Hari raya Galungan memberi peringatan kepada penganut sekelian bahawa adanya pertarungan antara dharma dengan adharma. Ia turut berlangsung di Tanah Besar India sana. Kemungkinan besarnya, perayaan Galungan di Bali dan Jawa itu disesuaikan dengan kalender tempatan, kiraan jotisha dan cuaca tempatan dari upacara Vijayadaśami. Vijaya boleh diertikan juga sebagai, Galungan menurut bahasa Jawa kavi. Dalam bahasa Melayu, ertinya adalah "Kemenangan."
Intisari perayaan Vijayadaśami ini, dijalankan selama sepuluh hari sama seperti Galungan dan Kuningan. Sebelum kemuncak hari raya, selama sembilan malam lamanya, penganut akan menjalani upacara Navaratri. Upacara sembahyang ini dipimpin oleh pinandita di rumah-rumah penduduk. Ia turut menekankan nilai-nilai kerohanian dan kepentingan melawan kecenderungan jahat dalam diri manusia. Pada hari ke-10, barulah dirayakan Vijayadaśami atau Dasara. Vijayadaśami lebih menekankan kepada rasa kemasyarakatan, kemeriahan dan kebergantungan manusia sesama sendiri sebagai masyarakat yang umum.
Hari raya ini dirayakan dua kali setahun menurut pengiraan tahun Surya. Perayaan dijalankan pada bulan Kartika (Oktiber) dan bulan Vesaka (April). Perayaan Dasara pada bulan Vesaka disebut pula sebagai Durga Navaratri. Perayaan ini digambarkan menerusi kemenangan Parvati Devi mengalahkan raksasa Durga yang merasuki tubuh Mahesasura, iaitu seekor setan kerbau. Disebabkan baginda devi mencapai Vijaya, maka diberi pula gelaran Durga Devi kepada baginda. Baginda menurut keyakinan penganut Hindu merupakan dewi penuh kasih sayang dan kesaktian. Kasih sayang turut diperkira sebagai sejenis kesaktian yang tinggi nilainya. Perkataan sakti menurut pemahaman penganut Hindu di India berbeza dengan penganut Hindu di Asia Tenggara yang mengaitkan kesaktian dengan sesuatu yang menakutkan, menyeramkan atau kekuatan bersifat gelap.
Durga Navaratri ini adalah perjuangan penganut untuk meraih kasih sayang dari Tuhan. Kurnia berupa kasih sayang-Nya adalah kurniaan yang tertinggi sekali nilainya. Bagi melawan adharma, maka yang utama untuk diraih itu adalah kasih sayang-Nya. Kasih sayang Tuhan itulah yang menjadi senjata ampuh buat menentang adharma dalam diri sendiri.
Upacara Vijayadasami pada bulan Kartika pula disebut sebagai Rama Navami. Pada Rama Navami ini, pemujaan ditujukan lebih kepada baginda Sri Rama sebagai avatara baginda Visnu. Selama sembilan malam, penganut digalakkan untuk menjalani upacara kerohanian bagi menguasai keganasan hawa nafsu sendiri. Pada hari ke-10, atau Dasara, Vijayadasami pun dirayakan oleh orang ramai. Penduduk akan membanjiri kota-kota dan orang ramai pun menjual panah sebagai lambang kemenangan.
Orang ramai akan membuat ogoh-ogoh berbentuk seperti Ravana, Kumbhakarna dan Surpanakha. Ogoh-ogoh besar itu nanti diarak keliling kota beramai-ramai. Di sebelah padang umum pula, disiapkan Indrasabha, iaitu pementasan lakon orang bagi menceritakan semula kisah dari Ramayana. Kemuncak kepada persembahan tersebut adalah apabila watak baginda, Sri Rama melepaskan anak panah berapi dari atas panggung sehingga terkena ke ogoh-ogoh Ravana, Ogoh-ogoh tersebut akan terbakar dan orang ramai pun bersorak meraikannya.
Orang yang berpakaian seperti Sri Rama, Sita Devi, Laksamana atau Hanuman biasanya diberi penghormatan oleh masyarakat Hindu yang menghadiri upacara keagamaan. Hal ini boleh dilihat di Bengal dan India Utara. Anak-anak kecil akan dihadiahkan dengan anak panah sebagai lambang memanah adharma.
Jika disemak perayaan Vijayadasami yang berlangsung dua kali setahun ini, bolehlah direnung bahawa kasih sayang Tuhan itu adalah kekuatan sakti yang hebat bagi kita mengalahkan adharma. Perayaan pada bulan Vesaka itu memberi peringatan betapa pentingnya kita mendapatkan kasih sayang Tuhan. Sedangkan, perayaan pada bulan Kartika pula merujuk kepada Sri Rama yang merupakan avarata Betara Visnu, pemelihara dharma kebenaran.
Oleh itu, disimpulkanlah bahawa tujuan falsafah bagi perayaan ini, adalah untuk meraih kasih sayang Tuhan dan memohon sarana perlindungan dari Tuhan. Kasih sayang dan pemeliharaan Tuhan merupakan kesaktian yang harus dicapai bagi menguatkan dharma dalam diri masing-masing. Kemenangan dharma pula memastikan kehidupan yang terjamin dan bahagia di kehidupan ini dan seterusnya.
Rujukan: Yajna dan Bhakti oleh Ketut Viyana, terbitan Pustaka Manikgeni, Bali.