Asal-Usul Hari Raya Galungan

Perayaan ini sebenarnya turut disambut di Jawa. Orang Jawa menyebutnya sebagai Galungan sedangkan orang Bali menyebutnya sebagai Dungulan. Pengertiannya serupa sahaja.

Menurut Dr. I Gusti Agung Gede, hari raya ini sudah pun dirayakan lama sekali di Jawa sebelum ia terkenal di Bali. Hal ini didasarkan kepada lelontar purba berbahasa Jawa, berjudul Kidung Panji Amalat Rasmi. Panggilan hari raya ini di luar pulau Bali masih belum diketahui umum lagi dan sedang diselidiki oleh penyelidik agama Hindu di Indonesia.

Di Bali, lelontar Purana Bali Dvipa menyebut bahawa hari raya ini dirayakan pertama kalinya pada hari Purnima Kapat, Budha Keliwon wuku Dungulan, tahun Saka 804 iaitu bersamaan dengan 882 M. Daun lontar tersebut menyebut:

"Puna aci Galungan ika ngavit, bu, ka, dungulan sasih kecatur, tanggal 15 i-saka 804. Bangun Indriya bhuvana ika Bali rajya."

Ertinya:

Upacara hari raya Galungan itu pertama kalinya adalah pada hari Rabu keliwon Dungulan sasih kapat hari ke-15 tahun 804 Saka. Kerajaan Bali seperti alam betara Indra layaknya.   

Semenjak itu, perayaan ini disambut meriah oleh penganut agama Hindu di sebelah Bali. Selepas tiga abad berlalu, perayaan ini terhenti seketika pada 1103 Saka. Ketika itu, Bali diperintah oleh raja Śrī Ekajāya. Ketika pemerintahan raja Śrī Dhanadi pun, hari raya Galungan masih tidak dirayakan. Kononnya, malapetaka berlaku dan usia pegawai-pegawai kedatuan pun menjadi pendek.

Selepas kemangkatan raja Śrī Dhanadi pada 1126 Saka, barulah perayaan ini dirayakan semula. Bali diperintah oleh baginda Śrī Jayakasunu. Menurut ceritera daun lontar, raja Śrī Jayakasunu berasa hairan kenapa usia raja dan pegawai-pegawai kerajaan di Bali semua pendek-pendek? Bagi menyelidiki penyebabnya, baginda pun menjalani tapa bhrata dan semadhi menerusi upacara devaśraya. Baginda masuk ke Pura Dalam Puri, tidak jauh dari Pura Besakih untuk bertapa.

Oleh kerana ketekunan baginda itu, baginda menerima bisikan dari dewi Durga yang menjelaskan penyebab usia raja dan pegawai-pegawai kerajaan menjadi singkat. Baginda diberitahu bahawa mereka itu tidak menjalani upacara pada hari raya Galungan. Dewi Durga memberi sarana supaya raja mengembalikan upacara di hari Galungan setiap Budhavara Kliwon Dungulan, bertepatan dengan tradisi mereka sebelum itu. Mereka juga diminta memasang penjpr pada hari Penampahan Galungan, iaitu sehari sebelum hari raya tiba. 

Intisari utama upacara Penampahan Galungan itu adalah untuk melaksanakan Bhyakala iaitu upacara melepaskan Bhūtakāla atau tenaga negatif dari diri manusia dan sekeliling mereka. Semenjak itu, hari raya ini dirayakan dengan penuh meriah dan penghayatan di Bali.