Memaparkan catatan dengan label asas buddha. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label asas buddha. Papar semua catatan

Sabtu, 5 April 2014

Itihasa Setan: Mara Deva yang Jahat

Penelitian oleh Paul Carus, 1900
Terjemahan NG Group


Ajaran Buddha merupakan sebuah revolusi melawan pengaruh buruk yang menguasai ajaran Brahmana. Baginda Siddartha Gautama, muni Sakyawangsa yang menerima pencerahan, menjadi seorang Buddha, menolak pengorbanan berdarah, pendita-pendita yang menerbitkan pengajian veda-veda suci yang mendakwa mereka berkuasa menentukan bentuk agama, menolak kebergantungan membuta-tuli terhadap upacara, menolak pembedaan samudaya berjati yang tindas-menindas dan mengajar susila yang diterima baginda semasa kejadian pencerahan di bawah pohon Pipal.

Baginda mengenalpasti kewujudan kejahatan mencari keselamatan menerusi penghapusan seluruh sikap mementingkan diri sendiri secara radikal menerusi penyebaran rasa cinta yang boleh dipahami dengan mudah kepada seluruh makhluk tidak mengira jenis bangsa dan alamnya.

Kepelbagaian sudut pandangan dalam ajaran Buddha ini ditonjolkan dengan baik sekali dalam konsep kejahatan dan perlepasan diri muktamad dari kejahatan yang diajarkan kepada para pemikir dalam rupa bentuk falsafah, dan kepada orang ramai yang tidak berpendidikan dalam bentuk cetera kekawin, sekaligus memberi peluang kepada para seniman untuk memaparkan renungan-renungan mendalam ini dalam bentuk kiasan perumpamaan.

Mara Deva yang Jahat

Kejahatan itu dirupakan sebagai Mara, mewakili godaan, dosa dan kematian. Dia itu dikenalpasti sebagai Namuche, iaitu seekor asura jahat dalam cetera Hindu. Betara Indra pernah bertapik dengan asura ini. Namuche ini merupakan semangat jahat yang menghalang hujan sekaligus menyebabkan kemarau. Namuche itu ertinya, "penghadang air". Betara Indra lalu memaksanya menyerahkan cecair kesuburan dan mengembalikan semula unsur tersebut ke bumi.

Mara disebut juga sebagai Papin (Papiyan) Yang Jahat, Pembunuh, dan Penggoda. Sebagai tambahan, dia digelar sebagai Varsavarti (Vasavatti) yang bererti Yang Memuaskan Keinginan-Keinginan. Kata ini diterbitkan dari kata vasa yang ertinya itu, keinginan dan kemahuan. Childers menjelaskan bahawa kata ini membawa erti, "memperhambakan". Mara bergelar penuh dengan gelaran Paranirmita Varsavati, "Yang memperhamba sesuatu yang dicetuskan oleh yang lain". Varsavarti ini merupakan salah satu nama kegemarannya. Dengan kekuatannya dalam rupa Varsavati, Mara menjelma menjadi pemenuhan keinginan atau tiga kedahagaan:
  • Dahaga untuk kewujudan.
  • Dahaga terhadap kuasa.
  • Dahaga terhadap keseronokan.
Mara menjadi raja kepada sorga keseronokan deria. Terdapat kebenaran mendalam dalam konsep Mara sebagai Varsavati ini. Ia dimengertikan sebagai sikap mementingkan diri yang terbit dari diri manusia itu sendiri dan kepuasan diri dari sikap itu sebenarnya adalah neraka.

Perkara ini membawa ingatan kita kepada karya Leander berjudul Märchen, yang memberitahu kita bahawa seorang lelaki telah meninggal dunia dan terjaga di loka lain. St. Peter muncul kemudiannya dan bertanya mengenai kehendaknya. Dia pun meminta sarapan pagi, surat khabar harian dan segala keselesaan yang sudah biasa dilaluinya dalam hidup. Kehidupan begitu berlangsung selama beberapa satavarsa sampai dia naik bosan dan mula mencarut-carut kepada St. Peter. Dia mengadu bahawa betapa bosannya kehidupan yang senada saja di sorga loka. Pada ketika itu diberitahukanlah kepadanya oleh St. Peter bahawa dia itu sebenarnya berada dalam neraka kerana neraka itu tempat bagi kehendak diri sendiri, sedang sorga itu tempat bagi sesiapa yang menuruti kehendak Tuhan sahaja. Begitu juga keadaannya dalam kerangka pandangan penganut ajaran Buddha Guru, bahawasanya sorgaloka bagi keseronokan deria itu adalah neraka, tempat tinggal Yang Teramat Jahat.

