Cara Mengelak dan Menghalang Churail

Cara terbaik untuk mengelakkan Churail adalah menghalang kemunculannya. Hal ini bermaksud, orang ramai perlu menjaga wanita mengandung dengan baik. Walau bagaimanapun, jika seorang wanita itu meninggal dunia maka kemunculan roh ini boleh dihalang dengan langkah-langkah keselamatan yang tertentu.

Dalam kebudayaan Tamil misalnya, pedanda akan berkumpul dan mempersembah sajian kepada roh ini. Di sesetengah kampung pula, struktur batu ladung dibangunkan bagi menghalau roh ini. Di sesetengah tempat di India, mayat boleh jadi diangkut keluar dari rumah melalui pintu di sisi rumah berbanding dengan diangkut melalui pintu depan bagi menghalang roh si mati mencari jalan balik. Jika seorang wanita itu meninggal ketika melahirkan anak atau semasa datang bulan, maka mayatnya akan disucikan dengan lima jenis bahan dari lembu serta mantra khusus akan dibacakan.

Di kawasan pergunungan, tempat bersalin wanita yang mati brsalin itu akan digali dan tanah di situ akan dikeluarkan. Tapak itu akan ditabur dengan biji sawi. Jalan-jalan yang digunakan untuk mengangkut mayat ke pengebumian juga akan ditabur dengan biji sawi. Sebab biji sawi ditaburkan adalah kerana ia berkembang di dimensi alam orang mati dan baunya yang wangi itu menyenangkan roh itu serta menggembirakan hatinya. Oleh itu, ia tidak akan teringat untuk kembali melawat rumahnya di alam manusia hidup. Satu lagi sebab adalah Churail bangkit dari kuburan ketika malam menjelma dan akan mencari rakan-rakannya. Namun, apabila melihat biji sawi bertaburan di jalan maka ia akan berhenti mengutipnya. Semasa mengutip itu, ia akan leka sehinggalah matahari muncul dan ia tidak akan dapat kembali ke rumahnya. Dalam ceritera sebegini, kita dapati bahawa Churail hanya keluar berkeliaran pada waktu malam.

Dalam ceritera lain, Churail selalunya dihalang oleh Baiga, iaitu pawang yang menghalau roh jahat selepas kambing dikorbankan. Dalam satu ceritera, seorang budak lelaki menggambarkan lawatannya ke sarang Churail. Pawang dipanggil dan membantu menghapuskan Churail tersebut. Hal ini menyebabkan budak lelaki itu terselamat.

Cara Pengebumian bagi Menghalang Churail

Pembentukan roh Churail ini boleh dihalang dengan cara pengebumian tertentu berbanding dengan cara pengebumian konvensional secara pembakaran mayat. Upacara pengebumian dijalankan dengan cermat. Wanita-wanita itu mesti diperingati dalam nyanyian dan mantra upacara.

Perbezaan rantau juga menuntut kepada cara yang berbeza. Salah satu caranya adalah dengan mengebumikan mayat dengan kuburnya ditabur duri serta dihempap batu berat di atasnya. Hal ini menghalang roh wanita tersebut dari keluar merayau dari kuburnya. Jika seorang wanita itu meninggal dunia semasa mengandung, mayatnya akan dibedah dan anaknya akan dikeluarkan. Kedua-dua mayat ibu dan mayat anak itu akan dikebumikan dalam satu kubur. Suku kaum Majhwar dari Mirzapur mengebumikan mayat wanita yang disyaki itu dengan duri serta dihempap batu di atas kuburnya. Penduduk di rantau pergunungan India akan memercik lima bahan dari lembu untuk menyucikan mayat itu dan membaca mantra suci. Kerandanya akan dibakar dan ditanam atau dilempar ke dalam sungai. Cara lain adalah dengan memaku empat jarinya dan ibu jari kakinya. Kemudian jari-jarinya diikat dengan benang. Ibu jari kakinya dipakaikan cincin besi dan biji sawi ditabur di tanah apabila wanita itu mati.

Menurut suku Oraon, Churail yang jahat sekali adalah Churail yang mata mayatnya dijahit dengan duri dan tangan serta kakinya dipatahkan. Mayatnya dibaringkan dalam kubur dengan mukanya tersembam ke tanah. Pawang akan mengikut mayatnya ke kuburan sambil menaburkan biji sawi dan membaca mantra. Suku kaum Gond di Selatan Mandla melindungi diri mereka dari Churail dengan mengikat mayat wanita bersalin ke katil bayi dengan bayi yang masih hidup. Suku kaum Bhumia pula melungkupkan wajah mayat wanita yang disyaki akan menjadi Churail ke tanah semasa mengebumikannya. Manakala, mayat lelaki dibaringkan seperti biasa.