Memaparkan catatan dengan label dresti. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label dresti. Papar semua catatan

Jumaat, 2 Ogos 2013

Dresti Buddha: Klesa

Swasti Srih!


Dalam ajaran Buddha, sabdawali ini merujuk kepada keadaan mental yang menyelubungi pemikiran dan terjelma dalam tindakan-tindakan yang tidak sihat atau negatif. Klesa ini termasuklah keadaan minda seperti kebimbangan, kerisauan, ketakutan, kemarahan, kecemburuan, dengki, keinginan, tekanan, kemurungan dan lain-lain. Dalam penterjemahan bahasa Melayu terkini kurang pasti lah aku bagaimana caranya. Tapi ia boleh diterjemakan sebagai racun minda, emosi negatif, emosi yang mengganggu, emosi yang merosak, pencemaran minda, kesakitan pada jiwa (rohani) dan lain-lain.

Dalam tradisi Mahayana dan Therawada, tiga klesa itu termasuklah keterikatan, kejahilan dan rasa kebencian yang dikenalpasti menjadi puncaa utama kepada seluruh klesa yang lain. Dalam tradisi Mahayana, disebutlah ia tiga racun jiwa, manakala dalam Therawada disebut sebagai tiga akar kesakitan jiwa. Teks-teks bahasa Bali awal tak ada pun menyebut secara terperinci tentang tiga klesa utama ini, tapi beberapa ketikanya ia diperhatikan oleh cendekiawan sebagai perkara yang menjadi punca utama kepada kewujudan sengsara.

Sastera Bali

Dalam sutra-sutra Bali, klesa ini sering dikaitkan dengan pelbagai rasa minat yang mencemari keadaan tubuh dan juga minda. Dalam Abhidharma Sutra dan juga sastera bahasa Bali selepasnya, 10 jenis pencemaran itu dapat dikenalpasti dengan tiga yang utama adalah loba, benci dan maya. Tiga yang utama ini digelarlah ia punca kepada sengsara dalam dunia ini.

Sutra Pitaka: Halangan Mental

Dalam Sutra Pitaka, klesa dan juga upakklesa merupakan halangan yang merosak kepada pencarian abhijña (pengetahuan terus) dan juga prajña (kebijaksanaan).

Contohnya, Samyutta Nigaya memasukkan sekumpulan 10 perbincangan (SN 27, Kilesa Sayutta) yang menyatakan bahawa sebarang perkaitan dari chanda-rago atau ingin-minat dengan tubuh atau minda itu adalah pencemaran kepada minda yang dalam bahasa Bali disebut cittasse'so upakkileso:
"Bhiksu sekelian, sebarang ingin-minat yang berkaitan dengan pandangan mata itu merupakan pencemaran pemikiran. Sebarang ingin-minat berkaitan dengan telinga... hidung... lidah... tubuh... intelek... itu merupakan pencemaran minda. Apabila, berkaitan dengan enam dasar ini, pencemaran dari kesedaran ditinggalkan, maka minda pun condong kepada menolak benda loka maya. Minda yang dituntun dengan menolak benda loka maya ini akan terasa mudah dipengaruhi untuk menerima pengetahuan terus dari ciri-ciri yang berbaloi untuk disedari". 
Meluas lagi, lima halangan seperti kamacchanda (keinginan deria), biyapada (kemarahan), thinamiddha (lengai-mandom), uddhacca-kukkucca (tak tenang-risau) dan wicikiccha (keraguan) selalu lah dikaitkan dengan klesa dengan cara sama seperti berikut:

Sabbe te bhagawanto pañcanīvarae pahāya cetaso upakkilesa paññāya dubbalīkarae....

Semua yang direstui itu sudah pun meninggalkan lima halangan, pencemaran pemikiran yang melemahkan kewicaksanaan....

Sebagai tambahan pula, Niddesa dalam Khuddhaka Nigaya mengenalpasti kilesa sebagai satu komponen atau suatu yang setara dengan tanha (idaman) dan raga (syahwat).

Abhidharma Pitaka: Sapuloh Pencemaran dan Akar Keburukan Tindakan

Dalam Sutra Pitaka, tiada tersenarai pun jenis-jenis klesa, namun dan Dharmasangani Abhidharma Pitaka (Dhs. 1229ff.) serta Wibhanga (Wbh. XII) seperti juga dalam Wisuddhimarga sebelum catitan suci (WSM. XXII 49, 65) menyenaraikan 10 pencemaran atau dasa kilesa watthuni sebagai berikut:

1. Lobha atau ketamakan
2. Dosa iaitu kebencian
3. Moha atau jerangkap samar maya
4. Mana iaitu keangkuhan
5. Micchadresti atau pandangan yang salah
6. Wikiccha yang ertinya keraguan
7. Thinam atau mandom lemah longlai
8. Uddhaccam iaitu tidak tenang sehingga letih
9. Ahirigam atau tidak tau malu
10. Anottappam iaitu kecuaian akibat lalai

Sutra Wibhanga juga turut memuatkan astha klesa watthuni atau lapan lapis racun yang merupakan bahagian awal lapan daripada sepuloh yang tersebut dalam senarai di atas ini. Dalam kesusasteraan bahasa Bali, tiga klesa dalam senarai 10 jenis racun diterangkan melalui Abhidharma Pitaka iaitu lobha, dosa moha itu dikenalpastikan bagi upasaka awam sebagai akusalamula atau pencetus kejahatan tindakan. Maka harus tuan budiman berhati-hati dalam pemikiran. Cuba tuan perhatikan secara sunyi sepi sekeliling tuan budiman sekelian tentang bagaimana perkara dunia sekeliling tuan sekelian dicetuskan oleh tiga klesa utama itu. Lihat sahaja di Asia Barat, di Pakistan atau di India walaupun benua kita itu merupakan tempat kelahiran dresti-dresti agung yang kita bicarakan ini.

Lawan kepada akusalamula ini adalah kusalamula. Tiga akarnya adalah alobha, adosa dan amoha. Kewujudan akusalamula dan kusalamula ini boleh diperhatikan pada keadaan pemikiran kita, kata-kata kita atau tindakan tubuh kita. Ia memberi gambaran keadaan kesedaran kita yang ke depannya dan juga dikaitkan dengan punca-punca pikiran yang terjelma dalam karma.  

Wisuddhimarga: "Bulatan Pencemaran"

Dalam ulasan karya Wisuddhimarga atau Jalan Penyucian Diri kurun ke-5 M, perbincangan tentang "Terbitan Kebergantungan" atau Pratitya Samudpada (Wsm. XVII) memaparkan cara-cara pendedahan berbeda bagi pemahaman 12 punca atau nidanam ajaran ini.

Satu caranya (Wsm. XVII, 298) membahagikan nidanam 12 ini kepada tiga watta atau bulatan-bulatan:
  • klesawatta atau bulatan pencemaran
  • karmawatta atau bulatan karma
  • wipakawatta atau bulatan keputusan
Dalam kerangka ini, klesa (kegelapan rohani) menjadi prasyarat kepada karma (pembentukan) yang menjadi prasyarat kepada keputusan-keputusan (kesedaran menerusi perasaan-perasaan atau emosi) yang kemudian menjadi prasyarat kepada klesa (kehendak dan kebergantungan padanya) yang menjadi prasyarat pula kepada karma (yang akan terjadi) dan seterusnya. Mpu Buddhaghosa (Wsm. XVII, 298) menyimpulkan bahawa:
Makanya, "Cakra Menjadi" ini, mempunyai pusingan tiga kali dengan tiga bulatan, haruslah dipahami sebagai berputar-putar, berpusing-pusing tak pernah berhenti selamanya; kerana syarat-syaratnya tidak diputuskan sebagai juga bulatan pencemaran itu tak dihentikan! 
Seperti yang dilihat dalam kerangka yang ini, bulatan pencemaran itu dalamnya terkandung:
  • Awidya atau kejahilan penyebab kegelapan diri
  • Tanha atau keinginan
  • Upadana atau kebergantungan yang disebabkan keinginan
Di mana-mana sahaja dalam Wisuddhimarga (Wsm. XXII, 88) dalam konteks arya puggala atau empat jenis orang yang mulia peribadinya, sastera ini merujuk juga kepada penunjuk kepada pencapaian nirwana itu sebagai penghapusan terus "pencemaran yang menjadi pencetus kepada bulatan" atau wattamulakilesa.

Dresti Hindu: Klesa

Om Swastiastu!


Sudah lama kita tidak membincangkan mengenai dresti Hindu kita. Baru-baru ini aku ada terbaca dalam laman kepunyaan seorang penganut ajaran Buddha keturunan Siam senegara yang menyebut bahawa, "Musuh utama manusia yang wajib dibunuh-bunuh itu ialah kleśa yang berdiam di hati. Malangnya manusia itu gelap hatinya sehingga tak mengenali musuh ini lantas dibunuhnya nyawa ciptaan bernyawa yang lain kerana disangkanya musuh akibat kegelapan dirinya itu". 