Dalam Dharmapada, Mara Deva lebih merupakan perlambangan jika dibandingkan sebagai seorang tokoh. Perumpaan ciri Yang Teramat Jahat itu dirasai di setiap susunan kata yang menyebut nama Mara. Contohnya, kita dapat lihat dalamnya, "Dia yang hidup cuma mencari keseronokan saja, deria-derianya tidak terkawal, tidak bersederhana dalam makanannya, mandom dan lemah, si Mara itu pasti akan menggulingkannya seperti pokok yang lemah". Pandangan ajaran Buddha yang murni tidak mengenalpasti setan yang lain pun kecuali Mara, yang mewakili keseronokan yang disertai keegoan, kesenangan deria, dosa dan kematian.

Cetera Phra Jataka yang sampai kepada penglipurlara di benua China dan kepulauan Jepun tela mengisi jagat raya ini dengan per'orangan semangat jahat pelbagai jenisnya seperti setan guruh dan kilat, dirupakan juga pelbagai penyakit kehidupan dan mara bahaya yang mengisi ceruk alam semulajadi.

Sementara itu, kesan buruk dosa dipaparkan dengan seksaan neraka, seperti kepercayaan pengikut Kristus, perlepasan diri dari kejahatan pula diungkapkan dengan kepercayaan bahawa pengikut baginda Buddha yang berkebajikan akan dijelmakan semula di Sorga Barat.

Sabtu, 21 September 2013

Tapa Merenung Astanga Arya Margah

Swasti Sri

Pada ketikanya, mungkin tuan-tuan budiman mengamalkan beberapa jenis yoga tapa. Setengahnya berbuat demikian demi ketenangan diri, manakala yang lainnya menjalani semua ini bagi membebaskan minda dari keterikatan lokamaya. Dapat kita perhatikan bahawa semua ini bertujuan bagi membebaskan pemikiran atau mental dari keterikatan, dendam amarah dan juga kejahilan atau lain katanya mencapai nirwana.

Hampir kesemua kita ini hidup kehidupan berkeluarga biasa. Kita pergi kerja di awal pagi dan balik mungkin pada petang harinya. Terasa letih tubuh ini kerana kita berpikir, bercakap, berurusan dan menjalani pekerjaan harian kita di siang hari. Pasti sekali tuan-tuan budiman bersetuju bahawa pemikiran atau otak pun menjadi lembap kesan daripada tindakan yang sentiasa berjalan ini.

Sang Buddha ada bersabda bahawasanya tak molek bagi meningkatkan ketenangan atau tumpuan jika pemikiran kita menurun menjadi lembap. Molek pula untuk ditingkatkan ciri pencerahan yang membedakan keadaan, ciri pencerahan tenaga dan juga ciri pencerahan yang menyenangkan tatkala lemah lesu pemikiran. Cubalah tuan budiman rujuk kepada Bojjhangasamyutta bagi maklumat lanjut.

Cara terbaik memulakan tapa semadi tuan itu adalah dengan kembali kepada Astanga Arya Marga. Ia merupakan jalan yang membawa kepada nirwana dan juga jalan membawa kepada peningkatan dasar-dasar tenaga kejiwaan. Selepas melalui tapa yang ini, tuan boleh sahaja hendak mengamalkan yoga tapa yang lain yang telah tuan jalankan sebelum ini. Sebenarnya, Jalan Arya ini memberikan perbedaan yang sangat ketara sekali dalam kehidupan tuan. Mungkin tuan telah pun mendengar mengenai Arya Marga Delapan ini namun kemungkinannya tuan mempunyai pandangan yang berbeda pula tentangnya. Makanya, harus tuan sekelian mempelajari Arya Marga Delapan ini sebaiknya menurut sabda Sang Buddha moga dapat diamalkan dengan semolek mungkin.

Selepas tuan mempelajari Astanga Arya Margah, mulakanlah tapa dengan pandangan benar dan melalui segala tapa langkah demi langkah. Beri perhatian kepada setiap bahagian dalam tapa itu dengan terperinci, bermula dengan "jelmaan" dan kemudian teruskan pula dengan "berusia" dan seterusnya, menguji erti setiap bahagian dan mengesahkannya satu persatu jika ia sudah boleh diterima. Sang Buddha bersabda bahawa, ada enam deria yang timbul dalam jelmaan dan juga sengsaranya. Patutlah tuan kaji perkara ini dalam masa tapa tuan. Mengapa sengsara derita itu ada enam dasar? Jawapannya adalah kerana tuan mempunyai mata yang tak abadi, telinga yang tak kekal, serta lain-lain.

Ambil sahaja contoh dari diri tuan sendiri dan orang lain. Jika tuan tak boleh melihat dengan cara yang sama seperti sebelumnya kini, dan tuan pun menderita disebabkannya maka pasti tuan akan bersetuju dengan Sang Buddha menerusi pengalaman tuan sendiri. Tuan bukan lagi setuju dengan Sang Buddha, sebab Sang Buddha yang bersabda begitu. Ambil pula ibu bapa tuan sebagai contoh atau kenalan tuan yang tidak dapat melihat sebab usia sudah lanjut. Pikirkan pula bahawa tuan pun tak mampu terlepas daripadanya. Jangan lupa pula untuk merenung ini dengan deria tuan yang lain seperti telinga, rasa di lidah, serta sebagainya. Jika tuan setuju bahawa semua ini adalah penderitaan, maka bolehlah tuan bergerak ke bahagian kedua. Usia lanjut itu Jarapi Dukkha atau penderitaan. Cuba kaji pula, sampai kepada kematian dan renungkannya sebaik mungkin dengan menerusi contoh kejadian.

Dengan cara inilah, tuan akan melalui seluruh tapa renungan diri tuan. Janganlah tergesa-gesa. Mungkin tuan mengambil masa 40 minit tapi tuan sedang berada di tahap merenung berkaitan dengan jelmaan itu derita sahaja sepanjang hari. Yang itu pun tiada masalah. Yang penting sekali adalah tuan sedar bahawa Sang Buddha bersabda itu menerusi kebijaksanaan tuan sendiri. Tuan bukan sekadar bercakap mengulangi sabda Sang Buddha sahaja tapi tanpa kesedaran. Ambil perhatian jua, tuan mungkin pikir bahawa tuan sudah pun menerima sabda Sang Buddha namun ia cumalah kepercayaan buta dan tanpa kesedaran. Jika tuan melakukannya sebaik mungkin, tuan akan melintasi setengah dharma yang tuan pernah dengari cuma tuan belum lagi menerimanya sahaja. Jangan tolak dharma itu kerana Sang Buddha itu bijaksana cuma kita tidak memahami baginda. Cubalah pula merenung lebih padanya. Akhirnya nanti, tuan pun akan setuju jua dengan Sang Buddha pada suatu hari yang mungkin merupakan hari bertuah tuan.

Tuan juga perlu menjalankan tapa ini beberapa bulan lamanya. Janganlah lupa untuk menyediakan masa sedikit bagi tapa merenung Pancha Skandha iaitu rupa, perasaan, pandangan, pembentukan mental dan kesedaran kepada gelendongan terikat pada yang sementara itu sebagai satu bahagian daripada tapa ini setiap hari. Selepas beberapa ketika, tuan pastu akan mempunyai kebolehan mengingati semula setiap minit daripada Kebenaran Mulia pertama dan tuan bolehlah mengesahkan beberapa bahagian daripadanya sendiri. Cuba tuan lihat jika tuan mendapat pandangan dalaman diri pada ketika menjalani tapa yang ini.   

Tuan bolehlah memberi perhatian kepada pembentukan Kebenaran Mulia kedua selepas mengembangkan kemahiran dalam melalui Kebenaran Mulia pertama. Cuba selama beberapa bulan untuk Kebenaran Mulia pertama dan kemudian untuk yang kedua.

Senantiasa mulakan dengan pandangan yang benar dan kemudian masuk ke gambaran Kebenaran Mulia yang pertama dan seterusnya ke Kebenaran Mulia yang kedua menurut susunan. Tuan mungkin akan mengambil masa beberapa bulan sebelum mengembangkan bahagian pertapaan yang ini dan seterusnya masuk ke Kebenaran Mulia yang ketiga. Apabila tuan masuk ke Kebenaran Mulia yang keempat, tuan dapati bahawa tuan sudah kembali semula ke dalam Jalan Mulia Lapan Lapis dan kemudian teruskannya dengan "pemikiran yang benar".

Senantiasa uji pengertian dharma yang tuan amalkan dan sahkannya jika ia sesuai dengan tuan. Jika tuan rasa tak sesuai maka tinggalkannya pada tahap ini dan langkau ke tahap seterusnya dalam tapa. Nanti kembali semula ke bahagian tersebut apabila masa terluang lagi. Tuan perlu pastikan yang tuan serasi dahulu baru mulakan tapa tersebut. Apabila beramal, periksa juga bagi melihat sama ada tuan mempunyai ciri-ciri tersebut. Tuan harus senantiasa menguji diri sendiri, sama ada tuan sudah meninggalkan segala kesenangan deria semampu yang mungkin? Sama ada tuan mempunyai pemikiran yang tidak merosak, atau pemikiran yang tidak mengganggu sesiapa pun? Jika tuan rasa selesa di situ, maka tuan bolehlah masuk ke tapa "ucapan benar" dan seterusnya.

Untuk pengalaman ku ini, ku kongsikan kepada tuan bahawa setiap pagi kita akan membaca Jalan Mulia Lapan Lapis ini supaya ia terpasak dalam dada. Kemudian sahaja kesedaran mendatang akan menyebabkan kita beramal dengannya. Cubalah tuan jalankannya dan perhatikan kesannya sendiri. Semoga berbahagia selalu.

Jumaat, 2 Ogos 2013

Dresti Buddha: Klesa

Swasti Srih!


Dalam ajaran Buddha, sabdawali ini merujuk kepada keadaan mental yang menyelubungi pemikiran dan terjelma dalam tindakan-tindakan yang tidak sihat atau negatif. Klesa ini termasuklah keadaan minda seperti kebimbangan, kerisauan, ketakutan, kemarahan, kecemburuan, dengki, keinginan, tekanan, kemurungan dan lain-lain. Dalam penterjemahan bahasa Melayu terkini kurang pasti lah aku bagaimana caranya. Tapi ia boleh diterjemakan sebagai racun minda, emosi negatif, emosi yang mengganggu, emosi yang merosak, pencemaran minda, kesakitan pada jiwa (rohani) dan lain-lain.

Dalam tradisi Mahayana dan Therawada, tiga klesa itu termasuklah keterikatan, kejahilan dan rasa kebencian yang dikenalpasti menjadi puncaa utama kepada seluruh klesa yang lain. Dalam tradisi Mahayana, disebutlah ia tiga racun jiwa, manakala dalam Therawada disebut sebagai tiga akar kesakitan jiwa. Teks-teks bahasa Bali awal tak ada pun menyebut secara terperinci tentang tiga klesa utama ini, tapi beberapa ketikanya ia diperhatikan oleh cendekiawan sebagai perkara yang menjadi punca utama kepada kewujudan sengsara.

Sastera Bali

Dalam sutra-sutra Bali, klesa ini sering dikaitkan dengan pelbagai rasa minat yang mencemari keadaan tubuh dan juga minda. Dalam Abhidharma Sutra dan juga sastera bahasa Bali selepasnya, 10 jenis pencemaran itu dapat dikenalpasti dengan tiga yang utama adalah loba, benci dan maya. Tiga yang utama ini digelarlah ia punca kepada sengsara dalam dunia ini.

Sutra Pitaka: Halangan Mental

Dalam Sutra Pitaka, klesa dan juga upakklesa merupakan halangan yang merosak kepada pencarian abhijña (pengetahuan terus) dan juga prajña (kebijaksanaan).

Contohnya, Samyutta Nigaya memasukkan sekumpulan 10 perbincangan (SN 27, Kilesa Sayutta) yang menyatakan bahawa sebarang perkaitan dari chanda-rago atau ingin-minat dengan tubuh atau minda itu adalah pencemaran kepada minda yang dalam bahasa Bali disebut cittasse'so upakkileso:
"Bhiksu sekelian, sebarang ingin-minat yang berkaitan dengan pandangan mata itu merupakan pencemaran pemikiran. Sebarang ingin-minat berkaitan dengan telinga... hidung... lidah... tubuh... intelek... itu merupakan pencemaran minda. Apabila, berkaitan dengan enam dasar ini, pencemaran dari kesedaran ditinggalkan, maka minda pun condong kepada menolak benda loka maya. Minda yang dituntun dengan menolak benda loka maya ini akan terasa mudah dipengaruhi untuk menerima pengetahuan terus dari ciri-ciri yang berbaloi untuk disedari". 
Meluas lagi, lima halangan seperti kamacchanda (keinginan deria), biyapada (kemarahan), thinamiddha (lengai-mandom), uddhacca-kukkucca (tak tenang-risau) dan wicikiccha (keraguan) selalu lah dikaitkan dengan klesa dengan cara sama seperti berikut:

Sabbe te bhagawanto pañcanīvarae pahāya cetaso upakkilesa paññāya dubbalīkarae....

Semua yang direstui itu sudah pun meninggalkan lima halangan, pencemaran pemikiran yang melemahkan kewicaksanaan....

Sebagai tambahan pula, Niddesa dalam Khuddhaka Nigaya mengenalpasti kilesa sebagai satu komponen atau suatu yang setara dengan tanha (idaman) dan raga (syahwat).

Abhidharma Pitaka: Sapuloh Pencemaran dan Akar Keburukan Tindakan

Dalam Sutra Pitaka, tiada tersenarai pun jenis-jenis klesa, namun dan Dharmasangani Abhidharma Pitaka (Dhs. 1229ff.) serta Wibhanga (Wbh. XII) seperti juga dalam Wisuddhimarga sebelum catitan suci (WSM. XXII 49, 65) menyenaraikan 10 pencemaran atau dasa kilesa watthuni sebagai berikut:

1. Lobha atau ketamakan
2. Dosa iaitu kebencian
3. Moha atau jerangkap samar maya
4. Mana iaitu keangkuhan
5. Micchadresti atau pandangan yang salah
6. Wikiccha yang ertinya keraguan
7. Thinam atau mandom lemah longlai
8. Uddhaccam iaitu tidak tenang sehingga letih
9. Ahirigam atau tidak tau malu
10. Anottappam iaitu kecuaian akibat lalai

Sutra Wibhanga juga turut memuatkan astha klesa watthuni atau lapan lapis racun yang merupakan bahagian awal lapan daripada sepuloh yang tersebut dalam senarai di atas ini. Dalam kesusasteraan bahasa Bali, tiga klesa dalam senarai 10 jenis racun diterangkan melalui Abhidharma Pitaka iaitu lobha, dosa moha itu dikenalpastikan bagi upasaka awam sebagai akusalamula atau pencetus kejahatan tindakan. Maka harus tuan budiman berhati-hati dalam pemikiran. Cuba tuan perhatikan secara sunyi sepi sekeliling tuan budiman sekelian tentang bagaimana perkara dunia sekeliling tuan sekelian dicetuskan oleh tiga klesa utama itu. Lihat sahaja di Asia Barat, di Pakistan atau di India walaupun benua kita itu merupakan tempat kelahiran dresti-dresti agung yang kita bicarakan ini.

Lawan kepada akusalamula ini adalah kusalamula. Tiga akarnya adalah alobha, adosa dan amoha. Kewujudan akusalamula dan kusalamula ini boleh diperhatikan pada keadaan pemikiran kita, kata-kata kita atau tindakan tubuh kita. Ia memberi gambaran keadaan kesedaran kita yang ke depannya dan juga dikaitkan dengan punca-punca pikiran yang terjelma dalam karma.  

Wisuddhimarga: "Bulatan Pencemaran"

Dalam ulasan karya Wisuddhimarga atau Jalan Penyucian Diri kurun ke-5 M, perbincangan tentang "Terbitan Kebergantungan" atau Pratitya Samudpada (Wsm. XVII) memaparkan cara-cara pendedahan berbeda bagi pemahaman 12 punca atau nidanam ajaran ini.

Satu caranya (Wsm. XVII, 298) membahagikan nidanam 12 ini kepada tiga watta atau bulatan-bulatan:
  • klesawatta atau bulatan pencemaran
  • karmawatta atau bulatan karma
  • wipakawatta atau bulatan keputusan
Dalam kerangka ini, klesa (kegelapan rohani) menjadi prasyarat kepada karma (pembentukan) yang menjadi prasyarat kepada keputusan-keputusan (kesedaran menerusi perasaan-perasaan atau emosi) yang kemudian menjadi prasyarat kepada klesa (kehendak dan kebergantungan padanya) yang menjadi prasyarat pula kepada karma (yang akan terjadi) dan seterusnya. Mpu Buddhaghosa (Wsm. XVII, 298) menyimpulkan bahawa:
Makanya, "Cakra Menjadi" ini, mempunyai pusingan tiga kali dengan tiga bulatan, haruslah dipahami sebagai berputar-putar, berpusing-pusing tak pernah berhenti selamanya; kerana syarat-syaratnya tidak diputuskan sebagai juga bulatan pencemaran itu tak dihentikan! 
Seperti yang dilihat dalam kerangka yang ini, bulatan pencemaran itu dalamnya terkandung:
  • Awidya atau kejahilan penyebab kegelapan diri
  • Tanha atau keinginan
  • Upadana atau kebergantungan yang disebabkan keinginan
Di mana-mana sahaja dalam Wisuddhimarga (Wsm. XXII, 88) dalam konteks arya puggala atau empat jenis orang yang mulia peribadinya, sastera ini merujuk juga kepada penunjuk kepada pencapaian nirwana itu sebagai penghapusan terus "pencemaran yang menjadi pencetus kepada bulatan" atau wattamulakilesa.

Sabtu, 27 Julai 2013

Ye Dharma Hetu Prabhawa

Swasti Sri


Walaupun kita pada dasarnya adalah bangsa Brahmana, namun kita tidak terasa berlainan dharma pun dengan Sang Buddha. Tidak ku pahami mengapa harus dibedakan dharma berdasarkan guru. Guru itu adalah pemegang parampara, tapi dharma itu senantiasa berjalan. Ingin ku perkenalkan kepada rakan-rakan penganut ajaran Buddha dan juga penganut agama Hindu lain tentang bacaan Ye Dharma.

Ayat pemula winaya berbunyi, "Ye dharma hetu prabhawa" merupakan kata-kata yang diucapkan oleh Phra Arahant Aswajit kepada Upatissa yang kemudiannya dikenali sebagai Sariputra. Empu Sariputra bersama dengan rakan rapatnya sejak kecil Kolita yang kemudian dikenali sebagai Maudgalyayana, merupakan antara pelajar Sang Buddha. Mereka ini semua adalah bangsa Brahmana, bukan bangsa Kesatria atau lain-lain. Ketika pertemuan dengan Aswajit, Sariputra lantas tertegun dan bertanya kepada guru itu dan juga dharma yang diajarinya. Aswajit bagaimanapun menolak pujian dan kekaguman Sariputra itu kerana beliau sendiri hanya seorang "pelajar asas". Dibalaslah oleh beliau segala perkataan Sariputra itu dengan kata-kata ini dan sebelum selesainya bacaan ini, Sariputra dapat pula melihat keputusan di sebalik pertanyaannya itu.

Nyanaponika Thera dalam bukunya Pelajar Sang Buddha yang Teragung (Hellmuth Hecker & Nyanaponika Thera) menyebut:
"Tatkala mendengar dua barisan pertama bacaan, terbitlah dalam diri si pengembara Upatissa suatu pemandangan terhadap dharma yang tiada diselaputi habuk dan tidak berkarat. Yang pertamanya pandangan yang tiada pernah akan mati, jalan kemasukan ke "aliran" dan juga pengujung dua ayat terakhir itu telah mendengarlah ia pada tahap srotapannapatti".
Bacaan Ye Dharma


യെ ധര്മാ ഹെതു പ്രഭവാ ഹെതും തെഷാം തഥാഗതഃ ഹൃവദത് ഹെതും ച യൊ നിരൊധ എവം വാദീ മഹാശ്രമണഃ 

Ye dharma hetu prabhawa. Hetum tesam tathagatah hiyawadat tesam ca yo nirodha ewam wadi maha sramanah. 

Pengertian

Dari segala benda yang terbit dari satu punca itu, Tathagata telah pun menyebutkan tentang puncanya. Dan juga apa cara untuk menghentikannya: Inilah ajaran Sang Ajar-Ajar Agung.

Catitan

Ayat ini merujuk kepada sejenis kepercayaan penganut ajaran Buddha. Ia selalu sahaja dicatatkan pada ong rupa Buddha, atau di balik lukisan-lukisan yang menggambarkan tokoh-tokoh keagamaan. Perkara yang timbul disebabkan kepada keterikan kepada punca dan penghentianny apabila tak wujud lagi punca-punca bukanlah diambil sebagai "kepercayaan" bagi penganut ajaran Buddha. Ia hanya merupakan kenyataan terhadap kebenaran empirik. Ia merupakan hakikat yang hanya disahihkan oleh pemerhatian.

Tak seperti penganut agama Barat, segala perkara mesti jelas kepada penganut ajaran Buddha. Perkara yang dirujuk dalam ayat itu sebenarnya adalah dharma dalam bentuk fenomena pemikiran. Pengalaman yang dirasai oleh ciptaan dalam loka maya ini menerusi pancaindera dan minda, berbanding dengan mata benda itu sendiri.  

Frasa bererti, "dari segala dharma yang timbul dari punca-punca..." Semua pengetahuan dari sebarang realiti objektif ditengahi menerusi pancaindera dan minda, dan makanya pengetahuan itu subjektif. Ia tak menafikan kemungkinan ada nya realiti objektif, sebaliknya ia menyatakan bahawa realiti objektif itu boleh diketahui sendiri oleh tubuh yang memegang jiwa itu.

Dalam sabdawali terkini, pengalaman (pengetahuan dharma) yang timbul dari punca itu berhenti apabila punca nya hilang. Dengan mendakwa mengetahui asal kepda pengalaman, Sang Buddha bukannya mendakwa bahasa baginda itu mengetahui segala perkara atau mempunyai sebarang pengetahuan mengenai realiti objektif. Pengetahuan ghaib baginda itu berkaitan dengan jenis pengalaman, dan kenapa pengalaman itu mengecewakan termasuk tentang bagaimana pengalaman tak menyenangkan itu dihapuskan.

Prasasti Ye Dharma

Dalam bacaan Ye Dharma itu, aku sertakan gambaran prasasti yang dipahat seorang pedagang bernama Buddha Gupta dari Bengal yang mendarat di pantai Kedah di utara Tanah Melayu sekitar kurun ke-4 dan ke-5 M. Ia ada tersimpan di Muzium Negara India di Kolkata, Bengal Barat. Prasasti ini dipasak di Seberang Perai sekitar 400 M sebagai lambang penghargaan kerana ketibaan beliau yang selamat ke tanah semula dalam pelayaran dari India. Ia dipahat dalam tulisan Brahmi. Ada bacaan Ye Dharma di situ dan juga catitan seorang Mahanawika bernama Buddha Gupta menjadi kepala pelayaran. Ia membuat pujaan pada pahatan batu itu supaya sampai dengan selamatnya ke Raktamertikka atau negeri Tanah Merah. Sumber rekod Cina merujuk kerajaan itu sebagai Chih Tu, kemungkinannya terletak di rantau Segenting Kra sampai ke Semenanjung Tanah Melayu.

Ahad, 4 Disember 2011

Empat Kebenaran Mulia

Dalam bahasa Sanskrit dikenali sebagai Chatwari Aaryasatyaani merupakan asas penting dalam ajaran Buddha. Ia dirakamkan dalam Dharmachakra Pravartana Sutra.

1. Hidup ini sengsara.
2. Sengsara timbul disebabkan oleh menurut keinginan.
3. Sengsara berkurang jika keinginan berkurang.
4. Kebebasan dari sengsara adalah mungkin dengan mengamalkan Lapan Jalan Mulia.

Satya membawa maksud kebenaran atau hakikat. Ia bukan saja satu kepercayaan tetapi juga merupakan satu hakikat yang dialami sendiri oleh Gautama Buddha. Menurut Locchawa yang mempelajari tatabahasa Sanskrit, mereka menggunakan istilah bden pa bagi merujuk kepada hakikat ini. Ia membawa maksud kefahaman. 

Menurut Samyuktagama dari aliran Sarvastivaada, asas Empat Kebenaran Mulia itu seperti berikut:

1. Makanya ini lah Kebenaran Mulia tentang Sengsara.
2. Makanya ini lah Kebenaran Mulia tentang Asal Usul Sengsara.
3. Makanya ini lah Kebenaran Mulia tentang Menghapuskan Sengsara.
4. Makanya ini lah Kebenaran Mulia tentang Jalan yang membawa kepada Penghapusan Sengsara.

Setengah versi Dharmachakra Pravarthana Sutra mengandungi takrif tentang Empat Kebenaran Mulia manakala yang lain tiada pula. Contohnya, versi Sarvastivadin menunjukkan bahawa kebenaran ini sebagai prinsip yang boleh direnung dengan pelbagai cara, dan tiada takrifan diberi. Dalam versi Theravadin dan yang diterjemah oleh An Shigao, Kebenaran Mulia ini diberi takrifan:

1. Dukkha atau ciri sengsara: "Ini kebenaran mulia tentang sengsara: jelmaan itu kesengsaraan, berumur itu sengsara, kesakitan itu sengsara, kematian itu sengsara, kesedihan, ratapan, sakit, penyesalan, dan putus asas; kesatuan bagi apa yang menyebabkan ketidakselesaan merupakan sengsara. Ringkasnya, pancha skandha itu tertakluk kepada kesengsaraan."

2. Dukkha Samudaya atau Asal Sengsara: "Ini kebenaran mulia asal-usul kesengsaraan: kehendak ini yang membawa kepada kelahiran yang tiada putus, diikuti dengan keseronokan dan nafsu serakah sini dan sana, keinginan kepada keselesaan rasa, keinginan kepada kewujudan, dan keinginan kepada penghapusan."

3. Dukkha Nirodha atau Penghapusan Sengsara: "Ini kebenaran mulia tentang penghapusan sengsara: ia adalah saki baki yang menghilang dan penghapusan keinginan yang sama itu, meninggalkannya dan melepaskannya, bebas darinya, tiada bergantung dengannya."

4. Dukkha Nirodha Gamini Patipada Magga atau Jalan Membawa kepada Penghapusan Sengsara: "Ini kebenaran mulia tentang cara yang membawa kepada penghapusan sengsara: ia adalah Jalan Mulia Lapan."

Tafsiran

Dalam aliran awal ajaran Buddha, contohnya Ekavaayahaarikas berpegang dengan kepercayaan bahawa Buddha bercakap sendiri dengan maksud yang menyeluruh dan satu. Empat Kebenaran Mulia dipandang sempurna sebagai satu kebijaksanaan. Aliran Mahisysakas berpegang bahawa Empat Kebenaran Mulia dijadikan sebagai satu renungan. Menurut Bhikkhu Thanissari, Empat Kebenaran Mulia tidak sepatutnya difahami sebagai satu kepercayaan sebaliknya sebagai satu susunan pengalaman.

Padma Sutram  

Padma Sutram memandang Empat Kebenaran Mulia sebagai ajaran pertama Buddha, dan bukan ajaran baginda yang akhir. Dalam bab ketiga, Perumpamaan dan Kiasan, sutram ada memperkenal apa yang dipanggil sebagai "Dharmma yang tidak terkalahkan dan menakjubkan". 

Dalam masa lampau di Varanasi, kamu telah memutarkan Dharmachakram Empat Kebenaran Mulia, mewujudkan perbezaan dan mengajarkan tentang perkara yang menjelma dan menghilang, terjadi dari panchaskandha. Sekarang ini putarkan chakra yang menakjubkan ini, tidak dapat ditandingi kehebatan Dharmma ini. Dharmma ini sangat mendalam; ada beberapa orang yang boleh mempercayainya. Sejak waktu lampau, selalu kedengaran Yang Dihormati Dunia mengajar, tetapi kita tidak pernah mendengar tentang kedalaman Dharmma mendalam seperti ini, menakjubkan dan tertinggi. Sejak Yang Dihormati Dunia mengajarkan Dharmma ini, kami mengalu-alukannya dengan suka hati.  

Nichiren yang ajarannya berdasar kepada Padma Suttam menyatakan dalam suratnya "Perbandingan antara Padma Suttam dengan Suttam lain" bahawa ajaran Empat Kebenaran Mulia ini merupakan ajaran yang hanya diajarkan kepada pengikut shraavaka sementara Padma Suttam diajarkan kepada semua.