Thaippūcam di Singapura




Di Singapura, penganut memulakan perarakan di Pura Śrī Śrīnivasa Perumal pada awal pagi. Mereka membawa kendi susu sebagai sesajen, atau meletakkannya di kavadi mereka lalu disematkan di tubuh mereka. Perjalanan mengambil masa selama empat kilometer, sebelum tamat di Pura Śrī Dhanda Yudhabani di Tank Road.

Keesokan harinya, murthi Śrī Dhanda Yudhabani Skandha diarak ke Pura Śrī Layan Sithi Vinayagar dan kembali semula ke persemayaman asal pada petang harinya dengan diikuti oleh kavadi-kavadi kelompok Chettiar dan pemuja-pemuja lain. Acara ini digelar sebagai Chetti Pusam di Singapura.

Pada hari kedua, iaitu Thaippūcam, beratus-ratus pemuja memberi kebaktian dengan menusuk diri dengan cerucuk besi dan limau, menarik pedati deva atau mengusung kavadi dari Pura Śrī Śrīnivasa Perumal. Mereka membaca puja, melaungkan aroghara, dan memenuhi vrata mereka. Vel atau lembing deva di garbhagṛha diberi abhiseka dengan susu selama berjam-jam. Pemuja-pemuja berbangsa Cina dan penganut agama lain pun boleh menjalani vrata pada Thaippūcam.

Pura Śrī Dhanda Yudhabani di Singapura sudah berkebaktian untuk peristiwa ini melebihi ratusan tahun lamanya. Anna dhanam atau pemberian makanan percuma diberi bermula pada 12:30-16:00 pada hari Thaippūcam di Dewan Perkahwinan Chettiar di dalam pura tersebut.

Di Singapura dan Mauritius, mereka sangat menjaga kebersihan persekitaran semasa sambutan. Oleh itu, wajar penganut-penganut di India dan Malaysia mencontohinya.

Judul video: Thaippūcam 2014, Singapura
Pemilik video: Visnu Muniandy, Youtube