Latarbelakang Abhinavagupta

Istilah Abhinavagupta itu sendiri menandakan bahawa asal-usul tokoh ini adalah dari seorang yoginībhū atau yogi wanita. Dalam kepercayaan masyarakat Saiva Kaśmīr terutamanya kelompok Kaula, ia dianggap sebagai keturunan dari ibubapa yang kukuh sekali dengan zat Bhairava. Mereka dikurniai dengan kecekapan rohaniah dan intelek tinggi. Kanak-kanak seperti ini dianggap sebagai 'pusat khazanah ilmu' yang semasa berada dalam janin ibunya pun berada dalam rupa Śiva.

Ibu Bapa

Ibu beliau bernama Vimalā atau Vimalakalā telah meninggal dunia semasa beliau berusia dua tahun. Disebabkan beliau rapat dengan ibu beliau, maka kematian ibu beliau ini menjadikan beliau jauh dari kehidupan duniawi. Beliau membesar menjadi seorang yang menumpukan kehidupan kepada usaha meningkatkan upaya rohaniah.

Bapa beliau bernama Narasiṃha Gupta. Selepas kematian isteri, beliau membesarkan anak-anak beliau mengikut cara hidup yang estetik. Beliau memupuk minda keagamaan, kebaktian dan kesenian kepada tiga orang anaknya. Beliau menjadi guru pertama kepada Abhinavagupta, mengajar beliau tatabahasa, mantik dan sastera.

Keluarga

Abhinavagupta mempunyai seorang abang dan seorang kakak. Abang beliau bernama Manoratha, seorang bakta kepada dewa Śiva. Kakak beliau berkemungkinan bernama Ambā, menjadi seorang sadhavi selepas kematian suami ketika usia beliau hampir tua.

Karṇa, sepupu Abhinavagupta sendiri menyatakan bahawa beliau memahami asas ajaran Saiva sejak usia muda lagi dan beliau tidak pernah tertarik dengan perkara duniawi. Karṇa berkemungkinan adalah suami kepada kakak Abhinavagupta sendiri. Beliau memandang adik iparnya itu dengan penuh hormat. Ambā dan Karṇa mempunyai seorang anak lelaki bernama Yogeśvaridatta. Anak mereka ini mahir dalam yoga.

Abhinavagupta juga menyebut mengenai Rāmadeva, pelajar beliau yang setia mempelajari kitab suci agama dan melayani gurunya. Kṣema, sepupu Abhinavagupta yang lain berkemungkinan juga adalah pelajar beliau yang dikenali sebagai Kṣemarāja. Mandra, salah seorang rakan semasa kecil kepada abang ipar Abhinavagupta menjadi tuan rumah kepada mereka. Beliau adalah seorang yang kaya, terpelajar dan mempunyai peribadi yang menyenangkan hati orang sekeliling. Beliau memberikan tempat kepada Abhinavagupta dan pelajar-pelajarnya untuk saling berkongsi ilmu. Selain itu, Abhinavagupta juga memberikan penghormatan kepada Vatasikā, ibu saudara kepada Mandra kerana menjaga beliau dengan penuh perhatian. Vatasikā diberikan kredit oleh Abhinavagupta atas jasa beliau dalam penyelesaian karya-karya sarjana Abhinavagupta.

Dari gambaran ini, didapati bahawa Abhinavagupta berada dalam persekitaran yang dilindungi. Beliau menerima segala sokongan yang diperlukan untuk memperkembang tenaga pencetus atau tenaga kreatif beliau. Semua orang di sekeliling beliau juga dipenuhi dengan semangat rohaniah dan mereka pula menerima manfaat dari Abhinavagupta kerana Abhinavagupta menjadi pemandu rohaniah mereka. Sokongan keluarga dan rakan-rakan seperti ini menjadi penyumbang kepada kualiti-kualiti genius pada peribadi Abhinavagupta sehinggalah terhasil karya terkenal beliau iaitu Tantrāloka.

Nenek Moyang

Dari rekod Abhinavagupta sendiri, nenek moyang beliau yang paling jauh sekali bernama Atrigupta. Atrigupta dilahirkan di Madhyadeśa: [Manusmṛti (kira-kira 1500 SM, 2/21) mendefinisikannya sebagai rantau lembangan luas antara Himalaya dan pergunungan Vindhya dan sehinggalah ke timur Sungai Vinasana (Saraswati ghaib) serta sehingga ke barat Praya]. Atrigupta kemudian berhijrah ke Kaśmīr atas permintaan raja Lalitāditya dari empayar Karkota pada tahun 740 M.

Gaya Hidup

Abhinavagupta kekal bujang sehingga akhir hayat. Beliau mengikut cara Kaula pada awalnya dan mengekalkan brahmacharya. Ojas beliau digunakan sebaik mungkin untuk memperkembang pemahaman mengenai sistem urat saraf rohaniah seperti yang digariskan dalam karya-karya beliau sebagai sistem penyatuan ritual antara Puruṣa sebagai Śiva dan Śakti. Kesatuan ini adalah berbentuk rohaniah dan sejagat. Dalam ajaran yang diamalkan oleh Abhinavagupta ini, beliau menikmati dunia dan juga menjadi seorang yang zuhud. Beliau tidak perlu meninggalkan apa-apa pun.

Beliau belajar sehinggalah berusia 30 atau mungkin 35 tahun. Beliau juga mengembara sekitar Kaśmīr. Beliau memberi kesaksian bahawa beliau menerima pembebasan rohaniah menerusi amalan Kaula di bawah panduan guru Śambhunātha. Beliau tinggal dalam rumah beliau yang turut berfungsi sebagai asrama bersama dengan keluarga dan pelajar yang terdiri daripada rakan-rakan serta saudara beliau. Beliau tidak menjadi sami yang mengembara dan beliau tidak menjalankan tugas biasa seorang yang mendiami keluarga. Beliau hanya hidup sebagai penulis dan sebagai guru. Beliau hidup seperti wawasan beliau.

Dalam lukisan pen, beliau digambarkan sebagai duduk dalam yoga Virasana, dikelilingi oleh pelajar setia dan keluarga beliau. Beliau menjalankan pelbagai jenis kegiatan menurun seperti memainkan muzik veena sambil membaca Tantraloka kepada salah seorang hadirin. Di belakang beliau ada dua orang dūtī menunggu beliau. Dalam satu lagenda menyebut bahawa ketika kematian beliau (dicadangkan antara tarikh 1015 dan 1025 bergantung kepada sumber rujukan), beliau kononnya membawa bersama beliau 1,200 pelajar setia ke gua Bhairava (masih wujud). Di situ beliau membaca Bhairava-stava, karya kebaktian beliau dan kemudian mereka semua pun hilang perlina. Kemungkinannya masuk ke alam ghaib.