Brahma Rakṣa

Di benua kecil India, wujud pelbagai jenis lagenda tentang jenis-jenis hantu dan pontianak. Bhuta atau pretta misalnya adalah sejenis roh orang yang mati sebelum sampai masanya, terkena sial atau pun yang berdosa. Ia akan berkeliaran dan kadang-kadang menggerakkan tubuh-tubuh yang sudah mati, menyerang orang hidup serta haiwan ternakan seperti juga hantu kubur.

Di India Utara khususnya, terdapat sejenis hantu yang dikenali sebagai Brahma Raka. Brahma Raksa ini adalah sejenis makhluk dengan kepala yang berpintal dengan tali perutnya sendiri dan memegang tengkorak sebagai mangkuk untuk menghirup darah.

Pengenalan

Brahma Raksa ini sejenis makhluk halus yang garang dan cengil menurut kepada kepercayaan Hindu. Ia sebenarnya adalah roh kepada seorang Brahmin dari kedudukan tinggi yang sudah meninggal dunia. Dia mungkin telah melakukan dosa semasa hayatnya atau pun menyalahgunakan pengetahuan keagamaannya. 

Sebagai balasannya, dia akan menderita lalu terjelma menjadi Brahma Raksa selepas kematiannya. Semasa hidupnya, dia sepatutnya mesti mengajarkan pengetahuannya dan mencari pelajar yang baik. Jika dia gagal berbuat begitu, maka dia pun akan menderita terjelma menjadi Brahma Raksa selepas kematiannya.

Brahma Raksa ini merupakan sejenis roh jahat yang kuat, sakti dan berkuasa. Hanya beberapa orang saja dalam dunia ini yang mampu berlawan dan mengatasi mereka. Cara untuk mengatasi mereka adalah dengan membebaskan mereka dari kehidupan sebagai Brahma Raksa. 

Ketika dalam bentuk Brahma Raksa, mereka masih lagi kekal berpengetahuan tinggi tetapi mempunyai tabiat memakan manusia. Pengetahuan masa lampau mereka sebagai Brahmin yang dalam veda dan purana itu tetap kekal walaupun mereka sudah berubah menjadi roh jahat.

Brahma Raksa dalam Cerita

Brahma Raksa biasanya berlegar juga dalam cetera-cetera Hindu lama seperti Vikram dan Vetala, Pancatantra, dan lain-lain cerita tauladan lama-lama. Dalam cetera-cetera itu, hantu jenis ini dikatakan berkuasa selain boleh memberi anugerah wang, emas, pahala dan sebagainya jika mereka suka dengan seseorang itu. 

Dalam kebanyakan cetera, mereka digambarkan bertubuh besar agam, kejam dan garang rupanya. Bertanduk dua di kepala seperti raksasa dan bertocang seperti kaum Brahmin yang masih hidup. Mereka selalunya bergayut di pokok-pokok misalnya pokok jenis pokok Ara.

Brahma Raksa di Kuil

Kuil ini ertinya pura atau kawasan suci yang berisi murti dewata dalam bahasa Tamil. Di luar tembok kuil akan kelihatan tugu-tugu yang ditujukan untuk Brahma Raksa. Biasanya, dijalankan pemujaan dan penghormatan kepada mereka dengan pelita minyak yang dinyalakan setiap hari di depan tugu mereka. 

Di setengah kuil, mereka ini dipuja sebagai separa deva seperti di Kuil Malliyor di Kottayam, negeri Kerala. Menjadi adat juga untuk meminta kebenaran mereka sebelum memulakan kegiatan pembinaan bangunan. Selain itu, di Kuil Siva Thirunakkara, di daerah Kottayam ada sebuah sanggar yang ditujukan untuk Brahma Raksa. Ada cerita menarik tentang bagaimana terpacaknya sanggar Brahma Raksa tersebut. Seorang lelaki yang dikenali sebagai Musai merupakan rakan baik kepada raja. Musai ini kacak orangnya, sehingga sang raja itu pun tidak sekacaknya. Permaisuri jatuh cinta dengan Musai. Raja mengetahui hal ini menghantar pesuruhnya untuk membunuh Musai. Tetapi perkara sebaliknya pula yang terjadi. Pesuruh raja telah tersilap membunuh orang. Dia telah terbunuh seorang calon pedanda Brahmin atau Kizha Canthi di kuil. Isteri kepada pedanda itu pun membunuh diri lalu menjelma menjadi seekor Brahma Raksi. Dia mula mengganggu orang ramai. Jadi raja pun membina sanggar untuknya. Lama juga selepas itu, sanggar ini sering dielakkan oleh kaum wanita.    

Selanjutnya, dikatakan juga di Madikeri, Kuil Okareśvara Śaiva telah dibina oleh raja untuk menghalang kejahatan yang ditimbulan oleh seekor Brahma Raksa. Di Sringeri, Kuil Malayala Brahma juga dibina atas sebab yang sama. Ada sanggar berasingan untuk Brahma Raksa dalam kompleks di Kuil Śiva Kandiyur dekat dengan Mavelikkara. Di Nyarakkal di Kerala, di Koil Bhagavati berusia 800 tahun pun ada sanggar-sanggar yang ditujukan untuk Betara Śiva, Nagaraja dan juga Śri Brahma Raksa.

Dalam Kesenian pula ada banyak pementasan seperti Kaisika Natagam di India Selatan. Pemain wayang akan memainkan peranan Brahma Raksa. Dalam ajaran Jina, ada juga sebutan tentang Brahma Raksa.