Perlambangan Dewata

Kehinduan mempunyai tradisi perlambangan atau ikonografi yang purba dan juga  panjang lebar terutamanya dalam bentuk Murti, Vigraha atau Pratima.

Murti tersebut bukanlah dewata itu sendiri sebaliknya adalah rupa atau imej bagi dewata tersebut. Ia mewakili nilai keagamaan dan emosi penganutnya. Terjemahan terus perkataan Murti sebagai berhala itu adalah salah sama sekali. Jeaneane Fowler menyatakan bahawa keberhalaan itu difahami sebagai satu perkara yang khurafat dan berakhir dengan maksud itu sahaja. Seperti gambar seseorang itu. Gambar tersebut bukanlah orang tersebut. Murti juga begitu. Ia hanyalah satu imej dan bukannya perkara sebenar. Namun, ia mengingatkan seseorang kepada sesuatu yang mempunyai nilai emosi dan nilai sebenar bagi orang yang melihatnya. Apabila seseorang itu menjalankan pemujaan di hadapan Murti, ia dianggap sebagai jelmaan kepada ciri dalam atau roh dewata yang dipuja, buah fikiran rohaniah pemuja tersebut dan juga keperluannya ditumpukan menerusi Murti itu. Buah fikiran mengenai Brahman atau Hakikat Agung itu tidak terkurung dalam Murti tersebut.

Murti bagi sesuatu dewata itu biasanya dipahat dari batu, dari kayu, dilebur dari besi atau menerusi pembuatan tembikar. Teks-teks zaman pertengahan menjelaskan mengenai sebatian tepat, kedudukan dan ungkapan yang diberikan kepada Murti dewata-dewata tertentu. Antara teks-teks tersebut adalah seperti Purana, Agama, dan Samhita terutamanya Silpa Sastra. Ungkapan bagi sesuatu Murti itu pula berbeza dalam tradisi Hindu. Dari ungkapan Ugra yang melambangkan kemusnahan, ketakutan dan keganasan seperti terpapar pada dewi Durga atau dewi Kali sehinggalah kepada Saumya yang memaparkan ungkapan keseukaan, ilmu dan keharmonian bagi dewi Laksmi atau dewi Saraswati. Ungkapan berbentuk Saumya lebih terkenal dalam kuil-kuil Hindu. Bentuk Murti lain yang sering ditemui adalah bentuk Linga.

Murti itu adalah pemerupaan bagi Brahman, atau Hakikat Agung bagi sesetengah orang Hindu. Dalam konteks agama, ia banyak ditemui dalam kuil-kuil Hindu atau rumah orang Hindu. Murti-murti ini mungkin dilayan seperti tetamu yang disayangi atau menjadi jemputan dalam upacara pemujaan. Sesuatu Murti mestilah dipasakkan oleh pedanda di kuil menerusi upacara Prana Pratistha. Harold Coward dan David Goa menjelaskan bahawa "tenaga suci yang penting dalam alam semesta diseru dan dijemput untuk mendiami arca yang telah dibuat itu" dan kemudian dewa yang diseru itu dialu-alukan seperti seorang mengalu-alukan kawannya. Dalam keadaan yang lain, Murti menjadi pusat tumpuan dalam perarakan tahunan untuk sesuatu perayaan. Murti ini dikenali sebagai Utsava Murti.