Ahad, 4 Ogos 2013

Siwa Puja: Abisekam


Siwa Abisekam ini selalunya dijalankan pada Lingam yang mewakili jelmaan Nya sebagai pencetus kepada kebaikan dengan memusnahkan kejahatan. Dalam kebanyakan pura, boleh ditemui oleh kita sebiji bekas yang tergantung atas Lingam. Bekas ini kita panggil sebagai Thara Pathra. Bekas ini akan menitiskan air atau lain-lain bahan semahan ke atas Lingam itu bagi memastikan abisekam terus berjalan.

Bahan Abisekam

Setengah bahan-bahan yang biasa diguna untuk abisekam dan patut ada dalam rumah pemuja Betara Siwa adalah:

1. Susu kental
2. Susu segar
3. Madu
4. Air nyiur muda
5. Wibhuti atau debu suci
6. Panchamruta iaitu manisan berlima terdiri daripada susu, gula, minyak sapi, madu dan susu kental
7. Pisang
8. Sebatian cendana
9. Minyak sapi
10. Kunyit
11. Daun Maja atau daun Bila

Daun Maja ini penting sekali. Semasa nak pilih atau memetik daun ini, pastikan cakra dan wajra tak ada di situ. Cakra ini adalah tanda putih sebab serangga, sementara wajra itu pula adalah bahagian keras di tulang daun. Dedaunan ini diguna dalam pemujaan, moleknya tiga helai. Jangan dipisahkan-pisahkan ketiga dedaunan ini biar ia di tangkai kerana pemujaan jadi tiada guna kalau dipisahkan.

Bungaan
  • Bunga Akanda
  • Bunga Datura
  • Bunga Teratai Biru, Putih atau Merah Jambu
Puspanjali Betara Siwa
  • Ahimsa prathamam puspam tiada keganasan itu bunga pertama
  • Puspam indriya nigraham kawalan pancaindera itu bunga kedua
  • Sarwa bhutha daya puspam baik terhadap semua ciptaan itu bunga ketiga
  • Kshama puspam wisesata memaafkan itulah bunga istimewa tulen semahan keempat
  • Santi puspam tenang aman itu bunga kelima
  • Dhyanah puspam tapa semadi itu yang ketujuh
  • Satyam asta widha puspam kebenaran itu bunga kelapan.
Tatkala menuang abisekam, susu, susu kental atau panchamrita itu jangan dituang dari bekas gangsa kerana nanti ia akan jadi sama seperti perahan anggur. Jari pula jangan dicelup dalam air, susu dan minyak sapi serta semahan lain kerana mencelupnya akan menjadikannya hilang tuah.

Kerana Betara Siwa itu melingkarkan Nageswara atau dewa naga di lehernya maka diceterakanlah bahawa wangian daun lidah buaya yang menarik perhatian ular menjadi salah satu bahan suci dalam pemujaan Betara Siwa. Berlawanan pula dengan Betara Siwa yang suka bersuci, Betara Wisnu menyukai Alankara Priyar atau hiasan. Makanya, Wisnusthalam atau para pemujaan Betara Wisnu selalunya akan dihiasi dengan murti Betara Wisnu serta dihiasi dengan hiasan-hiasan upacara selepas abisekam. Upacara kaum Waisnawa panjanglah sedikit dan tak ringkas seperti kaum Saiwa.

Harus juga diambil perhatian, semua upacara ini adalah terbitan daripada tafsiran weda-weda, serta dari purana sekelian. Sastera weda tak pernah menggariskan pun dewata tertentu atau upacara tertentu bagi pemujaan sebaliknya ia diambil dari purana bagi tradisi-tradisi. Pemujaan Brahma tak begitu penting tapi ada jua tempat yang masih memujanya seperti Siam dan di Rajastan di India. Ada pemujaan untuk Betara Brahma utamanya oleh kaum pedanda tilik bintang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan