Walaupun hari raya Galungan disebut sebagai, "rerahinan gumi" yang bermaksud, perayaan yang wajib dirayakan, namun wujud perbezaan dalam hal-hal merayakannya.
Berdasarkan kepada sumber-sumber daun lontar dan tradisi dari abad-abad lampau, dipastikan bahawa ada sekurang-kurangnya tiga jenis perayaan Galungan iaitu:
- Galungan tanpa embel-embel.
- Galungan Nadi.
- Galungan Nara Maṃsa.
Galungan adalah perayaan wajib yang dirayakan oleh penganut agama Hindu untuk merayakan kemenangan dharma ke atas adharma. Berdasarkan daun lontar Sundarigama, disebutkan bahawa, "Budha kliwon Dungulan ngaran Galungan." Ertinya, "Galungan itu dirayakan pada setiap hari Rabu kliwon wuku Dungulan."
Oleh itu, perayaan ini akan berlangsung setiap 210 hari kerana pengiraannya didasarkan kepada Pañcavara, Saptavara dan Wuku. Jika Pañcavaranya Kliwon, Saptavaranya, Budha, dan Wukunya Dungulan, maka berlakulah hari raya Galungan.
Galungan Nadi
Galungan yang pertama dirayakan oleh penganut agama Hindu di Bali berdasarkan kepada lontar Purana Bali Dvipa iaitu, Galungan Nadi, yang berlaku pada sasih Kapat (kartika) tanggal 15 purnima tahun 804 Saka. Sekitar pada bulan Oktober.
Daun lontar menyebutkan bahawa pulau Bali pada ketika perayaan Galungan Nadi itu bagaikan Indraloka. Hal ini, menunjukkan bahawa betapa meriahnya hari raya ini di pulau Bali pada ketika itu. Perbezaan hari raya Galungan Nadi dengan hari raya Galungan yang biasa adalah dari segi skala upacaranya dan kemeriahannya.
Sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan penganut agama Hindu bahawa jika upacara agama yang digelar bertepatan dengan bulan purnama, maka upacaranya itu akan lebih bersemarak. Contohnya, upacara Ngotonin atau upacara hari kelahiran berdasarkan wuku, jika bertepatan dengan bulan purnama maka upacaranya menjadi lebih meriah dan diutamakan. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh kepercayaan bahawa hari Purnima itu adalah hari yang direstui oleh Sang Hyang Ketu, deva kecemerlangan. Ketu ertinya, kecerahan. Sedangkan lawannya, Rahu, ertinya kegelapan.
Oleh itu, Galungan yang bertepatan dengan purnama tersebut disebut Galungan Nadi. Galungan jenis ini, sangat jarang sekali berlaku. Ia cuma berlaku lebih kurang 10 tahun sekali sahaja.
Galungan Nara Maṃsa
Perayaan Galungan ini berlaku pada Tilem Sasih Kepitu, atau Sasih Kesanga. Dalam daun lontar Sundarigama, disebutkan seperti berikut:
"Yan Galungan nuju sasih kepitu, tilem Galungan, mvang sasih kesanga, rah sanga, tengek sanga, Galungan Nara Maṃsa ngaran."
Maksudnya, "Apabila wuku Dungulan itu bertepatan dengan sasih ketujuh, Galungan itu jatuh pada amavasya. Apabila ia bertepatan dengan sasih kesembilan rah sembilan, tengek sembilan, maka namanya Galungan Nara Maṃsa."
Dalam daun lontar Sang Hyang Haji Svamandala, "Nihan bhatara ring Dalem pamalan dina ring wong Bali, poma hayva lali elingakna. Yan tekaning sasih kepitu, anemu wuku Dungulan mvang tilem ring Galungan ika, tan venang ngegalung wong Baline, kala Rahu ngaranya yan mengkana. Tan kavasa mebanten tumpeng. Mvah yan anemu sasih kesanga, rah sanga, tengek sanga, tunggal kalavan sasih kepitu, sigug ya mengaba gering ngaran. Venang mecaru wong Baline pebanten caru ika, nasi cacahan mahoran keladi, yan tan anuhut ring dalem yanya manurung, moga ta sira kapereg denira balangadabah."
Maksudnya, "Inilah petunjuk bhatara di Pura Dalam tentang kotornya hari bagi manusia. Semoga tidak lupa, maka beringatlah. Apabila tiba sasih ketujuh bertepatan dengan wuku Dungulan dan Amavasya, ketika hari Galungan yang itu, janganlah dirayakan perayaan Galungan, Kala Rahu namanya, apabila demikian berlaku, jangan engkau sembahkan sajian yang berisi tumpeng. Apabila berlaku bertepatan dengan sasih kesembilan, rah kesembilan, tenggek kesembilan, pun sama juga dengan sasih yang ketujuh. Hari yang itu membawa penyakit, tidak baik. Maka, sayogia orang ramai menjalankan upacara mencaru, iaitu menyembahkan sajian caru, iaitu sejenis nasih cacahan bercampur dengan ubi keladi. Apabila melanggar pantang Bhatara Pura Dalam, maka nanti kamu semua pun dilanggar oleh Balagadabah."
Daun lontar Sundarigama menyebutkan bahawa pada hari ini, "Deva mahuneb Bhūta turun." Ertinya, "Deva bertutup tapi Bhūta yang turun."
Galungan yang ini ertinya adalah Galungan Raksasa, pemakan daging manusia. Oleh itu, pada hari ini, upacara Galungan ditutup serta "Tumpeng Galungan" tidak disajikan sebagai sembahan. Pada ketika ini, penganut sekelian disarankan untuk menyusun penyembahan Nasi Caru, atau nasi bercampur ubi keladi.
Perlaksanaan upacara Galungan di Bali selalunya digambarkan menerusi penceritaan Mayadhanava yang dihuraikan panjang lebarnya dalam daun lontar Usana Bali sebagai perlambangan pertarungan Dharma melawan Adharma. Dharma dilambangkan sebagai deva Indra sedangkan Adharma dilambangkan oleh Mayadhanava. Mayadhanava dalam lagenda adalah seorang raja yang atheist (tidak beriman dengan Tuhan) dan langsung tidak menjalankan upacara keagamaan.