Di Pulau Jawa, diperkatakan bahawa kerajaan Medang Kawulan dianggap diperintahlah oleh dua wangsa iaitu Sanjayawangsa yang merupakan pendukung ajaran Buddha serta Sanjayawangsa yang mendukung ajaran Saiwa. Pendapat yang ini diperkenal sarjana Barat dikenali sebagai Bosch.
Ketika mulanya samaya Medang atau Mataram purwa itu, Sailendrawangsa ini nampaknya cukup berpengaruh di Jawa Tengah. Berdasarkan sejarawan, mulanya Sanjayawangsa itu merupakan kedatuan yang bernaung di bawah kekuasaan Sailendrawangsa. Kemudian terjadi persaingan pula namun tak diketahui dengan pasti bila masa kedua-dua wangsa ini sama-sama berkuasa di Jawa Tengah.
Sarjana Indonesia seperti Purbacaraka menolak tanggapan Bosch itu. Beliau menolak tanggapan bahawa ada dua wangsa kembar yang beda agama dan saling bersaing di Jawa. Menurut beliau, cuma ada satu wangsa saja iaitu Sailendrawangsa dan satu kerajaan saja di situ iaitu Medang Kawulan. Sanjaya dan turunannya itu cumalah anggota Sailendrawangsa jua. Bukhari yang juga merupakan sarjana Indonesia menerusi tafsiran beliau pada Prasasti Sojomerto menambah bahawa Sailendrawangsa itu mulanya memuja Betara Siwa jua. Kemudian Sri Maharaja Rakai Penangkaran Diyah Pancapanna yang bersinggahsana di Jawa pada 770 M menjadi penganut ajaran Buddha aliran Mahayana.
Di rantau Siam pun, raja-raja berkuasa dari Sailendrawangsa ada diterakan dalam Prasasti Ligor. Begitu juga dalam Prasasti Nalanda di India dan juga Prasasti Kelurak di Jawa. Namun, raja-raja yang turunan raja Sanjaya (memerintah 730 M). Raja-raja dari keturunan raja Sanjaya di Jawa nama mereka boleh didapati di Prasasti Canggal dan Prasasti Mantiyaseh. Berdasarkan candi-candi, peninggalan Mataram Purwa dari kurun ke-8 dan kurun ke-9 M bercorak ajaran Buddha yang mewakili Sailendrawangsa itu ada di Jawa Tengah sebelah selatan. Yang bercorak Hindu mewakili keluarga raja Sanjaya itu di Jawa Tengah sebelah utara. Rasanya wangsa-wangsa ini mungkin muncul di Jawa Tengah hasil dari persemendaan keluarga diraja juga. Ada tiga wangsa terkenal pernah aku dengar berada di sebelah negeri Jawa sana iaitu Śailendrawangsa, Īśanawangsa dan Sanjayawaṃsa. Nama wangsa itu mungkin merujuk kepada nama nenek moyang keluarga diraja yang membuka cawangan pemerintahan mereka di situ.
Raja Sanjaya
Berdasarkan tafsiran Prasasti Canggal (732 M), raja Sanjaya memang ada mendirikan Siwalingam baru di Candi Gunung Wukir. Ertinya itu, baginda membangunkan dasar bagi pusat pemerintahan baru baginda. Keadaannya di sini disebabkan raja Jawa yang mendahului baginda iaitu, raja Sanna telah mangkat. Kerajaan baginda habis hancur tercerai-cerai kerana diserang musuh. Raja Sanjaya ini adalah kerabat raja Sanna juga. Ibunda baginda, Sannagha Kumari adalah adinda kepada Prabhu Sanna.
Raja Sanjaya berjaya menyatukan semula kerajaan orang Jawa. Lalu, ibu kota dipindahkan dan baginda naik ke singgahsana memegang kedatuan baru di Medangi Bhumi Mataram. Sesuai dengan adat dan kepercayaan Hindu Jawa, bahawa kedatuan yang sudah pralaya akibat diserang, kalah dan diduduki musohnya itu buruk sekali kedudukannya maka harus dicari kedudukan lain bagi kedatuan baru. Pindahnya kedatuan bukan bererti kedatuan tersebut sudah habis.
Teori Bosch tentang Keturunan Prabhu Sanjaya
Sebenarnya sabdawali Sanjawangsa ini datangnya dari buku karangan Dr. Bosch berjudul, Sriwijaya, de Sailendrawamsa en de Sanjayawamsa cetakan tahun 1952. Beliau menyebut dalam Kerajaan Medang di Jawa itu ada dua wangsa saling memerintah iaitu yang keturunan Sanjaya dan Sailendra. Sanjaya itu merujuk kepada nama pembangun Kerajaan Medang, iaitu baginda Prabhu Sanjaya Harshadharma yang memegang Kerajaan Mataran pada 732 M. Menurut Prasasti Canggal dipasak tahun 732 M, diketahui bahawa raja Sanjaya ini cuma meneruskan wangsa raja Jawa yang beragama Hindu aliran Saiwa serta memberi tabik juga ke Kunjarakunja di India sana. Kunjarakunja ini adalah tempat berdiam Resi Agastiya di India Selatan. Baginda membangunkan Siwalinga di tempat baru.
