Galungan adalah upacara suci yang memberi kekuatan kerohanian agar penganut mampu membezakan antara dorongan hidup yang terbit dari adharma dan dari budhi atma iaitu, bisikan suara kebenaran atau dharma dalam jiwa manusia.
Di samping itu, ia memberi kemampuan bagi manusia untuk membezakan kecenderungan asura sampad (raksasa) dan deva sampad (malaikat). Setiap orang itu mestilah sedar bahawa hidup yang ananda bahagia itu adalah hidup yang berkemampuan untuk menewaskan asura sampad. Galungan menjadi pemberi ingatan bagi penganut Hindu secara upacara dan rohaniah, agar selalu berada di pihak deva sampad. Menegakkan dharma, menakluki adharma.
Daun lontar Sundarigama memberi penjelasan terperinci mengenai perayaan Galungan. Pengertian Galungan dijelaskan seperti berikut:
"Budha kliwon Dungulan ngaran Galungan petitis ikaṃ janyana samadhi, galang apadam maryakena sarva bhyaparaniṃ idep."
Pengertian:
Rabu kliwon Dungulan nama panggilan bagi Galungan, arahkan bersatunya rohani agar menerima pandangan terang yang melenyapkan kekacauan fikiran.
Maka, matlamat utama bagi hari raya Galungan ini adalah untuk menyatukan kekuatan rohaniah supaya fikiran menjadi terang dan pendirian menjadi teguh. Bersatunya rohani dan fikiran yang terang ini nanti akan mencetuskan dharma dalam jiwa. Jika jiwa itu bhyaparaniṃ idep (kacau), maka muncul pula adharma.
Dari penjelasan ini, bolehlah disimpulakna bahawa hakikat perayaan Galungan ini, adalah perayaan yang meraikan kemenangan dharma ke atas adharma. Bagi menegakkan dharma, perlu pula kepada tiga rantaian kegiatan yang dijalankan sebelum dan selepas hari raya Galungan.
Sebelum Galungan, dijalankan Sugihan Jawa dan Sugihan Bali. Kata Jawa di sini, ertinya luar. Sugihan Jawa maksudnya menyucikan bhuvana agung (bumi) yang di luar diri manusia. Sugihan Jawa berlaku pada Bṛhaspati wage wuku Sungsang iaitu enam hari sebelum hari raya Galungan. Daun lontar Sundarigama menyebut bahawa, pada hari Sugihan Jawa, berlaku "Pasucian deva kalinggania pamrastita bhatara kabeh. Maksudnya, semua bhatara deva itu disucikan habis pada hari itu. Upacara ini dijalankan dengan penyucian segala tempat dan peralatan upacara.
Sugihan Bali pula berlaku pada Sukravara kliwon wuku Sungsang. Daun lontar Sundarigama menyebut, 'Kalinggania amretista raga tavulan." Maksudnya hari itu, bolehlah disucikan tubuh jasmani masing-masing. Perkataan Bali dalam bahasa Sanskrit bermaksud kekuatan dalaman diri. Pada Radhita Pahing wuku Dungulan, disebut bahawa Trikāla Viśeṣa akan turun ke bumi mengganggu manusia.
Oleh itu, orang ramai perlu menjalankan upacara-upacara ini pada hari tersebut:
- Anyekung jñāna, mendiamkan pemikiran jangan dimasuki oleh Bhūta Galungan. Daun lontar menyebut bahawa orang yang fikirannya nirmalakena (tsuci) tidak akan diresapi oleh Bhūta Galungan.
- Penyajaan Galungan, pada Chandravara pon Dungulan, mereka yang berpengetahuan mengenai yoga dan samadhi bolehlah menjalankan pemujaan. Daun lontar menyebut, "Pangastavaniṃ sang ngamong yoga samadhi."
- Panampahan Galungan, pada Anggaravara wage wuku Dungulan, Bhūta Galungan ditewaskan. Upacara utama ketika ini adalah membuat banten Bhyakala yang disebut sebagai Pamyakala Lara Melaradan. Kebanyakan orang akan menyembelih babi sebagai korban. Pengertian di sebalik perbuatan ini adalah membunuh sifat-sifat kebinatangan dalam jiwa manusia.
- Manis Galungan pada Brhaspati Umanis wuku Dungulan, penganut akan mengenang keindahan kemenangan dharma. Kegembiraan diraikan dengan mengunjungi pusat-pusat hiburan, terutamanya yang berpemandangan indah dan menarik selain mengunjungi sanak-saudara sambil bergembira.
- Pemaridan Guru, pada Sukravara pon Dungulan. Devata kembali ke kahiyangan dan meninggalkan anugerah berupa dirghayusahan yang bermaksud usia panjang dan kehidupan yang sihat. Penganut digalakkan untuk mengaturkan canang meraka dan matirta gocara yang bermaksud menikmati varanugraha devata.
- Penampahan Kuningan pada Sukravara wage Kuningan. Daun lontar Sundarigama tidak pula menyebutkan dengan terperinci upacara yang mesti dijalankan. Cuma, dianjurkan supaya kegiatan rohani, "Sapuhakena malaning jnana" atau melenyapkan fikiran yang kotor dijalankan.
- Kuningan, pada Sauravara Kliwon. Sesajian dihaturkan pada pagi hari sebelum tengah hari. Devata dan pitru (nenk moyang) berpulang ke kahiyangan pada tengah hari. Seperti sebutan daun lontar, "Deva mur mvah maring svarga."
Yang ini sedikit sebanyak mengenai hari raya ini dan upacaranya di pulau Bali. Terdapat pelbagai jenis Galungan yang ditinjau nanti seterusnya.