Pra-Sejarah Tanah Melayu
Tanah Melayu ini merupakan suatu semenanjung yang mengunjur ke arah selatan dari utara. Ia terletak di pihak Asia Tenggara. Kawasan huluannya di Segenting Kra mengunjur ke baawah sampai ke Tanah Melayu serta pulau Singapura di hujung selatannya.
Utara semenanjung Tanah Melayu bersambung dengan benua Siam. Ia terletak di tengah-tengah dua buah empayar pula iaitu empayar Burma di kirinya dan di kanannya kerajaan Annam yang digolongkan oleh pihak Perancis sebagai Indochina. Siam, Annam dan Burma ini terletak dalam semenanjung raya iaitu Semenanjung Indochina.
Semenanjung Tanah Melayu terbahagi dua bahagian iaitu utara dan selatan. Utaranya itu memanjang dari utara bermula di Segenting Kra sampai ke sempadan jajahan Sentul-Singgora, Yala dan Bangnara. Semua jajahan ini kini menjadi bahagian dalam kerajaan Thailand moden. Sebilangan penduduk di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu ini adalah berketurunan Siam kecuali di enam saja jajahan iaitu Sentul, Cenak, Tiba, Patani, Yala dan Bang Nara. Penduduk di enam jajahan ini kebanyakannya berbangsa Melayu.
Kependudukan
Bahagian selatan Semenanjung Tanah Melayu bermula dari sempadan jajahan Thailand itu sampai ke hujung Tanah Melayu di Singapura. Dalam bahagian ini, ada beberapa negara orang Melayu seperti Kedah, Perlis, Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Melaka, dan Singapura. Walaupun semenanjung kecil ini dinamai Tanah Melayu tapi orang Melayu bukan bangsa terawal yang mendiaminya. Orang Melayu itu yang terakhir sekali menetap di situ. Bangsa awal sekali menetap di Tanah Melayu, menurut kenyataan pustaka lama adalah bangsa liar. Kemudian bangsa Hindu yang belayar dari Jambudwipam. Kemudian orang-orang darat dari rantau Thailand kini. Dan seterusnya baru, orang Melayu.
Beberapa ratus tahun sebelum kelahiran Jesus Christ, Tanah Melayu belum lagi diduduki bangsa bertamadun seperti hari ini. Buminya penuh semak samun dengan hutan rimba dan belukar. Hanya ada binatang buas sahaja. Dalam kalangan binatang buas itu, ada juga dua jenis manusia yang merupakan bangsa liar berkediaman. Mereka itu orang Semang dan orang Sakai. Kedua-dua ini dipanggil juga manusia namun kehidupan meliar mereka yang istimewa itu jauh dari ketamadunan manusia.
Beratus-ratus tahun sampai terjelma Jesus Christ di Timur Tengah sana, orang Hindu pun mula berkunjung dan singgah ke Tanah Melayu. Ketika itu, bangsa Hindu sekelian sudahlah maju. Kemasukan mereka ke Tanah Melayu itu buat meluaskan penghidupan mereka, mencari ketenangan dan kemakmuran. Kawasan ini lah antara kawasan yang banyak sekali disinggahi oleh orang Hindu sebelah timur ketika itu. Mereka masuk dengan dua cara iaitu jalan daratan dan jalan laut. Melalui jalan darat, mereka keluar dari Tanah Hindu menerusi Myanmar kemudian masuk ke sebelah Siam serta menyebar jua ke Annam. Melalui jalan laut, mereka menaiki perahu, berangai dan kapal merentasi laut Andaman masuk ke Tanah Melayu serta pergi ke kepulauan lain seperti Sumatera, Pulau Jawa, Pulau Bali, Brunei dan lain-lain.
Orang Hindu membawa masuk kebudayaan dan agama mereka juga. Penduduk di sebelah Timur ini pun nampak dan tertarik hati lantas ditiru perlakuan orang Hindu sekelian. Sampai orang Hindu menjadi guru pula lah mengajar mereka adat-adat Hindu dan agama secara tak sengaja. Maka, habis terserap segala penduduk bukan Arya itu menjadi Hindu belaka. Agama Hindu pun banyak jenisnya namun agama Brahmana dan ajaran Buddha yang terkenal sekali. Banyak sekali pengajaran agama Hindu sampai timbul seorang guru agung lagi, baginda Buddha Siddhartha Gautama mengajarkan persembahan cara baru yang kemudian menjadilah ia ajaran Buddha.
Mangkat baginda Buddha, maka terpecah pula selepas beberapa tahun aliran ajaran Buddha yang terbahagi kepada Therawada dan Mahayana. Semasa samaya purwa di Tanah Melayu, ajaran Therawada ini dianuti banyak oleh orang India Selatan dan digelar ia sebagai Daksina Nigaya. Aliran ini layu terus di rantau India dan cuma bertahan di Sri Lanka serta di benua Siam sampai sekarang. Aliran Mahayana kuranglah ketatnya dan ada juga penyatuan dengan ajaran Brahman sampai berbeda pula Therawada dengan Mahayana. Mahayana digelar orang sebagai Uttru Nigaiya, iaitu aliran utara dianuti orang sebelah utara. Ia banyak juga dianuti orang Timur seperti di Sumatera, Jawa, Bali dan termasuklah juga di Tanah Melayu. Ia melebar sampai ke Jepun, China, Korea, Mongol dan juga Vietnam. Yang menyebarkan ajaran Buddha aliran Mahayana ini pun termasuk dalam kalangan orang India Utara seperti orang Kashmir. Ramai yang menganut aliran Mahayana termasuk orang Melayu kecuali penduduk awal di rantau Siam. Mereka tetap dengan aliran Therawada.
Ketibaan orang-orang Hindu ke Timur ini biasanya secara berkumpulan. Mereka akan membuat kampung dan kemudian akan dikembangkan menjadi negara pula. Maka, Tanah Melayu pun dibukalah oleh raja-raja Hindu. Orang Hindu sukalah dengan keadaan beraja-raja manakala merea itulah menduduki Tanah Melayu perasaan beraja-raja itu tidaklah hilang. Bila dibuka negara, maka orang Hindu akan melantik penghulunya menjadi datu atau raja bagi menjalankan susunan negara dan menjaga keselamatan mereka. Oleh itu, tiap-tiap sebuah negeri yang terbuka itu ada pula rajanya. Terbuka satu negara lepas satu negara mengikut tempat di mana orang Hindu berkumpul. Samaya itu, bahagian utara Tanah Melayu sudah terbuka beberapa buah negeri purwa seperti Tamralingam, Grahi, Takola, Langkasoka, dan lain-lain yang semuanya itu berajakan orang Hindu belaka. Jarang sekali orang Hindu melupai agama dan adat istiadat. Mereka membangun candi-candi bagi pusat pemujaan di negara baru mereka. Mereka berbaik-baik dengan penduduk tempatan lalu bersemenda kahwin sampai melahirkan keturunan campur Hindu dan tempatan. Keturunan ini nanti mempusakai negara-negara di hari kemudian.
Penduduk di Indochina
Sebelum kedatangan orang Hindu, tanah besar Indochina itu didiami oleh penduduk tempatan yang memang sudah bernegara. Pembangunan negara-negara purwa di sana samalah seperti di Tanah Melayu. Penduduk tempatan bercampur gaul dengan orang Hindu. Maka penduduk tempatan dinaikkan sahaja masuk ke ajaran agama orang-orang Hindu itu termasuk ke adat-istiadat mereka. Sangat hormatnya kepada orang Hindu sampai dilantik orang Brahmana menjadi penasehat dalam istana diraja serta untuk menjalankan upacara.
Di tengah semenanjung Indochina, ada tiga buah empayar yang asing-asing iaitu kerajaan Angkor sebelah timur, kerajaan Tai-Lao di tengah yang menjadi tapak Thailand moden dan kerajaan Ramanna (Mon). Walaupun ketiga-tiga negara ini asing-asing tapi adat-istiadat agama sama lah saja. Kecuali bangsa Ramanna dan bangsa Kemboja itu sangat dipengaruhi adat Hindu dan raja-raja pun adalah orang Hindu.
