Bhūta dalam Masyarakat


Bhuta ini adalah sejenis makhluk ghaib yang jika diterjemahkan ke bahasa Melayu membawa maksud, hantu. Ia boleh dikesan dalam:
  • budaya popular
  • kesusasteraan rakyat
  • sesetengah sastera Hindu purba. 
Penafsiran tentang bagaimana munculnya bhuta pun banyak juga menurut rantau dan masyarakatnya. Bhuta biasanya dianggap sebagai roh yang tidak berpuas hati dengan sesuatu atau pun tidak tenang. Mungkin disebabkan oleh sesuatu perkara lalu menyebabkannya terhalang daripada bergerak ke alam yang tidak berupa. Mungkin juga disebabkan oleh kematian yang ganas, hajat yang tidak kesampaian semasa hidup atau pun disebabkan oleh kegagalan waris menjalankan upacara pengebumian atau peringatan.

Terbitan Perkataan

Kata ini adalah kata bahasa Sanskrit yang bemaksud perkara yang lampau dan sejenis makhluk kejadian. Dalam bahasa Hindustan dan bahasa Tamil serta bahasa-bahasa lain di India, konsep ini banyak digunakan dalam perbualan. 

Sifat hantu, umumnya seperti: 
  • boleh merupa pelbagai jenis haiwan sesuka hatinya
  • boleh juga dilihat dalam rupa manusia.
  • kaki hantu tidak menjejak ke tanah.
  • jika dilihat secara membelakang maka akan didapati bahawa ia adalah seekor hantu.
Dalam setengah tradisi Hindu purba, bumi ini dianggap sebagai suci atau separuh suci. Oleh itu, hantu seboleh-bolehnya terpaksa mengelakkan dirinya daripada menjejakkan kaki ke tanah. Disebabkan hal itu, mereka kelihatan terapung atau bergentayangan sahaja di udara. 

Hantu tidak mempunyai bayangan dan bercakap pun dengan bunyi suara yang bergema. Selalunya, mereka berada di celah-celah pokok dan berpakaian serba keputihan. Kadangkala ia menghantui rumah tertentu yang selalunya ditinggalkan atau di tempat berlaku pembunuhan.

Banyak cerita hantu dalam rantau orang Hindu menggabungkan unsur-unsur misalnya seperti orang yang terlibat dengan hantu selalunya akan gagal ataupun mengambil tindakan berlawan dengan hantu apabila terserempak dengannya. Mungkin juga mereka membuat kawan dengan hantu. Contohnya, semasa melalui sebatang jalan berseorangan dalam hutan, mereka ditemani oleh hantu dalam kereta atau menumpangkan wanita cantik di tengah malam yang menahan kereta mereka di jalan sunyi sepi dan gelap. Mangsa mungkin akan tersedar bahawa dia bersama dengan hantu apabila hantu kelihatan berpakaian putih dan bercakap dengan suara gemanya. Munkin mereka tidak sengaja ternampak kaki hantu tidak menjejaki tanah dan tiada bayang pun apabila disinari cahaya sang rembulan.

Bhuta dikatakan mencari susu untuk mencelupkan diri mereka di dalamnya. Sesiapa yang meminum susu tercemar itu memudahkan lagi hantu untuk merasuki mereka. Ini adalah antara unsur plot dalam kebanyakan cerita hantu. Ada juga jenis bhuta tertentu, contohnya seperti roh wanita yang mati mengandung atau semasa melahirkan anaknya, dikenali sebagai Churail atau Dakini di Nepal dan di India Timur.

Churail berupa seperti wanita tapi kakinya tidak menjejaki tanah. Jika dilihat secara membelakang atau dilihat melalui celah kangkang, mereka boleh berubah rupa. Selalunya, mereka menggoda lelaki muda di persimpangan jalan atau di padang dan tempat yang seumpamanya. Jika lelaki tersebut berhubungan dengan Churail, pastilah dia akan ditimpa maut. 

Ada juga kisah orang yang berkahwin dengan hantu jenis ini dan tinggal dengannya tanpa menyedari bahawa dia telah berkahwin dengan hantu. Contoh Churail di rantau kita ini, seperti Nang Nak dalam lagenda yang ditulis semula menjadi skrip filem oleh penulis British di Thailand. Setara juga dengan Pontianak di Malaysia atau Kuntilanak di Indonesia.

Menghalau Bhuta

Dalam kebanyakan rantau dan wilayah, bhuta dikatakan takut dengan beberapa perkara seperti:
  • air yang bersih.
  • besi atau bahan terperbuat daripada besi seperti keris, belati, parang, pedang dan lain-lain. Jika menyimpan bahan-bahan seperti itu, dipercayai kesaktiannya boleh menakutkan bhuta. 
  • bauan dari kunyit terbakar juga dipercayai menghalau hantu. 
  • biasa juga dalam kebanyakan budaya di dunia ini, bacaan ayat-ayat suci seperti mantra atau menyebut nama tokoh-tokoh orang alim atau dewata pun dipercayai boleh menghalau hantu.
Selain itu, tindakan menabur tanah di atas tubuh juga dikatakan boleh menghadang hantu daripada mengacau. Menurut sastera suci Hindu, roh-roh tidak boleh dihapuskan tidak kira dengan cara apa sekali pun! 

Bhuta cuma berada dalam rupa roh. Mereka sudah mati di dunia manusia, tidak bertubuh, tersesat atau berada dalam keadaan yang tidak tenang. Penghalau hantu berbangsa Hindu tidak boleh menghapuskannya atau memusnahkannya. Sebaliknya, cuma menjalankan upacara menurut Atharvaveda yang dikenali sebagai Atma Śanti yang intipatinya diambil dari Śraddha Bali iaitu upacara peringatan si mati supaya hantu tersebut terjelma semula dalam tubuh berjasad atau pun menjanjikan membantu menyelesaikan hajat hantu yang belum kesampaian jika ia bersetuju untuk masuk ke putaran kelahiran semula. 

Jika tercapai hajatnya, maka hantu itu pun berhenti mengganggu lalu pergi ke alam lain.