Ahad, 27 Oktober 2013

Kerajaan Tamralingam: Ligor


Rajawamsa Sri Dharmasoka Raja dari rajawamsa Padmawamsa dibangunkan semula atas tapak kerajaan lamanya iaitu kerajaan Sri Kesatria Dharmaraja. Manakalanya, wamsa ini dibangunkan kembali oleh baginda Sri Dharmasoka Raja seperti yang tercatit dalam catitan yang boleh ditemui dalam daun lontar purwa di Balai Daun Lontar Negara Thailand.  


Penemuan

Ada orang Negara Sri Dharmaraja seorang itu sangat berminat dengan pengajian widya horasastra. Diselak-selaknya daun lontar di balai daun lontar tersebut namun bukannya terjumpa bahan yang dicarinya malahan yang lebih baik lagi daripada itu. Dia beruntung bertemu dengan bahan mengenai sejarah Negara Sri Dharmaraja tempat asalnya sendiri. Didapati bahawa Sri Dharmasoka Raja membuat pasak kerajaan kembali pada Kresna Paksa ke-12 senjakala yang ketiga tahun arnab tahon Culasakaraja 649 bersamaan dengan tahun Buddhasakaraja 1830 (1286 M). Kerajaan dibangunkan kembali selepas jatuhnya empayar Sriwijaya dan terpecah segala jajahannya itu semenjak kegemilangannya dari 1000-1800 B.S atau 450-1256 M. 

Baginda Sri Dharmasoka Raja ini tiga bersaudara. Yang dua lagi itu bernama Phra Chao Chandrabhanu yang merupakan Sang Uparaja dan kemudian Phra Chao Wamsasura. Semasa samaya Sri Dharmasoka Raja itu Phra Chestha iaitu Phra Chao Wamsasura mangkatlah. Maka naiklah Phra Chao Chandrabhanu ke takhta singgahsana. Maka naiklah beraja menjadi pengganti di kerajaan itu. Kemudian baginda pun mangkat dalam peperangan di Langka Dwipam. Selepas itu, digantikanlah di takhta itu oleh Sri Dharmasoka Raja. Ada jua keraguan sama ada Sri Dharmasoka ini juga merujuk kepada Sri Dharmasoka Chandrabhanu atau tokohnya satu jua cuma pagelaran bermacam. Tapi dalam rujukan balai daun lontar itu menyebut ada tiga bersaudaralah semuanya. Maka, kalau nak ragu itu mungkin boleh dirujuk lagi pelbagai rujukan lain dalaman dan luaran.

Sri Dharmasokawamsa ini pernahlah mempunyai kekuasaan dan ketenteraan walaupun semasa samaya Siam. Sri Dharmasokawamsa memerintah dan menguasai negara-negara kota besar pula di sekitarnya dan dalam rantau Semenanjung Tanah Melayu. Dua belas negara-kota dipantau dan diperintah oleh raja berpusat di Negara Sri Dharmaraja dengan pagelaran 12 Kota Nakcatram

Kemudian naiklah kerajaan Sukhothai di rantau utara dan juga kerajaan Siam yang dikuasai oleh orang Thai yang berketurunan orang asli di sebelah tengah Thailand kini. Ketika itu pun kerajaan Tamralingam bawah Dharmasokarajawamsa berada dalam keadaan yang baik-baik sahaja berkuasa di rantau sebelah selatan memerintah negara-negara kota orang Melayu sekelian. Kerajaan berhubungan baiklah dengan kerajaan Sukhothai saling bertukar-tukar kebudaayaan serta berkongsi pengetahuan keagamaan terutamanya pengetahuan ajaran Buddha. Para bhikkhu pendita Buddha dan ajar-ajar dihantar ke kerajaan Sukhothai bagi mengajar ajaran Buddha dari negara Ligor.

Tiada buktilah bahawanya kerajaan Ligor ini menyertai pembentukan negara Thailand hari ini walaupun kini menjadi sebuah negeri yang membentuk negara Thailand yang moden. Mereka kelihatannya bekerjasama sahaja dengan kerajaan Sukhothai dan kemudiannya dengan kerajaan Sri Ayutthaya. Namun, ada tanggapan bahawa kerajaan Ligor bersetuju dengan penyelesaian penyerapan bagi membentuk negara Thailand itu semasa kurun ke-20 M. 

Semasa kurun ke-15 M, raja Jayadhiraja (Sukhodhayawamsa) dari kerajaan Sri Ayutthaya pernah mempunyai empat permaisuri. Salah seorang daripada permaisuri atau mungkin cuma gundik itu, adalah kerabat diraja kerajaan Ligor. Amalan pewiwahan kerabat diraja ini sangat terkenal suatu ketika dahulu. Dengan cara ini, jaringan hubungan kekeluargaan dan politik kerabat diraja dapat diikat. Maka, tatkala terjadi masalah pun semenda kerajaan itu akan turut ditarik sama atas nama persaudaraan. Empat orang bini raja itu adalah Insuren, Sri Sudachanra, Indra Dewi dan Sri Culalak. Tak dapat dipastikan siapa antara mereka ini dari negara Ligor tapi yang dipastikan Sri Sudachandra itu dari Sri Ayutthaya juga tapi dari wangsa U-Thong yang sudah kalah. Cetera perebutan kuasa antara wangsa U-Thong dan wangsa Sukhothai dalam istana kemaharajaan Siam ini ada dalam lagenda Suriyothai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan