Selasa, 6 Ogos 2013

Siwa Puja: Bungaan Pantang

Om Swastiastu!


Mengenai bungaan itu, kita ulangi sekali lagi bahawa pantanglah dua jenis bunga ini disemahkan kepada Sang Prabhu, Betara Siwa mahupun pada lambang baginda!!

 
Cempaka

Yang pertamanya itu, bunga Cempaka atau bunga Cempa Kuning. Kita tidak gunakan bunga ini dalam pemujaan walaupun wangi baunya. Dalam Siwa Purana, diceterakanlah bahawa kenapa bunga ini pantang diguna dalam pemujaan. Tersebut ceteranya bahawa di perjalanan ke Pura Siwa di Gokarna, ada sebatang pokok bungan Cempaka yang indah dengan rimbunan bunga. Maharesi Narada ketika menuju ke pura itu menyedari hal itu dan kagumlah beliau. 

Tiba-tiba, muncul seorang pedanda Brahmana berdekatan situ. Brahmana itu memetik bungaan tapi tatkala dilihatnya Maharesi Narada maka pedanda itu berhenti memetiknya. Bila ditanyakan, Brahmana memberitahu bahwa dia sedang menuju ke rumahnya lalu berhenti sebentar menikmati kecantikan pokok Cempaka. Selepas Maharesi Narada pergi ke pura, Brahmana pun memetik bunga dan meletakkannya dalam bakul. Lalu disembunyikannya. Dalam perjalanan pulang dari pura, Maharesi Narada terserempah dengan Brahmana itu lagi. Brahmana tergesa-gesa menyatakan ingin pulang ke rumah. Maharesi Narada berasa pelik dengan sikap Brahmana itu lalu ditanyalah kepada pokok Cempaka jika ada sesiapa memetik bunganya.

Pokok Cempaka menafikannya. Tapi, Maharesi Narada masihlah rau-ragu. Beliau pergi semula ke pura lalu ditemuinya bunga Cempaka menutupi Siwalinga. Maharesi bertanyalah kepada seorang lelaki yang bertapa tidak jauh dari situ, siapa yang menyemahkan bunga ini kepada Sang Prabhu? Lelaki itu menjawab bahawa ada seorang Brahmana jahat yang hari-hari datang memberi semah kepada Siwalinga dengan bunga Cempaka. Sang Prabhu berasa suka dengan tindakannya itu lalu diberinya karunia restu yang Brahmana itu menjadi berpengaruh sekali dalam istana raja dan kini Brahmana itu menganiayai orang miskin.

Maharesi Narada pun bertemu dengan Betara Siwa dan ditanya kepada baginda kenapa baginda membantu lelaki jahat itu? Betara Siwa menjawab bahawa baginda tidak dapat menolak kebaktian pemuja yang memuja baginda dengan bunga Cempaka. Maharesi Narada murkalah lalu beliau pergi ke pokok Cempaka dan menyumpahnya kerana berbohong. Maharesi Narada menyebut dalam sumpahannya bahawa bunga Cempaka tidak akan diterima lagi dalam pemujaan Betara Siwa. Pedanda Brahmana jahat itu juga disumpah lalu dijelmakanlah dia menjadi setan dan hanya akan mencapai moksa tatkala dia dibunuh oleh Seri Rama.


Bunga Pandan

Aku tak tahu bahasa Melayu bagi bunga ini apa. Bahasa Sanskertanya bunga Ketaki, bahasa Hindu biasa-biasa nya disebut Keyura. Bunga ini pun pantang dalam pemujaan kepada Betara Siwa. Ia disumpah sendiri oleh Betara Siwa. Dalam Purana, dijelaskanlah bahawa suatu ketika, Sang Brahma dan Betara Wisnu bertengkar tentang siapa yang lagi agung. Bagi menjelaskan perkara ini, maka Betara Siwa pun menjelma pertama kalinya menjadi rupa Jotirlingam atau Lingodabhawamurtih iaitu rupa jaluran api yang tak berpengujung atau berpemula di depan Betara Wisnu dan Betara Brahma.

Betara Siwa masuk campur dalam pertengkaran dan bersabda bahawasanya barangsiapa yang ketemu mula atau hujung Siwalinga itu maka Dia lah yang Agung. Betara Wisnu dan Sang Brahma pun melayang menjelajahi Jotirlingam itu. Betara Wisnu menjelma menjadi babi dan turun ke bawah manakala Sang Brahma pula menjelma menjadi angsa terbang ke atas. Betara Wisnu tak mampu mencari dasar Jotirlinga itu lalu mengaku kalah lah baginda. Sang Brahma yang terbang ke atas dalam rupa angsa itu pula terjumpa dengan bunga Ketaki. Baginda cuba naik ke atas lagi tapi tak sampai pun ke puncak Jotirlingam itu. Jadi, baginda berkeputusan meminta bantuan bunga Ketaki.

Lalu dipetiknya bunga Ketaki pulang berjumpa dengan Betara Wisnu bagi menjadi saksi kononnya baginda sudah pun menemui puncak kepada tiang cahaya itu. Sang Brahma menyebut bahawa baginda berjumpa bunga itu di atas puncak Jotirlingam dan bunga itu pun mengiyakan sahaja. Pembohongan ini menyebabkan Betara Siwa murka! Maka baginda menyumpah Sang Brahma biar jangan baginda itu disembah oleh manusia di bumi. Sama juga dengan bunga Ketaki, pantanglah ia menjadi bahan pujaan Betara Siwa lagi! Makanya, dari sini bermula pantang disemahkan bunga ini kepada Siwalinga pada pemujaan Betara Siwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan