Memaparkan catatan dengan label arya. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label arya. Papar semua catatan

Sabtu, 17 Jun 2017

Sistem Varna


Pada asasnya, varna ini merujuk kepada susuhunan, jenis atau kelompok. Istilah ini merujuk kepada kelompok sosial dalam dharmasastra. Dharmasastra ini mengelaskan masyarakat manusia itu kepada empat varna iaitu:
  • Brahmāṇa - terdiri daripada pedanda, pinandita, sastrawan, sarjana dan guru-guru
  • Kṣatriya - terdiri daripada raja pemerintah, pentadbir seperti menteri dan tentera
  • Vaiśhya - terdiri daripada golongan pedagang dan petani
  • Śūdra - terdiri daripada buruh dan pekerja umum.
(Sila klik bahagian yang ditebalkan untuk maklumat)

Pembahagian kelompok sosial masyarakat Hindu ini tidak mempunyai maksud yang sama dengan pembahagian perkauman berdasarkan warna kulit yang diajarkan oleh orang Eropah menerusi istilah kasta mereka. 

Sistem ini dibincangkan dalam sastra-sastra Hindu dan difahami sebagai ciri-ciri masyarakat yang ideal. Konsep ini pada awalnya dikesan dari Purusha Sukta dalam Rgveda. Kesarjanaan moden walau bagaimanapun percaya bahawa ayat ini dimasukkan pada zaman terkemudian, kemungkinannya menghasilkan piagam mitos mengenai pembahagian masyarakat ini. 

Ulasan mengenai sistem ini selalunya diambil dari Manusmrti. Banyak juga sastra Hindu lain serta doktrinnya yang mempersoal dan tidak bersetuju dengan sistem ini untuk mengelaskan masyarakat.

Di samping itu, ada juga klasifikasi mengenai kelompok Chaṇḍaḷa yang berada di luar lingkungan masyarakat Arya. Klik di sini untuk maklumat lanjut mengenai kelompok ini. 

Pic source and credit: Bapa Wayan Suyasa (Web Blog), Bali, Rembang Indonesia.

Selasa, 28 Januari 2014

Suryawangsa


Suryawangsa ini merupakan wangsa kesatria Arya yang terkenal sekali di India Purwa. Sabdavali ini merujuk kepada mereka yang berasal atau datang dari puak Suryawangsa.

Mereka ini puak yang mempunyai Birgujar-Sikarwar, Rathore. Juga dikenali sebagai Adityawangsa, Mitrawangsa, Arkawangsa, dan Raviwangsa. Suryawangsa terawal sekali memuja devata matahari iaitu Surio, Aditya dan Arka sebagai kuladevata mereka dan mengamalkan pemujaan matahari.

Puak Gurjar (Caucasia di India) percaya bahawa mereka itu berketurunan Chandrawangsa dan juga Suryawangsa. Karunia piring tembaga dan mohor kelompok Gurjar memang mempunyai lambang Surya. Gelaran penghormatan puak Gurjar adalah Mihir yang merujuk kepada Surya.

Terbitan Gotra

Purana-purana utamanya Vishnu Purana, Ramayana Valmiki dan Mahabharata oleh Resi Vyasa memberikan senarai gotra bagi wangsa ini. Raghuwangsa oleh Kalidasa pun menyebutkan nama-nama setengah raja dari wangsa ini. 

Senarai Raja

Senarai berikut memberikan susunan menurut samaya bagi raja pemerintah masyarakat Arya dari Suryawangsa.......

1. Manu atau Vaisvata Manu, raja bagi seluruh manusia dan manusia pertama di Bumi. Menurut kepercayaan Hindu, terdapat 14 Manuvantara dan dalam setiap satunya itu, ada Manu yang memerintah. Vaisvata Manu bagi Bumi ini adalah Manu yang ketujuh. Manu dirujuklah sebagai Rajan (Raja) dalam Satapatha Brahmana. Baginda mempunyai sembilan anakanda semuanya:
  • Vena
  • Dhrishnu
  • Narishyan
  • Nabhaga
  • Iksvaku
  • Karusha
  • Saryati
  • Prishadru
  • Nabhagarishta
  • Ila, anakanda perempuan.
Ila berwiwaha dengan Budha dari Chandrawangsa. Kerajaan Vaisvata Manu ditinggalkan pula kepada raja Iksvaku. Iksvaku sebenarnya kemenakan kepada Vaisvata Manu sahaja, iaitu Shraddeva. 

2. Iksvaku, raja pertama terkenal sekali dari wangsa ini, menurunkan Iksvakuwangsa.

3. Bhagiratha, cucunda sang Sagara, selepas menjalankan tapa vratam yang ketat, berjayalah membawa turun Sungai Ganga dari kayangan. Apabila dia mengalir di atas tinggalan nenendanya sekelian, roh-roh mereka pun mendapat perlepasan dan lautan pun dipenuhi. Sungai Ganga ini digelarlah dengan nama Bhagirathi bagi mengingati jasa raja Bhagiratha.

4. Aja.

5. Dasaratha, phra janaka, ayahanda Sri Rama.

6. Sri Rama, dianggaplah baginda tetesan Betara Wisnu Narayana. Baginda dipuja sebagai tokoh terbaik bagi setiap orang Hindu tak kira lah sama ada Ortodoks Brahmana, pengikut Buddha, pengikut Jina, pengikut agama Sikh dan lain-lain semua menganggap Sri Rama tokoh terbaik. Nama baginda dipakai buat nama anak-anak atau jadi gelaran raja-raja yang menurut dharma. Cetera Sri Rama naik menjadi raja di Ayodhya diceterakan semula dalam Ramayana. Baginda naik ke singgahsana, menjalankan Yajna Asvamedha pula. Bharata, adinda baginda, memenangi negara Gandhara dan bersemayam di situ (sebagahagian kerajaan Gandhara ada dalam Pakistan dan sempadan dengan Afghanistan).  

7. Lava dan Kusa. Kembar berdua ini adalah anakanda Sri Rama dan Sita Dewi. Lava memerintah di selatan Kosala sementara Kusa memerintah utara Kosala, termasuk negara-kota Ayodhya. Kusa berwiwaha dengan "Naga Kanya", Kumuddhati, adinda kepada Kumuda.

8. Raja Suddhodana, pemimpin kepada Sakya Ganarajyam di Kapilavastu. Anakanda baginda, Siddhartha Sakya Gautama, menjadi pemimpin rohaniah pula bagi ajaran Dharma Vinayam yang tersebar merata-rata di Asia Tenggara dan beberapa tempat di benua Asia ini dengan gelaran Buddha Gautama.

9. Prasenjit II, Sang Pasenadi.

10. Sumitra, raja terakhir kerajaan Ayodhya dari Suryawangsa. Dalam kurun ke-4 SM, maharaja Mahapadma Nanda dari Nandawangsa memaksa raja Sumitra keluar dari Ayodhya. Seterusnya mencabut habis kekuasaan Suryawangsa di situ.

Untuk mengetahui lebih lanjut, baca juga Brahma Purana.......

Rabu, 15 Januari 2014

Warna Dharma: Perbandaran Baru dan Kejatuhan


Dengan tujuan yang muktamad dalam pandangan bahawa kampung-kampung itu terbahagi kepada empat bahagian iaitu agraharam (bahagian Brahmana), bahagian Vaisya, dan lain-lain. Pembahagian begini cuma mungkin di kehidupan pedalaman sahaja tapi bukan di rantau yang menerima pembaharuan samaya moden. Dengan urbanisasi dan perindustrian, jadi keperluan pula orang dari pelbagai jatiniyam bekerjasama dalam shif yang sama, duduk besama dalam satu tempat makan dan memakan makanan yang sama.

Bangsa Bahmana yang wajib mengamalkan puasa dan vratam serta pelbagai lagi amalan yang diwajibkan dharmanya itu kini dilihat sebagai bangsa yang pelik. Penjadualan pejabat dan kolej menjadi halangan bagi Brahmana itu menjalani upacaranya. Disebabkan perkara ini pun, ada Brahmana yang melemparkan terus dharmanya dan keluar dari agamanya. Sebelum ini, dia menjaganya dengan baik dan melaksanakan segala upacara bagi kebajikan jati lain. Seperti penjaga amanah, dia pun melindungi dharma demi masyarakat dan menyebarkan buah dharma kepada yang lain. Tapi kini semua itu cuma perkara yang sudah lampau. Kini, Brahmana yang tampil ke depan menyatakan bahawa semuanya sama saja dan dia pun satu jua dengan yang lain. Walaupun sama, dia pun menjadi punca kepada sakit hatinya jati yang lain dan ironinya dia pun bersama-sama yang lain berebut kerja dengan jati lain! Di sudut lain, walaupun dia berbicara mengenai persamaan kedudukan, namun dia masihlah perasan yang dirinya itu lebih besar daripada orang lain. Sedangkan hakikatnya dia sudah tidak cermat dan waspada lagi dalam dharma. Tak cukup lagi kah dia mendapat cercaan dan kebencian lagi disebabkan perkara ini?

Brahmana samaya kini pun memanjakan dirinya dan merosakkan yang lain. Dengan melemparkan dharmanya ke longkang, dia menjadi contoh buruk sekali kepada jati lain! Sebagai satu hakikat juga, walaupun Brahmana itu berpegang teguh dengan dharma namun itu bukannya lesen baginya untuk perasan dirinya lagi bagus daripada yang lain! Dia mestilah selalu merendah diri dengan kepercayaan bahawa semua orang pun mempunyai dharma tersendiri dalam masyarakat, maka aku menjalani dharma aku. Jika dulu dia dihormati yang lain pada masa lampau, dihormati di tempat tinggi kerana kerja-kerja tidak mementingkan dirinya, tapasya, disiplin dan kemurnian. Kini, dia turun ke tahap yang beitu rendah seolah-olah mengiakan segala cercaan yang dibuat orang.