Pemerintahan orang Tai-Lao pula terbahagi empat jajahan. Masing-masing dengan ibu kota sendiri. Dalam empat jajahan itu, yang terkenal sekali adalah Sukhothai yang ibu kotanya terletak di utara jajahan Bangkok. Jajahan ini paling besar sekali daripada jajahan lain. Orang-orang Tai-Kadai yang turun dari China Selatan menakluki jajahan itu pun dipanggilnya jua sebagai negara Siam. Maka, atas sebab ini orang Tai-Kadai digelar juga sebagai orang Siam di merata-rata loka.
Ketiga-tiga buah kerajaan purwa itu kekal berkuasa sampai kurun ke-9 M dan selepas itu baru kerajaan Tai-Lao jatuh ditakluki oleh bangsa Khemir dari Kemboja. Sekitar kurun ke-12 M, orang Tai-Lao berjaya merampas semula kekuasaan mereka. Ketiga-tiga kerajaan ini berhubungan juga dengan negara kota dan kerajan lain. Antaranya juga dengan kerajaan-kerajaan Hindu yang memerintah di pulau-pulau sebelah selatan dalam rantau Indonesia kini. Ketika ini jua, orang sebelah benua Siam mulai turun perlahan-lahan ke selatan masuk ke Tanah Melayu memperluas kehidupan. Tak mengira bangsa apa pun, disebabkan mereka turun dari Siam maka orang di Tanah Melayu memanggil mereka sebagai orang Siam belaka. Orang-orang tersebut merupakan penduduk asli yang sudah berada di rantai Siam moden sebelum kedatangan orang Siam atau Tai-Kadai. Mereka mungkin berbangsa jenis Melayu atau berbangsa jenis Mon-Khemir atau kedua-duanya sekali.
Mereka masuk secara ansur-ansuran. Dalam kenyataan petitih orang tua, bahawa mereka masuk sekitar kurun ke-4 M lagi dan sebab beransur-ansur maka ramailah mereka di Tanah Melayu. Mereka mendesak kekuasaan orang Hindu dengan cara berkahwin-kahwin dengan raja-raja Hindu. Maka campuran ini menyebabkan kekuasaan orang Hindu menjadi lemah pula. Lalu, jatuhlah kekuasaan raja-raja Hindu ke tangan orang asli Siam pula. Orang asli Siam ini semakin maju turun ke selatan Tanah Melayu membuka negeri lagenda seperti Glangio, Gangga Negara, Pahang dan lain-lain.
Orang Melayu di Tanah Melayu
Beratus-ratus tahun lamanya orang asli Siam berada di Tanah Melayu sampai kurun ke-8 M, bila kerajaan mereka menjadi lemah pula tatkala orang Melayu dari Sumatera masuk bawah payung empayar Sriwijaya. Pada sekitar kurun ke-7 M itu, kerajaan Sriwijaya melanda habis negeri-negeri orang asli ini. Lalu seluruh Semenanjung Tanah Melayu dibawa masuk ke mandala empayar Sriwijaya. Kerajaan-kerajaan dalam rantau Thailand moden pun habis dilanda orang Thai yang turun dari selatan China. Maka tatkala ini terpecah-pecahlah pemerintahan orang asli yang bertamadun Hindu itu utamanya di Tanah Melayu.
Orang Melayu di Tanah Melayu ini datuk nenek mereka sebelumnya bertempat dalam Pulau Perca atau Kepulauan Sumatera yang sebelah dengan Tanah Melayu itu. Ada dalam kalangan mereka itu belayar ke sebelah timur menumpu kepada pulau yang di selatan dan timur Semenanjung Tanah Melayu. Di Pulau Sumatera sendiri pun, ada orang Hindu yang berdiama dan bergaul dengan penduduk tempatan sampai berdiri kerajaan-kerajaan di perhuluan mereka. Samaya itu jua, suku Jakun jenis Melayu itu tidak bernegara tetapi mereka memang sudah membangunkan kampung-kampung dengan datu-datu mereka. Mereka cekap menangkap ikan dan pandai membuat serta memperguna perahu dalam lautan. Berani lah mereka belayar di tengah lautan mencari penghidupan. Masuknya orang Hindu sekelian ke sana bercampur gaul dengan orang-orang Jakun Laut ini sampai berketurunan pula mereka akibat persemendaan. Maka dari sini lahirlah manusia baru yang menggelarkan diri mereka sebagai orang Melayu bertamadun Hindu.
Maka orang Melayu menjadi lebih maju daripada datuk neneknya orang-orang Jakun Laut yang cuma hidup dalam berangai. Mereka mempusakai kebudayaan, kemajuan dan kemahiran dua pihak lah pula. Dari pihak nenek moyang sebelah suku Jakun mereka dan juga sebelah pihak Hindu Brahmana. Agama pun menurut ajaran Buddha aliran Mahayana dan mengamalkan tradisi Brahmana. Semakin ramainya orang Melayu itu maka berpindahlah setengahnya ke seluruh kawasan lain dan daripada mereka ini ada yang membuka negara dalam pulau Sumatera. Ada yang merayau-rayau di seluruh kepulauan dan rantau benua sampai ke timur jauh sekali pun. Ada yang menyebar ke lautan Hindi. Maka atas sebab itu, maka boleh ditemui orang jenis Melayu sampai di Borneo dan di pulau-pulau lain walaupun jauh dari Pulau Sumatera.
Rantau di utara Semenanjung Tanah Melayu dan Segenting Kra pun begitu lah jua halnya. Ada penduduk Melayu berdiam berkampung di situ sejak sebelum mereka memeluk agama orang Arab lagi. Dalam pustaak sejarah Thailand, di sebelah Singgora itu disebut ada suatu tempat di pantai utara kuala negeri itu ada satu pinggir bukit bergelar Khau Deang atau Bukit Merah. Samaya purwakala disebut bahawa ada sebuah negara orang Melayu di sana tapi masih belum diketahui dengan sahih mengenai nama negaranya dan tahun dibangunkannya. Dalam keadaan itu, penulis babad seperti Ibrahim Syukri berpendapat bahawa negeri itu kemungkinannya negara kota bagi rantau Songkla hari ini.
Orang Melayu dari Sumatera ke Tanah Melayu itu, mulanya bediam di pesisir pantai dan kepulauan berhampiran dengannya sahaja. Dari selatan mereka mula bergesak ke utara Tanah Melayu. Orang-orang asli pula berkerajaan dalam Tanah Melayu bahagian tengah dan di hulu saja. Mereka kurang gemar tinggal dekat dengan lautan. Jadi, tiada sebarang masalah antara orang Melayu dengan orang asli. Masing-masing dengan rantau masing-masing. Agama dan adat pun sama menurut ajaran Buddha aliran Mahayana dan tradisi Brahman.
Sriwijaya di Tanah Melayu
Kebetulan dengan itu pula, kerajaan Sriwijaya dalam Sumatera mula naik cemerlangnya. Mereka menguasai rantau Tanah Melayu dan kebanyakan kawasan di Pulau Jawa. Dibuka satu ibukota rantau di utara Tanah Melayu iaitu di Chaiya dalam negeri Surat Thani kini. Rantau itu dihuni oleh orang semang dan juga puak-puak Melayu sejak samaya purwa lagi. Sekitar tahun 755 M, bawah pimpinan maharaja Dharmasetu Sri Wisnu itu dilancarkanlah serangan ke negara kota di pesisiran pantai dalam tanah benua termasuk yang di Tanah Melayu seperti di Langkasuka kerana persaingan perdagangan.
Jadi, kerajaan Sriwijaya mengawal kerajaan-kerajaan utama di beberapa rantau. Antaranya kerajaan Dharmasyraya atau Malayu di Sumatera, kerajaan Kedah Tua di utara Tanah Melayu serta tiga lagi kerajaan di Pulau Jawa. Sekitar pengujung kurun ke-8 M, beberapa negara di Jawa seperti Tarumanegara dan Kalinga masuk ke mandala jajahan Sriwijaya. Berdasarkan catitan, Sailendrawangsa berpindah ke Jawa Tengah lalu menancapkan pengaruh di situ. Langkasuka di utara semenanjung Tanah Melayu masuk jua dalam mandala Sriwijaya. Berikutnya negara Pan Pan dan negara Tamralinga di utara sedikit daripada Langkasuka dijajah juga.
Singapura
Dalam tahun 1324 M, seorang lagi kerabat diraja Sriwijaya, Sang Nila Utama pernah datang membuka negeri di Singapura. Tempat itu memang sudah ada penduduk jenis Melayu yang terdiri dalam kalangan Orang Laut. Baginda merupakan anakanda Sri Maharaja Sang Sapurba Paduka Sri Trimurti Tribhuwana dengan Dewi Wan Sendari.
Sang Nila Utama kemudian diganti oleh baginda Paduka Sri Wikrama Wira, anakanda sulong Sang Nila Utama. Baginda berwiwaha dengan puteri Hindu bernama Dewi Nila Panchadi. Pemerintahan baginda dari 1347-1362. Semasa pemerintahan baginda ini, orang Siam dari kerajaan Sri Ayutthaya cuba memukul pulau ini. Wang Ta'yuan dalam catitan 1349 menyebut, kapal Siam dengan 70 perahu turun ke negara pulau itu. Namun, kota Singapura dikubukan rapi jadi mereka dapat bertahan sampai kapal orang Cina tiba menyebabkan orang Siam lari. Pada masa yang sama yang sama, kerajaan Majapahit di Jawa sedang meninjau pengaruh negara pulau itu. Pateh Gajah Mada kemudian menghantar tentera ke luar rantau mandala Jawa termasuk ke bekas-bekas negeri Sriwijaya. Sekitar 1350, raja Hayam Wuruk naik ke singgahsana Majapahit. Raja baru itu menghantar duta ke Singapura meminta supaya menyembah ke Jawa. Paduka Sri Wikrama Wira enggan berbuat demikian lantas dihantarnya pesanan dengan lambang bahawa baginda akan mencukur habis kepala raja Majapahit jika berani melanggar negara baginda. Raja Majapahit yang murka menghantar pesanan tentera supaya memukul Singapura dengan 180 kapal perang dan kapal-kapal kecil. Kapal masuk menerusi pulau Bintan dan berita sampai ke Singapura. Tentera Singapura mengumpulkan 400 kapal perang menghadapi pencerobohan Majapahit. Mereka bertembung di pantai Singapura dan peperangan berjalan tiga hari lamanya. Tentera Jawa yang kurang berpengalaman dalam peperangan di kelautan dikalahkan dan dipaksa pulang.
Kemudian Paduka Sri Wikrama Wira digantikan dengan raja muda baginda Paduka Sri Rana Wikrama, anakanda sulongnya. Baginda berwiwaha dengan anakanda Bendaahara Tun Perpatih Muka Berjajar. Memerintahnya baginda dari 1362 sampai 1375. Negarakertagama menyebut bahawa Singapura itu adalah jajahan Majapahit walaupun mereka kalah dalam peperangan tiga hari dengan Singapura pada 1365. Baginda ini mengikat hubungan diplomatik dengan negara Islam di Sumatera iaitu negara Perlak. Semasa samaya baginda ini, terdapat cetera mengenai lelaki gagah perkasa bernama Badang yang diperkatakan mempertonton kekuatannya di istana raja.
Paduka Sri Wikrama kemudian digantikan dengan Paduka Sri Maharaja Damia Raja. Permulaan baginda memerintah ini terjadi kejadian todak menyerang Singapura. Baginda mendapat buah pikiran mengenai memagarkan pantai dengan batang pisang daripada seorang budak bergelar Hang Nadim. Kemudian budak itu dibunuh mati kerana raja bimbang kedudukannya terancam. Pada 1389, baginda digantikan pula anakanda baginda.
Parameswara (1344-1414) dipanggil juga dengan nama Parsi Iskandar Shah, merupakan raja Singapura terakhir yang datang dari turunan raja Sriwijaya. Baginda memerintah pada 1389-1398. Baginda lari dari pulau Singapura pada 1398 selepas negara baginda kalah dengan tentera kelautan negara Majapahit. Baginda membuka kubu dalam buangan di mulut Sungai Bertam dalam 1402. Beberapa dekadnya, kota ini kemudian berkembang menjadi ibukota bagi negara baru nanti iaitu negara Melaka yang sinonim dengan orang Melayu sebelah selatan Tanah Melayu.
Tak dapat dipastikan sama ada raja Parameswara itu seorang Islam atau seorang penganut agama Hindu. Pengaruh orang Islam sudah ada sejak samaya ayahanda baginda lagi tatkala mereka berhubungan dengan orang negara Perlak. Sejarah Melayu mendakwa bahawa isteri baginda itu seorang Muslim dan memaksa baginda menganut agamanya.
Punca Singapura berjaya dipukul Majapahit itu adalah sebab karma raja juga. Raja menghukum selir baginda yang difitnah oleh selir lain. Selir itu dimalukan bertelanjang di hujung pekan dan disula mati tanpa usul periksa. Bapa kepada selir itu yang juga pegawai istana, Sang Rajuna Tapa berasa dendam kerana diconteng arang di keningnya. Lantas, beliau menghantar pesanan kepada Prabhu Wikrama Wardhana di Majapahit menyatakan sokongan jika Majapahit memukul Singapura. Pada 1398, Majapahit menghantar tentera lautnya 300 kapal perang dengan beratus-ratus berangai membawa tak kurang 200,000 tentera Jawa. Mereka berperang di luar kubu kota. Kemudian tentera Singapura sudah tidak tahan lalu masuk ke kubu. Bekalan makanan dalam kubu pun nak habis dan ramai orang kebuluran. Sang Rajuna Tapa kemudian diminta membahagikan makanan dalam kepuk istana kepada orang ramai. Tapi beliau berbohong kepada raja bahawa kepuk istana sudah kosong. Orang ramai menjadi letih lesu tiada bermaya. Rajuna Tapa membuka pintu kota dan pembunuhan besar-besaran terjadi. Sejarah Melayu menyatakan, "darah mengalir bak sungai" dan kesan merah pada batu-batu di Singapura itu dikatakan kesan darah pembunuhan yang berlaku. Maka, raja bersama pengikut dan kerabat tiada jalan lagi selain lari saja.
Melaka
Parameswara lari ke utara masuk membuka negara baru. Di Muar, Johor, Parameswara bertapa semadhi merenung kesalahan diri baginda. Tempat itu dikenali sebagai Biawak Busuk atau Kota Buruk. Kemudian, tapak itu tak sesuai membuka negara. Lalu naik lagi baginda ke Sening Ujong. Sampai di Sungai Bertam atau Sungai Melaka. Di situ kemudian berkembang menjadi Pekan Melaka kini.
Menurut Sejarah Melayu, raja nampak seekor kancil menendang anjing dalam sungai semasa baginda berteduh di bawah pokok Melaka. Baginda rasa tempat itu bagus kerana haiwan kecilnya pun kuat. Jadi baik dibuka negara di situ. Cetera lisan menyebut bahawa penempatan itu dinamakan sempena nama pokok tempat baginda berteduh itu. Sampai hari ini, kancil menjadi lambang dalam bendera negeri Melaka yang menyertai Persekutuan Malaysia moden selepas pemerintahan British.
Nama Melaka itu berasal dari pokok Melaka atau nama saintifiknya Phyllanthus Emblica. Cetera lain pula mengaitkan lagi nama Melaka ini semasa pemerintahan raja keturunan seterusnya yang nampaknya sudah beragama Islam iaitu Sultan Muhammad Shah (1424-1444). Pedagang Arab memanggil tempat itu sebagai Malakat atau tempat berkumpul kerana ramai masyarakat pedagang berhimpun di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan