Dewa adalah perkataan bahasa Sanskrit yang muncul dalam sastera kitab suci Veda sekitar abad ke-2 SM. Monier Williams menterjemahkan perkataan ini dalam bahasa Inggeris sebagai, "heavenly, divine, terrestrial things of high excellence, exalted, shining ones." Konsep ini digunakan juga untuk merujuk kepada ketuhanan.
Perkataan bahasa Sanskrit dewa- ini terbit dari bahasa Indo-Iran *dev- yang terbit pula dari bahasa Indo-Caucasus, *deiwos. Asalnya ia adalah satu adjektif atau kata sifat yang bermaksud "samawi" atau "bersinar", terbitan vriddhi dari kata akar *diw bermaksud "bersinar", terutamanya seperti langit pada siang hari.
Bentuk feminin bagi *deiwos adalah *deiwih2, yang diturunkan ke dalam bahasa-bahasa di benua India sebagai dewi, dalam konteks makna dewa perempuan. Di bahagian benua Eropah, perkataan *deiwos kononnya menurunkan perkataan yang hampir setara dalam bahasa-bahasa di sana seperti:
- Dievas dalam bahasa Lithuania (Latvia Dievs; Prussia Deiwas)
- Tiwaz dalam bahasa-bahasa jenis Jerman (boleh dilihat dalam bahasa Inggeris, Tuesday)
- Tivar dalam bahasa Norse Tua
- Deus dalam bahasa Latin untuk tuhan dan divus untuk ilahi dan seterusnya perkataan bahasa Latin itu menurunkan perkataan dalam bahasa Inggeris seperti "divine" atau "deity", bahasa Perancis iaitu "dieu", bahasa Sepanyol iaitu "dios", bahasa Portugis iaitu "deus" dan bahasa Itali iaitu "dio"
Perkataan ini nampaknya mempunyai padanan juga dalam bahasa Greek iaitu, Zeus atau Dias yang merujuk kepada ayahanda kepada dewata di Greece. Orang Eropah menyatakan bahawa perkataan ini mungkin berkaitan dengan perkataan bahasa Caucasus Tua *Dyeus yang merujuk kepada "Bapa di Langit," ketua kepada dewata dalam kelompok dewata orang Eropah lama yang setara dengan Dyaus dan Dyuloka di sebelah benua India purba.
Menurut kepada Douglas Harper, asal-usul akar kata dewa yang bermaksud "bersinar" itu terbit dari *div- dan setara dengan perkataan bahasa Greek iaitu dios dan Zeus serta bahasa Latin deus untuk merujuk kepada "tuhan" (bahasa Latin Tua deivos).
Dewa adalah bentuk maskulin bagi dewi yang merupakan bentuk feminin. Perkataan setara bagi dewi dalam bahasa Latin adalah dea dan bahasa Greek, thea. Apabila dihuruf besarkan, Dewi atau Mata merujuk kepada dewi sebagai ibunda ilahi dalam agama orang Hindu. Dewa juga dirujuk sebagai dewata, manakala dewi dirujuk sebagai dewika.
Dewa juga adalah nama khas dalam kebudayaan Hindu, merujuk kepada seseorang yang berharap untuk mencapai kecemerlangan, tuan, atau pencari yang mengharapkan kebaikan senantiasa.