Muktamadnya, saya berpandangan bahawa Brahmana itu sendirilah penyebab keuntuhan masyarakat Hindu! Setengah orang menemui penjelasan mengenai perkaa ini. Seorang Brahmana, jika dia itu ikhlas dengan dharmanya, menghabiskan masanya belajar dan mengaji veda suci, menjalani pengorbanan, memelihara sastra dan lain-lain. Apakah yang dia akan perbuat bagi mendapatkan penghidupan? Jika dia pergi cari wang atau kebendaan, maka dia tak mampu pula memenuhi tujuan hidupnya. Tujuan hidupnya itu cuma menjadi satu pekerjaan separuh masa saja. Kalau dia buat kerja-kerja lain pula untuk meneruskan kehidupan, dia akan kekurangan pula dalam pengamalan dharma. Keadaan ini umpama mengambil ubat tetapi tanpa pemakanan yang penting dalam pembentukan tubuh. Kuasa kebaikan yang dipelajari Brahmana menerusi pembelajaran Vedika itu akan bekurangan dan akan terjadi pengurangan dalam pemangkin kebajikan kepada manusia dalam kerjanya. Maka, disebabkan perkara inilah Brahmana dibenarkan memohon dana bagi meneruskan kehidupan. 

Pada samaya dulu, mereka menerima bantuan daripada raja-raja bangsa Kesatria yang mengaruniai tanah kepada mereka disebabkan pertimbangan bahawa dharma yang dijalankan bangsa Brahmana itu memberi manfaat kepada yang lain. Tersebut juga dalam sastra agama bahawa Brahmana pun dilarang menerima dana berlebihan kerana hanya dana yang cukup-cukup sahaja dibenarkan buat meneruskan penghidupan yang sementara ini. Kalau mereka menerima dana yang berlebihan maka nanti mereka akan tergoda buat memuaskan hawa nafsu dan akan muncullah halangan yang menutup perkembangan jiwa dalaman mereka. 

Bahaya yang lain pula adalah, Brahmana itu akan diperhamba oleh si penderma dan mereka pun akan memutarbelit sastra bagi memenuhi tujuan hawa nafsu si penderma yang tak ikhlas itu. Brahmana samaya dulu melaksanakan dharma dengan kesedaran bahawa bahaya ini ada walaupun mereka dilindungi oleh raja-raja bangsa Kesatria. Mereka menerima dana yang cukup-cukup sahaja tetapi tidak pula memperhamba diri mereka kepada pengaruh yang berlawanan dengan dharma Brahmana.    

Isnin, 30 Disember 2013

Agama Orang Saka


Agama orang Saka merujuk kepada cetera-cetera, amalan dan kepercayaan dalam kalangan orang Saka, iaitu sejenis orang dari rantau Persia purwa yang mendiami rantau Asia Tengah dan padang rumput Pontic-Caspia di Eropah Timur dalam samaya purwa klasik. Orang Saka turut berpindah masuk ke Utara India dari Asia Tengah terpencar di sekitar rantau Himalaya jua. Baginda Siddartha Gautama Buddha merupakan seorang bangsa kesatria dari kalangan bangsa Saka juga.  

Samacara yang didapati mengenai agama orang Saka ini diperolehi dari Herodotus, seorang ahli etnografi berbangsa Greek pada kurun ke-5 M. Agama Saka dianggap sebagai berkaitan dengan agama India-Iran purwa, dan turut mempengaruhi cetera-cetera orang Slavia, Hungaria, dan Turkia, serta beberapa tradisi di Timur Persia dan Ossetia (Sarmatia).

Konteks pertama bagi carigali sejarah aśvayajña didapati dari tapak-tapak pengebumian seperti pengebumian pedati, tetapi kawasan penguburan dengan kuda boleh ditemui lagi dari telaga Eneolitik dalam samaya sejarah. Herodotus menjelaskan bahawa penyembelihan kuda di tapak perkuburan kesatria-kesatria Saka, dan perkuburan Kurgan samaya Besi diketahui mengandungi beratus-ratus ekor bangkai kuda.

Orang Saka juga turut memuliakan kijang, yang turut dijadikan latarbelakang hiasan dalam karya seni mereka terutamanya di tapak-tapak pengebumian. Contoh seperty di tapak pengebumian Pazyryk.

Dewata

Menurut Herodotus, orang Saka memuja sekumpulan tujoh deva dan devi (heptad), yang disetarakan dengan kedewataan orang Greek pada samaya purwa klasik menurut interpretatio graeca. Beliau menyebut delapan dewata secara terperinci, dan yang kedelapan itu dipuja hanya oleh kerabat diraja, dan dewata itu adalah seperti berikut....
  • Agin (Gr. Ares), dewa perang.
  • Tabiti (Gr. Hestia), dewi pendiang.
  • Papaios (Gr. Zeus), dewa langit.
  • Api (Gr. Gaia), dewi bumi.
  • Oitosyros (Gr. Apollo), dewa cahaya, matahari, kebenaran dan kenabian, penyembuh, wabah, bunyian, kekawin dan lain-lain. 
  • Argimpasa (Gr. Afrodit dalam rupa Urania), dewi kerohanian.
  • Thagimasidas (Gr. Poseidon), dewa laut. 
Yajña  
Bentuk yajña orang Saka, menurut Herodotus, mudah sahaja. Mangsa korban termasuklah perlbagai jenis binatang peliharaan, namun yang paling tertinggi dan terbaik sekali pengorbanannya adalah kuda. Babi tak pernah dipersembah dalam upacara yajña mereka. Orang Saka tak suka membela babi dalam tanah mereka. Herodotus menyatakan cara yajña orang Saka seperti berikut:
"Mangsa akan diikat empat kakinya berdiri, dan pedanda yang menjalankan upacara korban akan berdiri belakang mangsa, dan menarik penghujung tali bagi menterlentangkan binatang tersebut; dan sebaik sahaja terlentang binatang itu, dia akan menyeru nama deva yang ditujukan pujaannya, dan melemparkan gelungan tali ke leher mangsa, dan diletakkan satu kayu kecil bagi menguatkan cengkaman tali tersebut. Mangsa tak dibakar dalam api atau disimbah dengan sebarang minyak pun: dan apabila selesai dijerut leher binatang mangsa, kulitnya dilapah, kemudian direbuslah.... Apabila daging sudah selesai direbus, yang menjalankan upacara korban akan mengambil semahan pertama dari daging dan anggota-anggota penting binatang mangsa lalu dilemparkanlah ia di depannya".
Pemujaan Agin

Walaupun Tabiti merupakan deva yang penting juga dalam keagamaan orang Saka, pemujaan terhadap deva Agin diwartakan oleh Herodotus sebagai istimewa pula. Dicatatkan bahawa orang Saka tak mempunyai adat untuk membuat rupa, murti atau pura perumah deva kepada lain-lain deva tapi bagi Agin sahaja diperbuat om rupa dan pura perumah.  

Pembinaan para semahan dan yajna berikutnya itu dijelas Herodotus:
"Dalam setiap bhumipada beberapa kerajaan itu ada pura bagi deva Agin dibangunkan dengan cara ini: ikatan kayu-kayu berus dilonggokkan kira-kira 3 x 1/8 batu dalam kepanjangan dan kelebaran, namun ketinggiannya kurang; dan di atasnya itu ada empat persegi rata, dan tida daripada sisi timbul tiang tembok di antara longgokan kayu-kayu. Setiap tahun, mereka akan melonggokkan 150 bebanan kayu berus, menurut musim. 

Atas kayu-kayu yang aku sebutkan ini, setiap seorang akan memacakkan pedang besi purwa mereka, dan ia menjadi lambang bagi deva Agin. Mereka nanti akan membawa semahan tahunan kepada pedang itu terdiri daripada lembu dan kuda; dan akan menjalankan yajna, melebihi daripada semahan kepada deva lain, bahawasanya juga, semua tawanan perang mereka itu antara satunya lelaki dari 100 orang lelaki akan disemahkan juga sebagai yajna buat deva. Caranya, mereka akan menuang tuak atas kepalanya, dan selepas itu tekaknya akan disembelih, dan darah dibiarkan mengalir dalam mangkuk; lalu dibawa ke gunungan kayu longgok dalam pura dan dituangkan darah atas pedang.

Di bawah pura pula, mereka akan mengerat tangan kanan mangsa perang itu dan melemparkan tangan-tangan tersebut ke udara, dan seusai semahan itu, mereka pun pulang. Tangan-tangan itu akan berserakanlah di merata tempat ia jatuh dengan tercerai dari tubuhnya".
Menurut Tadeusz Sulimirski, bentuk pemujaan ini masih lagi dijalankan keturunan bangsa Saka, iaitu suku puak Alan, sampai ke kurun ke-4 M.

Enarei

Enarei merupakan pedanda dalam kalangan bangsa Saka, yang memainkan peranan penting dalam masyarakat mereka. Dipercayai mereka ini berkebolehan dalam menerima ilham terus dari devi Argimpasa. Cara yang dipakai kelompok Enarei ini berbeda daripada amalan penilik Saka yang tradisional. Penilik akan menggunakan seikat ranting pokok Banyan bagi meramal nasib sedangkan pedanda Enarei memakai kulit kayu yang dikoyak dari pokok Tilia bagi meramal masa depan.   

Pedanda Enarei selalunya memakai pakaian wanita, adat yang difahami oleh Herodotus sebagai sesuatu yang bersesuaian dengan nama yang diberikan kepada jati tersebut iaitu, "lelaki-wanita", atau pondan. Bahasa Turki turut mempunyai perkataan serupa iaitu Anair atau Enar, ertinya lelaki yang sudah dikasi, hilang kejantanannya atau yang kelihatan seperti perempuan.

Ahad, 17 November 2013

Ikat Sanskerta 2: Kata Nama

Namaste!

Ini senarainya kata nama kita lagi....

अजः Aja Kambing
गजः Gaja Gajah
अश्व: Aśwa Kuda
वराह: Warāha Babi
वानरः Wānara Monyet
बिडालः Biāla Kucing
व्रकः Wrka Anjing Hutan
श्रगालः Śgāla Serigala
गर्दभः Gardabha Keldai
हरिणःHaria Kancil

Nanti kalau rajin kita susulkan pula kata kriya buat kongsi... Rajin-rajin baca bahasa Sanskerta biar pandai warisan kita ini...

ॐ शान्ति... शान्ति... हि!

Jumaat, 12 Julai 2013

Yuga Dharma

Om Swastiastu!


Yuga Dharma ini merupakan satu daripada pandangan Dharma yang dipahami oleh orang Hindu sekelian. Yuga Dharma merupakan ciri Dharma yang berlaku bagi sesuatu Yuga tertentu. Yang satu lagi, seperti sudah kita bicarakan dalam beberapa masukan adalah, Sanatana Dharma. Sanatana Dharma ini adalah ciri yang tak pernah berubah tak mengira dalam Yuga yang mana sekali pun. 

Untuk perkara yang ini, penganut agama seperti agama orang Arab itu, tidaklah paham. Kerana mereka terlampau menekankan kepada Yuga Dharma sahaja. Pengucapan mereka keliru kerana mereka tidak dapat menyebut perbedaan antara bentuk "agama" yang berlaku dalam Sepanjang Yuga atau Sepanjang Zaman dan Yuga Tertentu. Yang lain pula bagi penganut agama benua Hindu, keadaan menjadi keliru apabila keagamaan itu dipayungkan oleh sabdawali atau istilah yang merujuk kepada benua atau rantau.  

Catitan sastera suci agama orang Hindu terpecahlah kepada dua golongan. Yang pertamanya adalah bentuk Śruti contohnya seperti Caturweda. Caturweda ini cirinya adalah merentasi samaya dan terpakai serta laku dalam semua Yugam. Yang keduanya, Smĕrti yang menumpukan kepada ciri-ciri keagamaan yang lebih sempit kerana merujuk kepada keadaan pada samaya tertentu. Sanatana Dharma itu berdasarkan kepada sastera Śruti manakala Yuga Dharma itu pada Smĕrti.  

Setengah sarjana menggambarkan Sanatana Dharma sebagai sesuatu yang menyeluruh, tiada berubah dan senantiasa pada perjalanan segala Dharma. Yuga Dharma itu pula merupakan ciri rantingan Dharma yang akan senantiasa berubah pada samaya. Sarjana-sarjana ini membedakan Sanatana Dharma ini sebagai Dharma bagi Agama. Yuga Dharma pula merupakan Dharma dalam pergaulan ramai, perundangan, tingkah laku, budi pekerti dan seterusnya. 

Swami Wiwekananda menjelaskan beda antara kedua-duanya dengan perbedaan Sanatana Dharma itu sebagai, "Kita ketahui bahawa dalam sastera agama kita itu ada beda yang tersirat dalam dua bahagian kebenaran. Yang pertamanya itu tiada berubah-ubah, terpasak pada beberapa perkara seperti fitrah manusia, fitrah jiwa, hubungan jiwa itu dengan Tuhan, ciri-ciri yang menerangkan tentang Tuhan, kesempurnaan dan sebagainya. Ada juga pengetahuan yang tersembunyi kerana sebenarnya ia terlampau luaas seperti ketidakterbatasan ciptaan, widyam cakerawala atau lebih tepat lagi unjuran gerak putaran pada jagat raya serta seterusnya. Semua ini adalah dasar-dasar yang ditemukan dalam hukum fitrah alam".

Pada Yuga Dharma pula, "Bahagian yang ini terkandung padanya hukum-hukum kecil yang memandu kehidupan seharian manusia setiap hari nya. Yang ini terdapat dalam Purana dan Smĕrti tapi bukan pada Caturweda. Yuga Dharma tiada kaitana dengan dasar-dasar lain. Walaupun di benua Hindu sekalipun, perundangan rantingan yang ini senantiasa berubah pada samaya. Adat-istiadat bagi sesuatu samaya atau satu yugam boleh jadi tidak laku pada samaya lain. Datang yuga yang baru selepas yuga lama, maka berubah pula adat-istiadat itu".

Pendapat pada Yuga Dharmam

Yuga Dharma yang kini masihlah dalam perbincangan dan juga dalam perdebatan menurut tradisi sampradayam Hindu sekelian. Dalam sampradayam Gaudiya Waisnawa maka mereka percayalah bahawa amalan-amalan keagamaan itu berbentuk perhimpunan sambil menyanyikan bejanam, gitam dan juga mengulang-ulang japa mantram menyebut Hare Kresna Maha Mantram sebagai sesuatu yang bertepatan pada Yuga Dharmam. Perkara ini dirujuk pula kepada sastera mereka:

"16 Nama, 32 suku kata mantram ini adalah Maha Mantram dalam Kali Yugam yang dengannya segala yang bernyawa itu akan terselamat. Maka janganlah ditinggalkan membaca Maha Mantram yang ini". - Ananta Samhitam 

Bagi orang Hindu sampradayam Sri Waisnawa pula terdapatlah Prappati atau Saranagati menerusi upacara yang disebut sebagai Panca Sanskaram sebagai Yuga Dharma. Yang ini menurut pula kepada Caturweda. Upacara ini mengangkat seseorang itu ke dalam perlindungan dan limpah karunia Betara Wisnu Narayana. Pentinglah bagi sampradayam ini dengan merujuk kepada parampara Waidika dan rujukan sastera untuk membaca mantra lapan suku kata, dua perkataan Narayana dan juga Wisnu Sahasranama yang bermula pada ketika sebelum samaya lahirnya Empu Sri Ramanuja sehingga selepasnya pun. Yang lain pula dalam Sri Waisnawa dengan rujukan pada sastera itu adalah penyerahan diri serta kebaktian kepada Begawan Sri Wenkateswara atau Balaji. Menurut kepada ayat-ayat dalam Purana serta sastera lainnya, Begawan Sri Wenkateswara itu merupakan Swarupam bagi Betara Wisnu dalam Kali Yuga.


Penganut agama orang Hindu dari Gerakan Kesedaran Sri Kresna Antarabangsa pula berpendapat bahawa Yuga Dharma itu dengan membaca nama-nama suci Begawan Sri Kresna, membaca Hare Kresna Maha Mantram. Yang ini merupakan ajaran dari Empu Caitanya yang menyebut bahawa, "Hare namayewa kaiwalam. Tiada jalan lain, hanyalah Hari Nama yang mampu menyelamatkan engkau dalam Kali Yugam dan membawa kau pulang kepada Nya".

Rabu, 24 April 2013

Brahma Purana: Bab Ketujoh

Bab 7

Turunan Yaduwangsa

Dalam turunan Yadu itu, ada pecahan Haihayawangsa. Kartawira Arjuna itu datang dari Haihayawangsa. Baginda menjadi chakrawarti yang mendapat 1000 tangan berkuasa dari Betara Indera.

Cetera Kartawira Arjuna

Baginda ini terbukti merupakan pemerintah yang terbaik yang menyediakan perlindungan dan kesukaan kepada rakyatnya. Keadaan ini jaranglah terjadi dalam sejarah manusia semua. Keberanian baginda pula boleh dilihat dalam Ramayana apabila baginda melawan maharaja Rawana. Baginda dipenjarakan oleh asura dan maharesi Pulastiya sendiri terpaksa memohon supaya baginda dibebaskan oleh mereka! 

Namun, perjalanan masa menyebabkan baginda Kartawira Arya mula menjadi gila kuasa dan membunuh maharesi Jamadagni. Maharesi itu dibunuh kerana tak mau memberinya Kama Dhenu. Dalam pada itu, dewa Agni mendekati Kartawira Arya supaya dipuaskanlah laparnya itu. Baginda Kartawira Arya memberikan hutan yang besar supaya sang Agni boleh memakannya sepuas hati. Malang sekali dalam hutan itu ada pula asrama maharesi Wasista. Beliau terbunuh kerana terbakar. Sebelum mati, maharesi menyumpah Kartawira Arya bahawa nanti akan ada jelmaan Betara Wisnu iaitu Parasurama muncul. Beliau itu bukan saja akan membunuh Kartawira ARya tapi juga akan menghapuskan semua kaum Kesatria ketika itu kerana bersikap kejam terhadap kaum Brahmana, para resi dan rakyat pada umumnya. Sumpahan resi Wasista menjadi kenyataan apabila Parasurama membunuh raja-raja kaum Kesatria dalam 27 peperangan!!!!

Berabad lamanya dalam turunanan Kuruwangsa, terbit pula terbitan buruk dari Kuruwangsa. Itulah dia raja Shantanu. Baginda dan dewi Gangga melahirkan Dewa Wrata. Dewa Wrata dikenali ramai sebagai Bhisma Pitamaha. Bhisma Pitamaha dipanggil Dewa Wrata itu sebab sumpah membujangnya itu melanggar tatahidupan berumah tangga kerana bencinya kepada keinginan ayahandanya, raja Shantanu hendak berkahwin dengan Satyawati atau Matchagandhi. Matchagandhi ini dinamakan semula oleh maharesi Parashara sebagai Yojanagandhi. Maharesi itu terpikat dengannya ketika melintasi sungai. Ketika itu, wanita itu sedang memancing ikan. Dia dipanggil oleh maharesi dan diberi pahala oleh maharesi bahawa tubuhnya itu hilang bau ikannya tapi berubah menjadi bau semerbak harum sejauh yang mampu dihidu orang. Selain itu, daranya pun tak terjejas dan dia akan menjadi permaisuri pula kepada seorang raja terkenal.

Cetera Maharesi Wedawiyasa

Sebagai kesan kepada apa yang terjadi, menjelmalah Swarupa Betara Wisnu yang dilahirkan dari Satyawati dan maharesi Parashara. Betara Wisnu menjelma menjadi maharesi Wedawiyasa. Maharesi Wedawiyasa ini mempunyai kepakaran menulis Astadasa Maha Purana serta menulis banyak lagi sasteragama. Mahakawiyam beliau yang terkenal sekali itu adalah Mahabharata.  

Selepas Perkahwinan Raja Shantanu

Berlawananlah dengan latarbelakang raja Shantanu jatuh hati kepada Satyawati. Satyawati membuat syarat supaya Dewa Wrata atau keturunan baginda itu dibenar menaiki singgahsana kerajaan Kuruwangsa. Maka, demi terdengar oleh Bhisma hal ini dia pun membuat sumpah pula tidak akan berkahwin.

Berikutan hal ini pula, anakanda raja Shantanu namanya Wicitrawira Arya yang dilahirkan dari Satyawati meninggal dunia muda. Jadi gemparlah kerajaan tak ada pewaris singgahsana. Bhisma pun dijemput untuk mengawan dengan bini-bini sepupunya menurut kepada amalan Niyoga bagi keadaan darurat kerajaan. Hasilnya, balu-balu Wicitrawira Arya iaitu Ambiga dan Ambalika melahirkan Dhristarastra dan Pandu. Dhristarastra dilahirkan buta kerana Ambiga, ibunya itu menutup mata semasa mengawan sebab takutkan maharesi Weda Wiyasa. Pandu pula dilahirkan pucat sebab ibunya, Ambalika pucat lesi ketakutan bila terlihat bayangan maharesi Weda Wiyasa. Kedua wanita ini cuba mempertanggungjawabkan wanita suruhan mereka. Darinya itu lahir Widura yang benar dalam percubaan ketiga.   

Dhristarastra mengahwini Gandhari. Mereka melahirkan 100 anak dan yang sulongnya Duryodhana. Isteri Pandu, Si Kunti melahirkan Yuddhistira dari Amsa Yama Dharma. Bhima pula dari Amsa Wayudewa dan Arjuna dari Amsa Betara Indera. Si Kunti sendiri melahirkan anak walaupun sebelum perkahwinannya dengan Pandu dari Amsa Dewa Surya. Tapi sebab dia takut maka anak itu ditinggalkan dalam bakul terapung di air mengalir. Bakul itu dipungut Radha, wanita tak beranak. Radha membawa anak itu pulang lalu dinamakannya Radheya atau Karna. Dinamakan Karna itu sebab di telinga sewaktu ditemui ada Karnakundala atau subang telinga.    

Bila Kaurawa dan Pandawa membesar, mereka sama-sama ada rasa tak puas hati. Hal ini dikipas pula oleh Dhritarastra di satu bahagian. Begawa Kresna pula berpihak dengan kaum Pandawa di pihak satu lagi. Perang Mahabharata nanti merupakan kemuncak kepada keadaan ini dan berakhir dengan pertumpahan darah. Kuasa jahat dan baik bertarung dan Begawan Kresna mengambil peranan dalam perjalanan itihasa memaparkan contoh Nya menerusi kata, "Paritranaya sadhunaama winashaaya dushkrutam, dharma samsthapanaartahaya sambhawami yugey... yugeyyy!!!!

Isnin, 22 April 2013

Enam Seteru Diri


Swasti Srih!

Tahukah anda apakah Sadripu bagi diri manusia itu? Sadripu itu pertamanya bererti enam musoh. Sadripu yang tersenarai itu adalah....

1. Kama, hawa nafsu
2. Loba, ketamakan
3. Krodha, kemarahan
4. Mada, membesar diri
5. Moha, keterikatan yang memerangkap
6. Matsariya, kedengkian

Kesemua enam musoh inilah yang akan mengikat rohani seseorang dalam laluan jelmaan dan kematian lalu menjadikannya tersangkut dalam alam duniawi atau kebendaan yang dikurung oleh maya. Tiga yang awal itu utamanya membawa seseorang masuk ke neraka....Ini enam perkara sangatlah ditakuti oleh kaum pertapa tidak mengira dari jati Brahmana atau pun dari dalam kalangan kaum Sharmana jika dibandingkan dengan hantu setan.

Mereka yang membebaskan dirinya daripada enam musoh ini sahajalah yang mampu mencari jalan kelepasan dan kebebasan iaitu moksa.

Mistik : Alam Roh dan Alam Manusia

Oleh Bapa Bhagyasali
Terjemahan oleh NG


Dalam jagat raya ini, ada lah juga loka bagi 10 alam dharmma iaitu alam para Buddha, alam para Bodhisatwa, alam Pratyeka Buddha, alam Srawaka, dan enam alam yang disebut sebelum ini. Ada alam para Buddha misalnya seperti alam Tanah Murni Sinaran Murni di Timur dan Tanah Murni Penuh Suka di Barat. Makhluk di langit atau pun makhluk samawi menurut gaya bahasa penganut agama seperti penganut Islam mempunyai alam yang terbahagi kepada tiga pula dan ada 28 langit.

Manusia seperti kita ini, ada dunia dengan tiga lautan dan lima benua semuanya. Dalam kalangan manusia ada pelbagai bangsa dengan bentuk tubuh dan kulit bermacam warnanya. Setengahnya itu kaya, yang lain pula miskin. Ada yang cerdik dan ada yang lembap akalnya. Binatang pun begitulah juga ada dunia mereka sendiri. Setengahnya terbang di udara, setengah merayap atas tanah dan setengah yang lain berenang di lautan atau lopak berair. Begitu juga halnya dengan makhluk halus, roh-roh tak bertubuh di dalam jagat raya dan hantu dalam neraka pun ada pelbagai cara dan bentuk kehidupan. Hantu tinggal dalam alam seperti manusia juga. Berkeluarga, bekerja untuk diri sendiri dan sebagainya. Ada yang kaya ada yang papa kedana. Dunia mereka pun ada kesedihan ada pertelingkahan. Hantu dan makhluk halus secara keseluruhannya pun ada banyak jenis tabiat pula. Ada yang ganas kejam ada yang baik mulia.

Makhluk halus, roh dan hantu semua sangat rapat sebenarnya dengan satu sama lain. Semua pun berada di bumi yang sama. Lagipun bukan semua hantu itu terjelma dalam neraka. Ada juga yang berada dalam kalangan kita. Di kiri kanan kita ada saja mereka. Mungkin mereka sedang memerhatikan kita sedang membaca tentang mereka. Tak perlu nak mengembara ke neraka semata-mata nak bertemu dengan hantu sebab hantu itu ada di merata tempat dalam dunia kita pun ada. Apakah hantu yang ada dalam dunia kita ini? Tengok saja sekeliling kau orang itu. Tak perlu nak bandingkan orang agama ini baik, agama itu jahat. Agama ini masuk dalam neraka atau agama itu masuk dalam sorga. Tengok dalam lingkungan diri korang sendiri.

Yang menyalahgunakan dadah, minum ayer ketum, membazir masa melibatkan diri dalam perkara sia-sia, berzina, mencederakan orang lain dan mengebom orang, melakukan tindakan ganas, merompak orang, merasuah, menyamun, menjadi penyangak dan pembunuh. Bukankah mereka ini semua lebih teruk daripada hantu dan jahat daripada setan kalau menurut gaya bahasa orang Islam atau orang Kristian dan Yahudi? Bukankah kita pun pada masa-masanya tergoda untuk menjadi seperti hantu dan setan juga? Menahan bantuan yang patut diterima bagi yang layak menerimanya, yang berpaling apabila melihat kejahatan atau kesilapan tanpa membetulkannya, yang syak wasangka memanjang kepada orang, yang bercakap buruk mengenai kawannya, berjiwa kejam walaupun kita tahu bahawa buatan kita itu kejam dan mencederakan jiwa dan perasaan makhluk yang lain? Tak betulkah yang setan berupa manusia ini pun lebih jahat dan teruk daripada setan dari neraka?

Bila kita pikir tentang hantu setan ini, kita selalunya hanya terpikir hendak mencari pedanda atau bhikkhu serta meminta restu mereka bagi rumah atau benda kepunyaan kita. Tapi pernahkah kita selalu terpikir untuk mendapatkan restu bagi "hantu-hantu" dalam dunia kita? Bila hantu dan setan itu direstui dan dibebaskan daripada kesengsaraan, maka amanlah pikiran kita suko niroga nirupadrawa tiada gangguan di kediaman kita. Sama halnya dengan "setan manusia" ini jika dibebaskan daripada kesengsaraan, akhlaknya akan diangkat dan sangkom pun akan mendapat ketenangan. 

Apakah caranya kita boleh membebaskan "setan manusia" itu? Cara penganut ajaran Buddha yang pertamanya adalah meminta perlindungan Trairattana, memegang Panchasila atau Pancha Sikkhapadam, mengamalkan Paramita atau Enam Kesempurnaan, serta menjalankan Dasa Bhumika. Meminta perlindungan Trairattana yang sebenarnya membawa kepada keselamatan penganut ajaran para Arya dan Buddha itu bererti jangan kita jatuh dalam alam neraka; Meminta perlindungan Dharmma itu bererti jangan kita jatuh dalam alam haiwan; Meminta perlindungan Sangkom itu bererti jangan jatuh dalam alam hantu lapar. Jika semua kita menjunjung Panchasila - jangan membunuh nyawa, jangan mencuri menyamun, jangan melibatkan diri dengan hubungan jenis, jangan bercakap kasar mencarut dan jangan melibatkan diri dengan perkara yang memabukkan maka jauhlah kita daripada segala setan dan kejahatan. Kita tidak akan lagi menyemai benih kejahatan yang akan menyebabkan kita terjelma dalam alam neraka atau menjadi hantu atau roh jahat.

Dalam dunia serba moden ini, kejahatan ada sahaja di sekeliling kita. Jika untuk sebarang sebab pun salah seorang daripada kita ini dicemari oleh kejahatan maka segeralah kembali kepada Arya Dharmma supaya dimurnikan semula diri kita. Jika semua kita ini berbakti dan menyebarluaskan nilai-nilai kebajikan dalam masyarakat, menyokong pendidikan, membantu yang lain tanpa mementingkan diri dan menaikkan semula tahap masyarakat ke arah kebaikan, maka semua "setan berupa manusia itu akan terbebas daripada kesengsaraan mereka. 

Saya ucapkan ribuan terima kaseh kepada tuan-tuan budiman yang hadir pada malam ini. Harapan saya supaya usahak kita ini boleh memadamkan "hantu" dalam diri kita dan setiap orang itu akan menjadi manusia yang sebenar-benarnya dan berpekerti mulia. Daripada sentiasa terpikirkan hantu, ada baiknya berpikir mengenai Phra Guru. Berbanding dengan bertindak seperti hantu setan, haruslah kita sedari sifat Buddha dalam diri kita. Jadinya, alam manusia ini akan menjadi Tanah Murni dan tak perlu kita nak risau tentang neraka lagi.