Śakti Dharma merujuk kepada doktrin kesaktian atau doktrin dewi. Ia
juga merupakan salah satu aliran agama Hindu yang memberi tumpuan kepada
pemujaan Sakti atau Dewi, Ibunda Murni, sebagai perwakilan Tuhan. Ia
merupakan aliran utama bersama-sama dengan aliran-aliran terkenal lain
seperti Shaiva, Vaishnava dan Smartha.
Penganut aliran Shakti menganggap Dewi sebagai Para-Brahman sendiri, "yang tanpa sesaat pun", dengan segala rupa kedewataan, lelaki atau wanita, dianggap sebagai jelmaan-jelmaannya saja. Dalam falsafah dan amalannya yang terperinci, Shakti Dharma ini menyerupai agama Shaiva. Namun, para Shakta atau pengamal pemujaan Sakti ini memberi tumpuan pada kebanyakan masanya untuk memuja Sakti, sebagai aspek feminin dinamik bagi Sang Hyang Tunggal. Betara Shiva, aspek maskulin kedewataan, dianggap sebagai tercakup. Pemujaan untuknya diperkira sebagai pemujaan tambahan oleh penganut agama ini.
Kultus pemujaan dewi sebenarnya sudah pun wujud di benua India semenjak pada zaman purba lagi. Cawangan agama Hindu yang memberi penumpuan kepada pemujaan dewi, dikenali sebagai Sri Devi, dirujuk sebagai Shakti Dharma. Pengikutnya mengenalpasti Shakti sebagai kuasa yang membayangi prinsip maskulin, dan Sri Devi sering dipamerkan menerusi Parvati, isteri baginda Betara Shiva atau Laxmi, isteri Betara Vishnu.
Dewi selalu juga dipaparkan menerusi jelmaan-jelmaan tertentu seperti dewi Kali atau dewi Durga. Shakti Dharma sangat rapat perkaitannya dengan Tantrayana yang mengajarkan mengenai upacara dan amalan penyucian minda dan tubuh. Ibunda Dewi menjelma dalam pelbagai rupa. Sesetengahnya penuh kasih-sayang, dan sesetengahnya ganas. Para Shakta membaca mantra, mengguna ilmu ajaib, yantra, yoga dan upacara untuk menyeru tenaga-tenaga alam semesta.
Menjelang beberapa ribu tahun, Shakti Dharma memberi ilham kepada kemunculan sastera Sanskrit dan falsafah Hindu. Ia terus kukuh dalam amalan orang-orang Hindu hari ini, terutamanya yang di seberang laut dan di perbatasan. Pelbagai bentuk Shakti Dharma boleh dilihat, sama ada yang bercirikan Tantra dan yang bukan Tantra. Aliran-aliran Shakti yang terkenal kini seperti, Srikula, yang terkenal di India Selatan dan Indonesia serta Kalikula, yang terkenal di India Utara dan India Timur.