Churail selalunya dilaporkan berkeliaran sekitar tanah perkuburan, makam-makam, tapak peperangan yang ditinggalkan, rumah-rumah lama, persimpangan jalan, tandas dan kawasan-kawasan tinggal seperti di hutan.
Jika seekor Churail itu meninggal akibat didera oleh keluarganya maka ia akan kembali memburu ahli keluarga lelaki yang termuda dahulu sebelum menyerang yang lain sebaik sahaja kematian jasadnya berlaku. Ia akan menghisap darah mangsa sehingga mangsa menjadi seperti orang tua dan beralih kepada mangsa seterusnya. Selesai dengan keluarganya, ia akan memburu orang lain pula dalam kampung. Sesiapa sahaja yang terserempak dengan Churail pun pasti akan diserangnya dengan penyakit merbahaya. Sesiapa yang menjawab tegurannya pada waktu malam akan berakhir dengan kematian.
Dalam puisi Lalla Radha and the Churel, seorang pedanda memberi amaran kepada watak protagonis supaya jangan mendekati pokok-pokok Peepal kerana Churail berdiam di situ. Ia akan menangkapnya dan membunuhnya. Walau bagaimanapun, lelaki itu degil dan mendekati pokok-pokok tersebut. Dia pun digoda oleh Churail dan menjadi buta kerana berahi. Dia tidak menyedari bahawa tubuhnya menjadi lemah ketika dia berbaring bercanda bersama dengan Churail itu. Lelaki itu lalu mati dalam kebirahan.
Dalam the Female Eelement in Indian Culture, disebut bahawa, "Churail mengejar dan cuba menggoda semua lelaki yang ditemui olehnya. Hal ini disebabkan oleh selera jasadnya semasa masih hidup tersangkut dengan rohnya". Churail juga akan merasuk gadis-gadis penari sehingga menyebabkan berlaku fenomena menurun.
Menurut lagenda Parsi, apabila pengembara melihat jejak Churail dalam lumpur maka mereka akan cuba melarikan diri melawan arah jejak tersebut. Disebabkan kaki Churail menghala ke belakang, maka mudahlah baginya memerangkap mereka kerana mereka sebenarnya sedang melarikan diri masuk ke perangkapnya. Suku kaum Patari dan Majhwar di India mengorbankan kambing bagi melepaskan lelaki yang diperdayakan oleh Churail dan dikurung di pergunungan. Kadang-kala, Churail menyasarkan lelaki-lelaki muda bujang untuk menjadi pemuas nafsunya. Jika mereka tidak dilepaskan maka mereka akan meninggal dunia akibat lemah disedut tenaga batinnya. Ibu-ibu muda juga tidak terlepas dari serangan makhluk ini.
Dalam rupa wanita rupawan, Churail menggoda lelaki-lelaki muda di lebuhraya. Mereka memerangkap pengembara solo di persimpangan jalan. Selain itu, Churail boleh jadi juga mengurung mangsa dalam sarangnya di perkuburan serta menyedut darahnya sedikit demi sedikit. Kadang-kadang, ia digambarkan menyedut air mani lelaki-lelaki yang diperangkapnya. Lagenda menyebut bahawa Churail akan menyimpan lelaki-lelaki muda menjadi tawanannya sehingga mereka tua atau mereka akan menggunakan lelaki-lelaki itu sebagai pemuas hawa nafsu seksnya sehingga dia mati dan rohnya akan menyertainya di dimensi alam sebelah. Terdapat banyak cetera menceriterakan bahawa lelaki-lelaki yang ditawan oleh Churail serta makan makanan yang diberikan olehnya kembali ke kampung pada waktu subuh sebagai seorang lelaki tua reput.
Makhluk ini sering dikaitkan dengan Dewi Pertiwi dan juga Rakṣasi. Dalam kepercayaan orang-orang India, Churail boleh berubah menjadi seekor Dakini dan menjadi pesuruh kepada Dewi Kali. Mereka akan menyertai Dewi Kali menjamu selera melahap daging serta darah segar manusia.