Vetāla


Perkataan vetala ini kadangkala diertikan sebagai sebagai pontianak ataupun bangkai yang berjalan. Tetapi, kedua-duanya ini bukanya terjemahan yang tepat untuk perkataan ini. Secara sempitnya, perkataan ini merujuk kepada sejenis semangat yang tidak kelihatan yang selalunya menyerap masuk ke dalam tubuh si mati dan menggerakkannya.

Biasanya, semangat-semangat ini mendiami tubuh si mati dan juga tapak-tapak longgokan orang mati sebelum mayat mereput. Tubuh yang dihinggapnya itu boleh menjadi wahana pergerakannya selain ia membantutkan proses pereputan bangkai tersebut. Vetala juga boleh meninggalkan tubuh itu jika ia mahu. 

Gray dalam laporan tanpa tarikhnya pada tahun 2009 memberikan dapatan kajian di tapak pembakaran mayat bahawa terdapat beberapa ukiran seperti tengkorak, seperti yang terdapat dalam tradisi Tantra Yogini dan membincangkan mengenai vetala ini.

Jenis-Jenis Vetala

Terdapat jenis-jenis vetala sememangnya sudah wujud berkeliaran atau yang dicetuskan oleh sesuatu. Vetala dalam bentuk semangat atau roh yang tidak bertubuh itu berkeliaran di atas tanah perkuburan mencari mayat-mayat yang sesuai untuk menjadi perumahnya. Jika mayat itu dilonggokkan tanpa upacara keagamaan yang memagarinya maka, mayat tersebut akan menjadi sasaran untuk dirasuki oleh vetala.

Vetala yang liar juga menyerang makhluk hidup. Setakat ini, terjemahan pontianak adalah yang paling tepat untuk merujuk vetala jenis ini. Sama seperti pontianak di benua Eropah, vetala jenis ini boleh merupa kelawar besar dan terbang ke sana dan ke mari. Kadangkala, mereka boleh merupa manusia budiman tetapi mempunyai pergerakan yang pelik dan boleh dikesan oleh manusia. 

Vetala memakan bangkai dan menghirup darah. Dalam ceritera-ceritera Hindu, vetala-vetala ini menghantui tanah-tanah perkuburan dan merasuki mayat. Mereka akan menyusahkan manusia dan menakutkan mereka lalu menyesatkan manusia sehingga terlupa akan Sang Hyang Viddhi Vasa. Tindakan mereka terhadap manusia adalah seperti menjadikan manusia gila, menyerang jiwa yang sakit, membunuh kanak-kanak atau remaja dengan cara melemahkan jiwanya, menyebabkan kejadian bunuh diri, dan keguguran dalam kalangan wanita mengandung.

Tersebut dalam sastera-sastera lama yang didapati dari keluarga pedanda agung, vetala didakwa menjadi penunggu-penunggu di luar kampung namun pendapat tersebut sebenarnya hanyalah satu muslihat sahaja. Sebenarnya, pada zaman dulu, banyak berlaku kejadian kawar atau pencuri mencuri harta-harta berharga dari pura Hindu. Untuk melindungi pura-pura tersebut, maka dibuat cerita bahawa vetala menjadi penunggu kampung. Dengan cara begitu, kawar-kawar pun menjadi takut untuk mencuri di sri pura kerana mereka lebih takut akan hantu daripada Sang Hyang Viddhi Vasa. Menurut ceritera tersebut, manusia ada yang baik dan ada yang jahat. Vetala pun sebegitu juga. Mereka itu, ada yang jahat dan ada yang baik. Yang baik itu memperhamba diri mereka kepada Sang Hyang Viddhi Vasa.    

Selain itu, vetala ini boleh dijelaskan sebagai sejenis semangat ganas yang terperangkap dalam 'zon pudar' antara kehidupan dengan alam ghaib selepas kematian atau disebut mengikut bahasa orang Arab, alam barzakh. Makhluk-makhluk begini boleh dihalau dengan pembacaan mantra yang dijalankan dengan minda yang semadhi dan tertumpu. 

Seseorang itu, boleh membebaskan vetala daripada kewujudan mereka itu dengan menjalankan upacara pengebumian dengan betul. Vetala selalunya berpura-pura yang ia tahu mengenai masa lampau, masa kini dan masa depan dengan memanipulasi minda manusia menerusi mimpi dan mengawal minda manusia kerana mereka boleh nampak akan ciri dalaman manusia. Mereka juga boleh berhubung menerusi pemikiran (telepati). Melalui cara tersebut, mereka menyiarkan rupa-rupa dan mempengaruhi manas (pemikiran dan hari nurani) untuk bertindak. Oleh itu, dukun-dukun sering menangkap mereka dan menjadikan mereka hamba pula untuk kegunaan peribadi mereka.  

Cerita Vetala

Suatu ketika dahulu, seorang dukun sihir pernah meminta raja Vikramaditya untuk menangkap vetala yang berdiam di sebatang pohon yang tersergam berdiri di tengah-tengah tapak perlebonan (pembakaran) mayat. Satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah dengan mendiamkan diri. Setiap kali berjaya ditangkap oleh sang raja, vetala tersebut akan bercerita dengan cerita yang berpenghujung dengan persoalan. Sang raja cuba menjawab sedaya upayanya namun gagal. Disebabkan oleh hal itu, vetala terpaksa dilepaskan kerana itu adalah perjanjiannya. Cerita ini kemudian dicatat dalam buku lalu diberi judul, Baital Panchisi

Di sebelah negeri Konkan, terdapat orang yang memuja vetala yang sangat kuat, dikenali sebagai Sri Betal. Srī Betal ini didakwa sebagai saudara kepada Srī Durga. Maka, di mana saja ada pura untuk Srī Durga, maka mesti ada sanggar pemujaan untuk Srī Betal dalam kompleks pura tersebut atau di semak-samun berdekatan pura tersebut. Kelihatannya, hubungan antara vetala dengan tokoh separa devata dalam sastera di negeri Konkan itu seperti tidak kukuh.

Terdapat juga pura Sri Betal di Amona, Goa. Pemuja akan memuja Betal dalam rupa Kala Bhairava, ketua bagi segala semangat, piśacha, pontianak dan roh yang memamah mayat. Dia juga mempunyai rupa lain yang lebih ganas lagi, iaitu Agni Vetala, yang memuja Kalika Kosong.   

Agni Vetala ini berambut berapi, dan berupaya mengawal api. Ia digelar sebagai Agya Vetala. Agni Vetala ini digunakan oleh para Tantri kiri untuk menyihir orang. Agni Vetala tidaklah bersalah dalam hal ini. Yang bersalah itu, adalah orang Tantri yang menyalahgunakan kesaktian mereka dengan mengampu para daitya yang berada di kaki Agni Vetala. Pengorbanan darah yang dibuat oleh orang Tantri selalunya diterima oleh daitya-daitya tersebut. 

Menurut sastera Hindu, seseorang itu boleh menghalau roh jahat menerusi pembacaan mantra. Mantra yang boleh dibaca untuk menghalau vetala berbunyi, "Durgamba, durgamba durga durgai, O namah Śivāya" yang bermaksud, "Ibunda jagat, Ayahanda jagat, bantulah patik ini."

Dalam budaya popular, cerita-cerita mengenai roh jenis ini muncul dalam program televisyen contohnya seperti cerita yang berjudul, "Baital Panchisi: Vikram aur Betāl" arahan En. Ramanand Sagar yang disiarkan di saluran DD National. Di samping itu, tema makhluk ini turut dimasukkan dalam siri The Secrets of the Immortal Nicholas Flamel serta muncul dalam siri-siri pertunjukan televisyen seperti Supernatural dan Sleepy Hollow. 

Rujukan Penting
  • Gray David B. (n.d). Skull Imagery and Skull Magic in the Yogini Tantras. Santa Clara University. 
  • Dallapiccola, Anna (2002). Dictionary of Hindu Lore and Legend. Germany: University of Heidelberg.