Tafsiran Caritra Prahiyangan yang disusun kemudian harinya, dikatakan baginda raja Sanjaya itu adalah seorang putera raja dari negara Galoh yang kemudian naik singgahsana di Mataram. Ibunda baginda serta mamanda baginda itu, keduanya adalah cucunda kepada Ratu Sima dari kerajaan Kalinga di Jepara. Ayahanda baginda raja Sanjaya, Bharatasenawa digelar juga dengan gelaran raja Sena merupakan raja kerajaan Galoh yang ketiga. Raja Sena ini adalah anakanda kepada Kumara Mandi Minyak, raja negara Galoh kedua memerintah dari 702-709 M. Kumara Mandi Minyak pula anakanda raja Wretikandayun. Sekitar 716 M, raja Bhratasenawa telah digulingkan Purbasora yang kemudian menjadi raja negara Galoh yang keempat. Purbasora dan Bhratasenawa ini saudara seibu berlainan bapa.
Raja Bhratasenawa yang terbuang terpaksa lari bersama keluarga baginda ke kota Pakuan yang merupakan pusat negara Sunda. Baginda meminta perlindungan raja Tarusbhawa yang merupakan nenenda kepada permaisuri baginda. Sebelum ini juga, nenenda raja Bhratasenawa lah yang mendesak raja Tarusbhawa memisahkan negara Galoh dengan negara Sunda.
Sekitar 723 M, raja Sanjaya menggulingkan raja Purbasora menerusi bantuan raja Tarusbhawa. Baru didirikan semula negara Galoh. Tahun itu juga raja Tarusbhawa mangkat. Jadi negara Sunda pun diwarisi lah jua oleh baginda raja Sanjaya. Negara Sunda dan negara Galoh pun dipersatu kembali menerusi raja Sanjaya. Pada tahun 732, sebagai pewaris kerajaan Kalinga dari keturunan moyang sebelah nenenda baginda jugalah, raja Sanjaya menjadi raja di Kalinga Utara yang dipanggil juga Bhumi Mataram. Raja Sanjaya menjadilah raja bagi tiga negara sekaligus.
Selepas kemangkatan baginda sekitar kurun ke-8 M, Jawa Barat iaitu negara Sunda terpecah bawah pemerintahan Rakaian Penaraban bergelar Putera Tamperan yang merupakan anakanda kepada raja Sanjaya dengan Dewi Teja Kencana. Rakaian Penaraban ini kekanda tiri kepada Rakai Penangkaran. Rakai Penangkaran anakanda kepada raja Sanjaya yang dilahirkan menerusi Dewi Sudiwara, anakanda kepada raja Dewasiṃha dari negara Kalinga Selatan. Prasasti Canggal menyebut bahawa negara Mataram dipegang Rakai Penangkaran atau Dewi Sudiwara (760-780 M). Negara Sunda-Galoh diperintah oleh Rakaian Penaraban (739-766 M).
Diceterakan, Rakai Penangkaran dipukul kalah oleh wangsa pendatang dari Sumatera iaitu, Sailendrawangsa. Dari penafsiran Prasasti Kalasa (778 M), raja Sailendra yang menganut ajaran Buddha aliran Mahayana menghantar perintah supaya Rakai Penangkaran membangunkan Candi Kalasan. Sejak itu, kerajaan Medang dipengaruhi oleh Sailendrawangsa. Sampai kepada puteri raja Sailendrawangsa, Dewi Pramodawardhani berwiwaha dengan Rakai Pikatan yang merupakan anak cucu kepada raja Sanjaya sekitar tahun 840-an. Rakai Pikatan kemudian berjaya mengambil semula kerajaan nenek moyang mereka.
Teori Purbacaraka tentang Prabhu Sanjaya
Sejarawan Indonesia ini menolak kewujudan Sanjayawangsa. Beliau menyatakan Sanjayawangsa itu tak pernah wujud. Sanjaya itu pun anggota Sailendrawangsa. Wangsa ini mula sekali menganut tradisi Hindu. Sabdawali Sailendrawangsa itu bererti "penguasa gunung merujuk kepada Betara Siwa.
