Rupa Churail

Lagenda Churail ini kononnya berasal dari rantau Parsi. Ketika itu, makhluk ini dikatakan berasal dari roh wanita-wanita yang meninggal dunia dengan hajat tergantung. Di Asia Tenggara, makhluk ini dikatakan muncul dari wanita yang meninggal dunia semasa melahirkan anak atau semasa sedang mengandung atau meninggal ketika datang bulan. Di benua kecil India sendiri pun, datang bulan dianggap sebagai keadaan di mana seorang wanita itu tidak suci untuk menjalankan sebarang ritual keagamaan. Selain itu, tempoh 12 hari selepas melahirkan bayi juga dianggap sebagai tempoh seorang wanita itu tidak suci. Dari beberapa sumber di India, jika seorang wanita itu mati beragan atau mati semasa melahirkan anak, terutamanya semasa Dipavali, maka dia akan muncul kembali menjadi seekor Churail.

Suku kaum Korwas di Mirzapur mengatakan bahawa jika seorang wanita itu meninggal dunia di bilik bersalin maka rohnya akan muncul menjadi Churail. Suku kaum Patari dan Majhwari pula beranggapan bahawa jika seorang wanita itu meninggal dunia semasa mengandung atau semasa datang bulan maka dia akan menjadi Churail yang cantik rupawan berpakaian serba putih serta menggoda lelaki yang melalui kawasan pergunungan. Cara untuk membebaskan diri dari diganggunya adalah dengan memotong seekor kambing. Suku kaum Bhuiyar pula mengatakan bahawa jika seorang gadis itu meninggal dunia sebelum berusia 20 tahun maka dia akan menjadi seekor Churail.

Di wilayah Punjab, jika seorang lelaki itu meninggal dunia di atas katil maka dia akan menjadi seekor Bhut. Namun, jika seorang wanita itu meninggal maka ia menjadi seekor Churail. Suku kaum Kharwar bertanggapan bahawa roh yang meninggalkan jasad menjadi angin namun jika ia tersentuh dengan seseorang maka roh orang hidup itu akan terganggu. Di rantau Barat India terutamanya wilayah Gujarat, wanita yang meninggal kematian akibat kemalangan dipercayai akan muncul menjadi Churail. Mereka digelar sebagai Jakhin, Jakhai, Mukai, Nagulai atau Alvantin.

Pada asalnya, dipercayai bahawa hanya wanita berkasta rendah sahaja yang akan berubah menjadi seekor Churail. Namun, di Bangladesh makhluk ini muncul apabila seorang wanita itu meninggal dunia bujang atau meninggal dalam keadaan hasratnya tidak dipenuhi.    

Rupa sebenar Churail ini digambarkan sebagai sangat hodoh dengan tetek yang lendut, lidah hitam dan bibir kasar dan tebal. Kadang-kala ia digambarkan tidak mempunyai mulut langsung. Perutnya buncit, tangan berkuku seperti cakar dengan bulu jembut yang panjang serta kusut-masai.

Kadang-kala makhluk halus ini digambarkan bermuka babi dan bertaring besar atau pun bermuka manusia dengan gading tajam, berambut sergum dan kusut. Bahagian depan tubuhnya berwarna putih, tetapi bahagian belakangnya berwarna hitam. Kakinya terbalik menghala ke belakang dan kadang-kala ia merayau sambil berbogel.

Churail boleh berubah menjadi wanita cantik, membawa pelita dengan kepala bertudung. Ia akan menggoda lelaki yang melalui kawasan ia berkeliaran. Suku kaum Korwas di Timur India mempercayai bahawa makhluk ini akan muncul sebagai wanita cantik manakala suku kaum Patari dan Majhwar pula percaya makhluk ini akan muncul berpakaian serba putih. Di Malaysia dan Indonesia pun kepercayaannya adalah hampir sama. Di Bangladesh, mereka percaya bahawa makhluk ini memakai gelang kaki diperbuat dari kerang-kerangan sebagai tanda bahawa mereka adalah wanita berkahwin dan memakai sari berwarna putih atau merah.

Puisi Lalla Radha and the Churel menyebut bahawa makhluk ini mengambil rupa seorang wanita yang cantik dengan mata menggoda. Namun, rupanya ini dicacatkan oleh kakinya yang menghala ke belakang.