Avatara Dewa

Kepercayaan masyarakat Hindu mempunyai konsep avatara yang mewakili keturunan dewata tertentu di muka bumi. Konsep ini biasanya diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai jelmaan yang juga sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit, jaṇma.

Konsep avatara ini terkenal sekali dalam aliran Vaiṣṇāva dan ia dikaitkan dengan dewa Viṣṇu. Antara jelmaan baginda yang terkenal adalah jelmaan Rāma dan Kṛṣṇa. Dewa Viṣṇu mengambil beberapa avatara dan adakalanya baginda menjelma menjadi wanita. Semasa peristiwa Samudra Manthan, baginda menjelma sebagai Mohini, si gadis pemikat bagi menyelesaikan pertelingkahan antara dewa dan asura. Jelmaan baginda sebagai lelaki dan binatang juga banyak. Antaranya seperti Matsya (ikan), Kurma (kura-kura), Varaha (babi), Narasimha (lelaki singa), Vamana (orang kerdil), Parasurama, Buddha, Kalki dan lain-lain.

Pelbagai teks terutamanya Bhagavadgita, membincangkan mengenai buah fikiran tentang penjelmaan dewa Viṣṇu yang memastikan bahawa jagat raya ini seimbang tatkala kuasa kejahatan menjadi melampau dan menyebabkan dunia dilanda penindasan.

Dalam tradisi Sakti, konsep ini muncul dalam lagenda-lagenda penjelmaan Dewi yang merupakan Ibunda Pertiwi dalam kepercayaan orang Hindu. Jelmaan Dewi atau Parvati termasuklah Durga dan Kali. Kedua-dua jelmaan ini dipuja terutamanya di negeri-negeri India Timur dan India Selatan. Selain itu, jelmaan Dewi juga terkenal dalam aliran Tantra. 

Teks-teks tradisi Saiva turut menyebut mengenai 21 jelmaan dewa Siva. Namun, tidak seperti penganut aliran Vaiṣṇāva, penganut aliran Saiva lebih menumpukan kepada Siva itu sendiri berbanding dengan avatara baginda.

Senarai-Senarai Dewata

Terdapat empat aliran utama dalam kepercayaan masyarakat Hindu. Aliran-aliran itu adalah seperti berikut:
  • Saiva, dewa Siva dipuja sebagai dewata utama
  • Vaisnava, dewa Visnu dipuja sebagai dewata utama
  • Sakti, iaitu aspek wanita bagi dewa yang dipuja sebagai pujaan utama
  • Smarta, aliran liberal yang memuja dewa Siva, dewa Visnu, dewi Sakti, dewa Ganesh, dewa Skandha dan dewa Surya.
Trimurti
  • Brahma, Sang Pencipta yang berwahanakan angsa (haṃsa) bermuka empat menghala empat penjuru mata angin rupanya kemerah-merahan
  • Vishnu, Sang Pemelihara yang berwahanakan garuḍa, bertangan empat dan berbaring di atas ular tedung, kelihatan kebiru-biruan serta menjelma sembilan kali sudah sebagai binatang atau manusia di muka bumi
  • Shiva, Sang Pemusnah dan Pengubah berwahanakan lembu (nanḍi), rambut seperti pertapa, memegang trisula, berleher biru dan bermata tiga serta dipuja dalam rupa linga.
Trisakti
  • Saraswati, dewi ilmu, muzik dan kesenian selalu mempunyai rupa sedang duduk bermain veena atas teratai. Baginda adalah sakti bagi dewa Brahma dan berwahana angsa.
  • Laksmi, dewi kemewahan dan kemakmuran berwahanakan burung hantu. Baginda adalah sakti bagi dewa Vishnu. Baginda sering digambarkan memberi anugerah matawang dan ditabik oleh gajah. 
  • Parvati, dewi pertiwi yang berwahanakan singa. Baginda adalah jelmaan sakti bagi dewa Siva. Baginda menjelma dalam pelbagai rupa. 
Dewa-Dewa Terkenal
  • Ganesh, dewa kebijaksanaan dan pemecah halangan. Baginda adalah anakanda dewa Siva dan dewi Parvati serta berwahanakan tikus. Baginda digambarkan sebagai seorang lelaki berkepala gajah.
  • Skandha, dewa peperangan. Baginda adalah anakanda dewa Siva dan dewi Parvati. Baginda digambarkan berwahanakan burung merak. Baginda terkenal di kawasan India Selatan.
  • Durga, rupa garang bagi dewi Parvati. Baginda berwahanakan seekor harimau dan tangan banyak memegang senjata.
  • Kali, dewi ajal dan kematian. Baginda berwahanakan seekor keldai. Biasanya baginda digambarkan sebagai seorang wanita berkulit hitam serta ganas.
  • Rama, jelmaan ketujuh dari dewa Vishnu. Cetera mengenai baginda boleh dibaca dalam Ramayana.
  • Krishna, jelmaan kelapan bagi dewa Vishnu. Baginda digambarkan sebagai seorang yang nakal dan meniup seruling. Cetera mengenai baginda memberi bantuan rohaniah kepada seorang tokoh sejarah bernama Arjuna boleh dibaca dalam Mahabharata, bahagian Bhagavadgita. 
  • Hanuman, dewa berupa seperti seekor monyet yang menjadi pengikut setia bagi Rama.
  • Surya, dewa matahari yang menarik matahari menggunakan pedati dan kuda-kuda.
Sumber Rujukan
  • Carta dewa-dewa Hindu oleh Mark Baker (online)