Lagipun, Sanjayawangsa tidak pernah ditemui dalam catitan mana-mana prasasti pun. Namun, Sailendrawangsa itu ada dipahat di prasasti Ligor, prasasti Kalasan dan prasasti Abhayagiriwiharam. Beliau berpendapat bahawa raja Sanjaya yang memerintahkan agar Rakai Penangkaran supaya pindah ke ajaran Buddha. Teori beliau didasarkan ke Caritra Prahiyangan jua bahawa Rahiyaṃ Sanjaya meminta Rahiyaṃ Penaraban pindah agama. Maka dengan itu, yang diertikan dengan raja Sailendra dalam prasati Kalasan itu adalah Rakai Penangkaran.
Caritra Prahiyangan ditulis beratus tahun sesudah kemangkatan raja Sanjaya. Cetera mengenai penukaran agama ini ada ditemukan dalam prasasti raja Sankara yang menceterakan pangeran Sankara yang pindah agama kerana ayahanda mangkat kerana upacara berat. Yang pastinya, prasasti itu sudah hilang tiada jelas angka tahunnya dan tiada disebut nama ayahanda kepada pangeran Sankara itu.
Teori Purbacaraka ini menyebut cuma sanya satu saja wangsa di Medang. Iaitu Sailendrawangsa yang menganut aliran Saiwa. Sejak pemerintahan baginda Rakai Penangkaran, Sailendrawangsa itu pecah dua. Ajaran Buddha dipayungkan negara, sedang cawangan Sailendrawangsa lain itu tetap dengan agama Saiwa. Tokoh pangeran Sankara ini disamakan dengan Rakai Penangkaran dalam sejarah kebangsaan negara Indonesia. Rakai Penangkaran ini disamakan dengan Rakai Penaraban oleh Purbacaraka.
Teori Slamet Muliana tentang Sailendrawangsa
Pendapat beliau, rekod raja-raja yang dipertunjuk dalam Prasasti Mantiyaseh berdasarkan kepada teori Bosch itu diperkatakan merujuk kepada raja-raja yang berkuasa di Medang. Pendapatnya didasarkan pada jolokan Rakai Penangkaran dalam Prasasti Kalasan iaitu Sailendrawangsatilaka atau Permata Sailendrawangsa. Menurut beliau, tidak mungkin Rakai Penangkaran itu anakanda raja Sanjaya.
Penelitian beliau pada prasasti seperti Prasasti Kelurak, Prasasti Nalanda atau Prasasti Kayumwungan menyimpulkan bahawa Rakai Penangkaran, Rakai Penunggalan, Rakai Warah dan Rakai Garong itu adalah anggota Sailendrawangsa. Selebihnya adalah kerabat raja Sanjaya yang disebut oleh Bosch sebagai Sanjayawangsa kecuali Rakai Kayuwangi yang berdarah campur.
Dapunta Hiyam Sailendra di Jawa
Dalam Prasasti Sojomerto di Pekalongan, disebut bahawa Dapunta Hiyam Sailendra (674 M) ini adalah anakanda kepada tokoh bernama Śantanu. Ibunda bernama Bhadrawati. Isteri baginda, Sampula. Dalam pemerintahan raja Dharanendra atau Indra (782-812) baginda mengahwinkan anakanda baginda Kumara Samaratungga dengan anakanda maharaja Dharmasetu atau Maharaja Sri Wisnu yang merupakan penguasa empayar Sriwijaya. Sekitar 728-755 M sebenarnya tiada sebarang jumpaan lagi mengenai empayar Sriwijaya dan maharajanya ketika itu. Prasasti yang tak jauh dari Candi Kalasan menyebut bahawa candi itu dibangunkan buat memberi tabik kepada dewi Tara sebagai Bodhisattwa. Sekitar 790, Sailendrawangsa bawah payung Sriwijaya menyerang kerajaan Chenla di selatan Kemboja. Lebih kurang 12 tahun mereka menjajah di situ.
Candi Borobudur yang mula dibangunkan raja Dharanendra selesai pada pemerintahan raja Samaratungga (812-833 M). Perkahwinan raja Samaratungga dengan Dewi Tara kemudian dikaruniai dengan Dewi Pramowardhani dan Balaputradewa. Putera Balaputradewa nanti dihalau keluar dari Jawa oleh Rakai Pikatan lalu baginda ke Sumatera dan menjadi maharaja Sriwijaya. Diduga Dapunta Hiyam Sailendra ini berasal dari keluarga Hindu yang asalnya beragama Saiwa dan berbahasa Melayu Purwa tapi beda sedikit dengan bahasa Melayu Purwa di Sumatera itu dan berdiam di pesisir pantai Utara di Jawa Tengah. Ada dua andaian pula, mereka ini mungkin masuk dari Sumatera atau mungkin juga orang Jawa tapi merupakan kerabat diraja yang menyembah ke empayar Sriwijaya.
Aku boleh nampak sedikit bahawa empayar kemaharajaan Sriwijaya sebenarnya mempunyai beberapa maharaja yang berasal dari rantau berlainan, juga bangsa berlainan. Banyak juga negara di rantau kepulauan Hindu di Timur semasa samaya purwa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan