Dhanteras pada tahun ini berlaku pada 21 Okt 2014, merupakan hari pertama bagi peristiwa Dipavali. Nama rujukan lainnya adalah:
- Dhana Trayodashi.
- Dhanavatari Trayodashi.
Kata Dhana bermaksud, kemewahan, manakala Teras merujuk kepada hari ke-13 menurut penanggalan Hindu. Ia dirayakan pada hari ke-13, bulan Aświn pada ketika Kriṣṇa Pakṣa (bulan Tilem). Pada hari ini, Sang Yang Ida Batari Sedana, dewi Lakṣmi dipuja untuk menyalurkan kemakmuran dan kebaikan bagi semua.
Hari pemujaan ini dipandang penting oleh masyarakat peniaga kerana pelanggan akan membeli besi-besi berharga pada hari ini.
Perayaan
Sang Yang Ida Batari Sedana, dewi Lakṣmi, dipuja demi kemakmuran dan kesihatan. Hari ini adalah untuk bersyukur kerana limpahan kemewahan yang diterima oleh kita. Petang hari, bolehlah dipasang panjut pelita menurut budaya tempatan dan Dhana Lakṣmi dijemput masuk ke rumah atau kedai.
Alpana atau Rangoli dilukis di laluan-laluan termasuklah tanda tapak kaki dewi sebagai lambang ketibaan dewi. Bacaan ārti didendangkan untuk dewi dan manisan, bungaan, serta buah-buahan dipersembah kepada dewi. Di setengah tempat, mereka menjemput dewa Ganesha, dewi Lakṣmi, dewi Saraswati, dan Betara Viṣnu. Selain itu, Sang Kubera pun turut diseru untuk datang.
Orang ramai boleh pergi membeli emas, perak atau membeli barang-barang besi berharga untuk dipuja saktinya. Boleh berjudi, memakai barang kemas atau baju baru dan menyalakan pelita Dipavali. Pantang mengeluarkan wang tanpa ditukar dalam bentuk barang. Contohnya,
jangan taruh wang dalam tabung dan berhenti sebentar membayar
hutang-piutang.
Lagenda
Satu lagenda yang berkaitan dengan perayaan ini adalah sebuah cerita mengenai putera kepada raja Hima. Ketika itu, baginda berusia 16 tahun. Menurut nujumnya, baginda nanti dijangka akan mati dipatuk ular pada hari keempat selepas perkahwinannya.
Isteri baginda yang baru dikahwini itu tidak membenarkannya tidur pada hari ketiga perkahwinan baginda. Baginda puteri meletakkan barang kemas seperti emas dan wang perak berkodi-kodi di pintu masuk kamar beradu mereka selain menyalakan pelita di seluruh ceruk istana. Kemudian, baginda pun bercerita dan bergurindam untuk menghalang suami tercinta daripada tertidur.
Keesokan harinya, dewa Yama pun muncul di istana dalam rupa seekor ular tedung. Namun, pandangan matanya terhalang oleh cahaya maha terang dari pelita dan barang-barang kemas yang ditabur dan ditimbun-timbun. Dewa Yama mendaki timbunan harta baginda puteri dan terdengar cerita serta lagu puteri sepanjang malam. Keesokan harinya, baginda menghilang begitu saja. Oleh itu, nyawa putera mahkota pun terselamat dari cengkaman maut berkat kecerdikan isteri baginda.
Semenjak itu, hari itu dirayakan sebagai Dhanteras. Keesokan harinya pula, Naraka Chaturdashi. Kadang-kadang disebut juga sebagai Yama Dīpadāna kerana kaum wanita akan menyalakan pelita tanah di sekitar rumah yang akan terpasang sepanjang malam sebagai memperingati dewa Yama. Oleh sebab malam ke-14 adalah sebelum hari Laksmi Puja, maka ia disebut juga dengan panggilan, Dipavali Kecil.
Lagenda lain pula, ketika para devasura dan asura mengacau adunan lautan kayangan untuk mengeluarkan amrutam, dewa Dhanavatari (jelmaan penyembuh dari Betara Visnu) muncul. Baginda membawa kendi berisi pemangkin kehidupan pada hari ke-13 Dhanateras ini.
Persediaan di India Umum
Premis-premis perniagaan dihias dan direka semula dengan cantik. Pintu-pintu masuk dihiasi dengan motif-motif hiasan tradisi Hindu tempatan dan lantai dilukis dengan kolam berhias beras berwarna, kumkum, dan serbuk-serbuk rempah. Pelita dibiarkan menyala sepanjang malam.
Tradisi-Tradisi
Hari ini, sesuai untuk membeli perak, emas atau sekurang-kurangnya bahan kegunaan di rumah seperti sudu, garfu, dan lain-lain yang mempunyai selitan besi. Ia dipercayai membawa tuah. Laksmi Puja dijalankan pada petang hari sebaik saja diya atau panjut pelita dinyalakan untuk menghalau bayangan roh jahat di persekitaran.
Boleh dibacakan mūlamantra, bhajan atau ārti untuk dewi Laksmi sambil mempersembah Naivedya kepadanya. Tradisi di negeri Maharashtra pula, mereka akan menumbuk sedikit biji ketumbar kering bersama gula kabung untuk dipersembah sebagai Naivedya.
Di kampung-kampung, lembu dihiasi oleh petani kerana lembu membantu mereka mencari nafkah dan memberi susu. Di India Selatan, lembu-lembu turut diberi persembahan dan dianggap sebagai penjelmaan dewi Laksmi.
Di Nepal pula, hari ke-13 merupakan hari mereka membuat bhūta yajña dengan memberi persembahan menerusi upacara mecaru untuk burung gagak kerana burung gagak melambangkan kesedihan dan kematian. Mereka memberi persembahan di atas bumbung rumah sambil bermohon untuk mengelakkan kesedihan.
Upacara Dipavali di Nepal mempunyai perwakilan yang disandarkan kepada binatang seperti gagak, anjing, lembu, dan juga melibatkan hubungan sesama manusia seperti "bhai tika".