Jadi dalam masukan kita ini, aku ingin bercakap tentang ക്ലെശാ kleśa yang kita sering dengar dalam yoga. Ertinya dalam bahasa Melayu itu adalah "racun". Sloka ketiga dari Yogasutra Patanjali mengenalpasti lima jenis racun atau പഞ്ചക്ലെശാ panchakleśa. Disebut Patanjali:

അവിദ്യാസ്മിതാരാഗദ്വെഷാഭിനിവെശാഃപഞ്ചക്ലെശാഃ (൩)

Awidyāsmitārāgadweṣābhiniweśāh pañca kleśā (3)

Ertinya:

Lima racun itu adalah.......
  • Awidyā atau kejahilan dalam bentuk kesilap pahaman tentang hakikat. 
  • Asmitā dalam bentuk kesilapan dalam pengenalan Jiwa dengan intelek (kemampuan pengetahuan).
  • Rāga iaitu keterikatan pada bahan maya.
  • Dwea atau rasa menyampah, antipati, benci, jijik dan meluat.
  • Abhiniweśāh atau takut dengan kematian yang terbit dari sikap terlalu condong kepada dunia atas dasar kejahilan.
Nanti sambungannya akan aku perbuat pula bagi pemahaman dalam ajaran Buddha dan pemikiran para Sarmana. Penerangannya mungkin panjang sedikit kerana perlu gabungan pula kepada tradisi Mahayana dan Therawada bagi mengelakkan pemahaman separuh tiang. Ku tekankan juga bahawa perkara ini sangatlah penting bagi perkembangan jiwa tuan budiman.

Rabu, 3 Julai 2013

Aliran Saiwa Bukan Purana


Smarta

Smarta ini merupakan aliran cawangan agama Hindu Saiwa yang menekankan pemujaan kepada pancha dewata berbanding dengan hanya menumpukan kepada satu dewata sahaja. Pemujaan Sang Hiyang dalam lima bentuk ini dikenali sebagai rupakara pancayatana puja. Ia disebarkan oleh joṃ dreśti, Mpu Adi Sankara atau Sankaracarya (650-800/788-820). Rupakara ini disusun semula oleh Mpu Adi Sankara bagi menyatukan dewata-dewata utama dalam lima aliran utama dengan meletakkan dewata ini pada kedudukan yang selaras bagi mewakili Sang Hiyang. Pemujaan biasanya dijalankan dengan menyeru Betara Siwa, Sang Ganesa, Betara Wisnu, Seri Dewi dan Sang Suriya.

Dreśti wedanta yang dibicarakan oleh Mpu Adi Sankara ini membolehkan seseorang itu memilih iṣta dewata bagi dirinya dalam masa yang sama juga turut memuja lagi chatur dewata sebagai rupa-rupa yang terpancar dari Brahman Maha Tinggi. Aku kurang pasti mengenai ajaran Hindu di bahagian Bali dan di Jawa Timur yang secara tradisinya memang pusat ajaran agama Hindu di bahagian Asia Tenggara kepulauan. Aku pernah mendengar mengenai aliran Siwa Buddha yang mungkin kita bicarakan serba sedikit tentangnya. Kalau salah itu ku pohon ampun dahulu dan minta rakan-rakan Hindu Nusantara membantu kita menceterakan pula serba sedikit bagi pencerahan bersama jika mempunyai samacara mengenainya kerana aku berpendapat penganut aliran Saiwa patut berkongsi mengenai tradisi sesama sendiri walapun berbeda-beda budaya supaya celik pada pandangan jagat.    

Saiwa Siddhanta

Tradisi kehinduan ini mungkin terbitan dari aliran Saiwa Trika di Kashmir sana sebelum berkembang menjadi bentuk pengajian agama yang disebarkan oleh Mpu Sadajiyothi, Mpu Narayanakantha Bhatta dan putera beliau, Mpu Ramakantha Bhatta (950-1000 M). 

Aliran ini dianggap sebagai aliran Saiwa-Tantra yang piawai. Ia memberikan bentuk upacara yang piawai, pandangan jagat dan juga bentuk pengajian agama yang bercirikan tantra. Dreśtinya yang dwaita ini bertujuan utama untuk mencapai rupa Siwa yang berbeda menerusi karunia Betara Siwa. Ia sudah diamalkan di seluruh tanah Hindu pada suatu ketika dahulu. Namun penaklukan orang-orang yang beragama Arab di kawasan India Utara menyebabkan Saiwa Siddhanta hanya hidup di sebelah Selatan Tanah Hindu dan kemudiannya terserap dalam pemujaan Saiwa orang-orang Tamil yang terpapar pada kekawin bakti para Nayanar dalam bahasa Tamil. Kerana perjalanan babad ini lah makanya aliran ini selalu dianggap sebagai tradisi "Selatan" dan masih utuh sebagai bentuk lamanya.   

Para Nayanar

Menjelang satawarsa ke-7 M, Nayanar atau pengarang kekawin yang berkedudukan sebagai Mpu menurut tradisi bakti di India Selatan memberikan tumpuan kepada Betara Siwa seperti juga para Alwar aliran Waisnawa memandang utama kepada Betara Wisnu.

Kekawin bakti para Nayanar ini terbahagi kepada 11 kumpulan yang bersama dengan Purana Bahasa Tamil digelar sebagai Periya Puranam atau Purana Raya. Tujuh kumpulan kekawin mulaan dipanggil sebagai Thewaram dan dianggap oleh penganut Hindu aliran Saiwa keturunan Tamil sebagai setara dengan Catur Weda. Thewaram ini dikarang sekitar satawarsa ke-7 M oleh Mpu Sambandar, Mpu Appar dan Mpu Sundarar. 

Kekawin suci lain yang terkenal adalah hasil karangan Mpu Tirumular berjudul Thiru Mantram. Ia dianggap oleh Mpu Tattwananda sebagai salah satu penerangan mengenai ajaran aliran Saiwa di rantau orang Tamil yang awal sekali. Thiru Mantram ini merupakan sumber pertama bagi rupakara Saiwa Siddhanta dan merupakan pustaka ke-10 dalam susunan pustaka suci Saiwa Siddhanta kini.

Di samping itu, ada juga Thiru Wacagam oleh Mpu Manikka Wacagar. Ia merupakan himpunan stotram penting yang dinyatakan oleh Sir Charles Eliot dalam tulisannya sebagai, "Tak pernah ku temui dalam sastera-sastera yang sudah biasa ku baca yang dalamnya itu terdapat kehidupan beragama, pergelutan jiwa dan juga ketika lemahnya jiwa, harapannya dan juga kebimbangan jiwa, keyakinan jiwa dan kejayaan yang dijelaskan secara ikhlas dan jelas dari hati sanubari". Pujian Thiru Wacagam memuji Betara Siwa ini merupakan karya penduduk negara Selatan, rantau negara Tamil tetapi menjadi bacaan puja oleh orang ramai di merata-rata negara tanpa ada sebarang sekatan dan dakwaan hak milik pun kerana ramai memang sedia tahu mengenai milikannya. 

Ada banyak pura atau koyil yang ditujukan untuk Betara Siwa di negara Tamil, utamanya itu terletak di rantai Tanjawur yang dahulunya merupakan tapak utama bagi pemerintahan wangsa Chola antara 800-1200. Saiwa Siddhanta terkenal sekali di India Selatan, Malaysia, Singapura dan negara-negara yang terdapat warganegara berbangsa Tamil.

Siwa-Buddha

Aliran ini merupakan perpaduan antara tradisi Hindu dengan ajaran Buddha di Pulau Jawa. Pada samaya kerajaan Majapahit, ajaran Saiwa dan ajaran Buddha berpadu menjadi satu dan terlihat pada beberapa karya sastram di Pulau Jawa contohnya seperti Kekawin Sutosama dan Kekawin Arjuna Wijayam.

Kini, kedua-dua aliran Saiwa dan ajaran Buddha (Siwa-Buddha) dianggap sebagai aliran yang berbeda dalam satu agama yang sama iaitu agama Hindu. Di Pulau Bali, terdapat sebuah kampung yang dinamakan sebagai Buda Keling di kebupatian Karang Asem dengan seluruh penduduknya beraliran Siwa-Buddha.

Sebagai perkongsian juga, di kawasan Indo-China juga terdapat penduduk yang mengamalkan ajaran Buddha tetapi turut menjalankan pemujaan kepada sama ada Betara Siwa atau Betara Wisnu sehingga ke hari ini. Ajar-ajar yang menjalankan upacara biasanya berkain puteh dan berambut sanggul seperti resi-resi Hindu di India. Mereka cuma dipanggil sebagai Brahmana dan upacara yang dijalankan termasuk dalam kumpulan upacara pemujaan Brahmana. Upacara pemujaan kepada Sang Ganesa juga biasa dijalankan tatkala membuka perwayangan atau lakonan di pentas upacara bagi tujuan pengubatan dan sebagai dalam bentuk tabik guru bagi meminta perlindungan dari santet orang-orang yang dengki kepada dalang wayang atau pelakon wayang.