Sabtu, 7 September 2013

Betara Indera dalam Weda

Om Swastiastu!

Rigweda menyebut bahawasanya, "Baginda yang mengawal di ketinggian kuda-kuda, segala pedati, segala kampung, dan lembu; Baginda yang menghidupkan Sang Surya serta Siang, yang mengepalai air-air, Baginda itu, wahai manusia, adalah Betara Indera!" (2.12.7)

Selanjutnya, "Betara Indera, kaulah yang mengangkat mereka yang terbuang yang tertindas, engkaulah yang membesarkan si buta dan yang lumpuh" (2:13:12)

Betara Indera bersama Sang Waruna dan Sang Mitra merupakan antara bangsa Adittiya, iaitu dewata kepala dalam Rigweda bersama dengan Sang Agni dan juga para Kumara Aswini. Baginda Indera suka berminum Soma, dan merupakan tokoh utama yang mengalahkan Sang Wertra, membebaskan aliran sungai atau menghentam Gua Wala yang tertutup dengan batu besar. Dalam Gua Wala itu terkurungnya lembu-lembu yang dikenali sebagai para Usas atau waktu Subuh. Baginda itu dewa perang, yang menghentam kubu orang Dasyu. Baginda yang dipuja oleh tentera-tentera di kedua-dua pihak dalam Peperangan 10 Raja.

Rigweda selalunya menyebut baginda sebagai Sang Sakra Yang Perkasa. Dalam samaya waidika, bilangan dewata itu dikirakan sebanyak 33 dan Betara Indera itulah kepalanya. Sastera awal selepas Rigweda seperti Khilasa dan juga Brighadaranyaka Upanishad memperkirakan dewata itu ada lapan Wasu, 11 Rudra, 12 Adittiya, Sang Indera serta Prajapatti. Sebagai ketua kepada para Wasu, maka Betara Indera disebut jua sebagai Wasawa.

Pada samaya Wedanta, Betara Indera menjadi dewata lama bagi semua kepala dan datu. Makanya, para raja pun boleh disebut sebagai Manawendra atau datu segala manusia. Seri Rama pun dirujuk sebagai Raghawendra atau Sang Indera dari keluarga Raghu. Betara Indera yang sebenar dirujuk lagi sebagai Dewendra atau Sang Indera bagi segala dewata. Sakra dan Wasawa kedua-dua ini hanya diperguna bagi merujuk Betara Indera yang itu tapi bukan diguna untuk manusia. Sakra dan Wasawa ini merupakan nama rujukan Betara Indera dalam weda-weda, purana, dan mahakarya sastera agama yang lain.

"Dari weda-weda itu akulah Samaweda itu; dalam kalangan segala separa dewata itu, akulah Indera, raja sorgaloka; dari pancaindera itu akulah akal; dan dalam ciptaan yang bernyawa itu akulah kesaktian hidup (kesedaran)". Bhagawadgitam 10.22

Kedudukan dan Tindakan

Dalam Rigweda, Betara Indera ini disebut sebagai raja segala dewa dan penguasa sorgaloka. Betara Indera ini dewa kilat dan hujan serta seorang pahlawan agung lambang kekuatan dan keberanian. Baginda ini mengepalai para dewata yang membentuk kahiyangan dan memelihara kahiyangan serta ciri-ciri jagat raya seperti agni (api), waruna (air) dan surya (mentari). Mereka ini selalulah berhentam dengan para asura. Sebagai dewa perang, baginda ini dianggap pula sebagai salah satu Penunggu Arah mewakili arah Timur. Baginda ini dipuja oleh orang Hindu waidika yang memegang pustaka weda dan menjadi dewata kebangsaan mereka. Dalam Rigweda ada 250 bacaan mantera ditujukan untuk baginda. Nama wangsa Sailendra di Jawa Tengah dan Sriwijaya mungkin mengingatkan kita kepada dewata ini. Di kawasan Tanah Besar Indochina dan jua di Segenting Kra mewakili kawasan penutur bahasa Melayu yang menganut ajaran Brahmana dan Buddha maka Betara Indera atau Phra Indera ini menjadi lambang kepada keluarga diraja sekelian.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan