengajari Sang Brahma segala weda abadi. Selepas dikuasainya weda-weda maka Sang Brahma pun dipenuhi dengan rasa bangga bahawasanya Dia sahajalah yang berpengetahuan satu-satu Nya dengan weda suci segala.

Betara Wisnu berasakan bahawa keadaan begitu tidaklah molek. Maka dicipta baginda dua ekor asura bernama Sang Madhu dan Sang Kaitabha dari dua titisan air yang berada di atas kelopak teratai yang menanggung baginda.

Baginda kemudian mengarahkan mereka berdua supaya mencuri weda-weda dari Sang Brahma dan menyembunyikannya. Sang Brahma yang berada dalam keadaan terikat maka tak sempatlah baginda menyelamatkan weda-weda abadi dan suci daripada dicuri. Baginda pun memuja pada Betara Wisnu meminta bantuan. 

Betara Wisnu mengambil rupa Hayagriwa atau Hayawadana lalu dikembalikan semula weda-weda yang menyerap itu ke tempat selamat lalu mengubati penyakit bongkak Sang Brahma. Maka di hari upakarma itu, sebenarnya dirayakan juga Sri Hayagriwa Utpatti kerana weda-weda itu dikembalikan semula pada hari itu. Upakarma juga dijalankan pada hari itu bagi menandakan permulaan baru bagi bangsa Brahmana yang mendapat tradisi weda-weda dari turunan Sang Brahma.     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan