Swami Lakṣmaṇ Joo Raina

Swami Lakṣmaṇ Joo Raina dilahirkan pada 9 Mei 1907 dan meninggal dunia pada 27 September 1991. Beliau adalah salah seorang ahli mistik dan sarjana aliran Śaiva Kaśmīr atau aliran Trika. Beliau turut digelar sebagai Lal Sahib atau Sahabat Tuhan oleh para pengikut beliau.

Dilahirkan di kota Śrīnagar di Tanah Kaśmīr, beliau merupakan anak kelima daripada sembilan adik beradik. Bapa beliau Narayan Das atau Nava Narayan Raina adalah orang pertama yang memperkenal rumah perahu di Lembah Kaśmīr. Ibu beliau bernama Aryanamali Raina.

Kenaikan

Beliau diperkenal ke jalan kerohanian dan prinsip-prinsip aliran Trika ini oleh pedanda keluarga beliau sendiri iaitu Paṇḍit Rāma Joo. Kemudian, beliau diajar oleh pelajar kepada Pandit Rama Joo iaitu Mehtab Kak.

Pada usia 20 tahun, beliau dikatakan merasai kesedaran jiwa. Tidak lama selepas itu, beliau keluar dari rumah untuk mencari Yang Maha Tinggi dan berpindah ke aśrama Sadhamalyun (Sadhuganga) yang terkenal di Handvara. Beliau kemudian dipujuk oleh bapa beliau supaya kembali ke kota Śrīnagar. Beliau kembali juga dan mempelajari bahasa Sanskrit serta mempelajari falsafah Śaiva di bawah panduan sarjana bernama Maheśwar Razdan.

Pada 1934 sehingga 1935, beliau berpindah ke kawasan terpencil di atas Kampung Gupta Ganga berdekatan dengan kawasan hulu Nishat di Śrīnagar. Ibu bapa beliau membantu membina rumah untuk beliau di situ. Tempat itu adalah tempat yang pernah dihuni oleh Abhinavagupta lebih sembilan abad yang lampau. Pada 1962, beliau berpindah ke bawah bukit berdekatan dengan Tasik Dal, beberapa ratus meter dari Taman Nishat.

Semasa berusia 30 tahun, beliau mengembara di India. Beliau berada di pantai Bombay sekejap dan bertemu dengan Mahatma Gandhi di Sevagaram. Kemudian beliau bertemu dengan Aurobindo di Pondicherry. Dari sana, beliau bergerak ke Tiruvannamalai bertemu dengan Rāmaṇa Mahāṛṣi. Di situ beliau berada selama beberapa minggu dan memberi ulasan bahawa, "Aku merasakan bahawa hari-hari keemasan itu memang memberikan rasa yang agung".

Selepas itu, beliau kembali ke Kaśmīr dan mengajar di sana sehinggalah ajal beliau pada 1991. Beliau memberikan kuliah mingguan mengenai sastera-sastera mistik dan falsafah aliran Trika. Banyak daripada kuliah beliau ini dirakamkan oleh John Hughes dan kemudian diterbitkan. Tafsiran beliau mengenai aliran Trika ini menarik perhatian ramai pengkaji keagamaan Hindu dari Barat. Pelawat-pelawat beliau terdiri daripada sarjana-sarjana bahasa Sanskrit seperti:
  • Lilian Silburn
  • Andre Padoux
  • Jaideva Singh
  • Acharya Ramesvar Jha
  • Jankinat Kaul "Kamal"
  • Gherardo Gnoli
  • Alexis Sanderson
  • Mark Dyczkowski
Ajaran-ajaran beliau turut mempengaruhi Paul Reps, yang kemudian menyebarkan Vijnana Bhairava Tantra. Kemudian, ia digunakan oleh Osho yang membawa kaedah samadhi ini ke khalayak antarabangsa. Pada 1991, beliau berkelana ke Amerika Syarikat dan mendirikan Universal Saiva Fellowship. John Hughes dan isteri beliau, Denise diminta untuk meneruskan penerbitan ajaran Trika di luar negara. Di India sendiri, ajaran beliau disebarkan oleh pertubuhan tempatan iaitu Ishwar Ashram Trust yang diasaskan oleh beliau sendiri.
 
Sastera-Sastera
  • Terbitan Terpilih
  • Pustaka Śaiva Kaśmīr
  • Rakaman Kuliah dalam bahasa Kaśmīr
  • Rakaman Kuliah dalam bahasa Inggeris
Rujukan
  • Swami Lakṣmaṇ Joo (online)
  • Ishwar Ashram Trust (online)
  • Universal Saiva Fellowship (online)