Selasa, 9 Ogos 2011

Kurangnya Sembahan Dewa Brahma


Berhala dewa Brahma

Walaupon Brahma merupakan salah satu daripada dewata utama dalam agama orang Hindu, sedikit sahaja orang yang memujanya. Hari ini, India hanya ada beberapa kuil yang ditujukan khas untuk Brahma berbanding ribuan kuil yang dibina untuk Vishnu dan Siva kecuali pertubuhan agama Brahma Kumari yang menyimpan gambar Brahma di belakang guddhi.

Antara beberapa kuil yang wujud hari ini yang terkenalnya seperti di:

1. Pushkar dan kampung Asotra (Kheteshwara Brahmadham Teertha), Rajasthan
2. Thirunava, Kerala
3. Kumbakonan dan Kodumudi, Tamil Nadu
4. Nerur di Kudal Taluka, Maharashtra
5. Brahma Kamali di kampung Sattari Taluka wilayah Goa
6. Khedbrahma, wilayah Gujerat
7. Bindusagar dan Kuil Niali Brahma, Orissa
8. Kampung Khokhan di Lembah Kullu, 4 km dari Bhuntar

Pemujaan biasa selalunya diadakan untuk dewa Brahma di kuil di Thrunavaya dan ketika perayaan Navaratri. Kuil lain untuk dewa Brahma dikenali sebagai Sri Brahmapuriswarar terletak di Thirupattur dekat dengan Tiruchirapalli, wilayah Tamil Nadu. Berhala dewa Brahma selalu dilumur dengan sebatian kunyit setiap hari waktu pagi. Kuil ini juga ada tempat semadi untuk resi Patanjali dan kuil bersebelahan dalam kompleks kuil yang sama adalah Kuil Kasi Vishwanathar mempunyai tempat semadi untuk resi Vyakrapatha.

Mitos menyatakan bahawa apabila Brahma mencipta loka, dia juga menciptakan Saraswati dan Kamadeva atau dewa nafsu berahi. Kamadeva bercadang untuk menguji kuasanya ke atas Brahma dan hanya Saraswati sahaja wanita yang ada di situ pada masa itu. Brahma kemudian tertarik dengan kecantikan Saraswati dan mempertimbangkan untuk mengambilnya sebagai teman. Tetapi Saraswati menolaknya dan menyedarkannya mengenai hubungan mereka berdua. Brahma yang berasa bersalah kemudian meleburkan dirinya dan mengambil jasad lain yang bebas dari sebarang nafsu.

Sebagai tanda penyesalan terhadap Vishnu yang memberikan Brahma jasad lamanya, Brahma bercadang memberikan Saraswati kepada Vishnu yang satu-satunya layak berteman dengan anaknya. Ramai pengikut Lakshmi (bini pertama Vishnu) tidak suka hal ini walaupun Saraswati selalunya berada di Brahmaloka belajar dan mengekalkan hubungan baik dengan Lakshmi. Diriwayatkan juga bahawa Brahma masih tidak terlepas dari kesalahannya berahi terhadap anaknya sendiri. Dia disumpah lagi oleh dewa Siva yang tiada siapa pun dalam loka ini akan menyembah kepadanya kerana tidak dapat mengawal pikirannya walaupun merupakan salah satu dari Tridewa.

Banyak lagi ceritera dalam keagamaan orang Hindu bercerita tentang kutukan yang menyebabkannya tidak disembah di bumi. Menariknya, pustaka Bhavishya Purana menyatakan bahawa sesetengah daitya atau setan mula menyembah Brahma untuk mendapatkan kurnia dan menyebabkan dewa-dewa di kayangan tidak dapat mengalahkan setan-setan ini. Bagi mengelakkan penyembahan setan terhadap dewa Brahma, Vishnu muncul di bumi sebagai Buddha dan Mahavira. Dengan banyak hujah, Vishnu meyakinkan para daitya untuk meninggalkan penyembahan dewa Brahma. Akibat meninggalkan pemujaan dewa Brahma, setan-setan ini mula hilang kuasa dan dapat dikalahkan. Bhavishya Purana membentangkan bahawa perbuatan meninggalkan pemujaan Brahma tidak diterima dalam agama orang Hindu. Halnya kerana, Brahma merupakan perlambangan kepada Brahman atau jelmaan Brahman.

Menurut ceritera Siva Purana, permulaan samaya jagat raya, Vishnu dan Brahma mendekati Sivalingga yang besar dan cuba untuk mencari permulaan dan penghujungnya. Vishnu diarahkan mencari penghujungnya manakala Brahma diarahkan mencari permulaannya. Vishnu menjelma menjadi seekor babi lalu menggali ke dalam tanah. Brahma pula mengambil rupa seekor angsa dan terbang ke udara. Kedua-duanya tak menemui pun permulaan atau penghujung Sivalingga itu. Vishnu sudah berpuas hati lalu bertemu dengan dewa Siva dan menyembah kepadanya dalam swarupa Brahman. Brahma tidak mudah menyerah kalah. Semasa dia sedang terbang ke atas, dia bertemu dengan bunga kesukaan dewa Siva iaitu bunga Ketaki. Sifat bangga dirinya menyebabkannya meminta bunga tersebut memberi kesaksian palsu bahawa dia sudah menemui permulaan dewa Siva. Bila dewa Brahma menceritakan penemuannya itu kepada dewa Siva, kemarahan dewa Siva yang serba tahu itu melonjak-lonjak disebabkan sifat bangga diri tersebut. Dewa Siva lantas menyumpah dewa Brahma yang tiada siapa pun dalam Tribuana akan memuja sembahnya.

Menurut lagenda lain pula, Brahma tidak menerima puja sembah kerana disumpah oleh maharesi Brahmarishi Bhrigu. Maharesi ini telah mengadakan upacara korban api (yajna) di bumi. Diputuskanlah bahawa yang teragung dalam semua dewa ini akan menjadi kepala dewata. Maharesi Bhrigu kemudian pergi lah mencari yang teragung antara Trimurthi itu. Apabila dia pergi ke Brahma, dia melihat dewa tersebut sedang asyik dibuai bunyian indah dipetik dewi Saraswati. Dewa Brahma tidak dengar lah panggilan maharesi Bhrigu. Maharesi Bhrigu berasa tersinggung lalu menyumpah yang tiada siapa pun di bumi akan menyeru pujanya lagi.

Dalam Brahma Purana dan ilmu penciptaan jagat, Brahma dianggap sebagai pencipta tapi tak semestinya adalah Tuhan. Dia juga diciptakan oleh Brahman. Jangkahayat Brahma adalah selama 100 tahun Brahma, bersamaan dengan 311, 040, 000, 000, 000 tahun surya (311 trilion dan 40 bilion tahun bumi). Penghujung hayatnya, akan ada sela masa 100 tahun Brahma yang mana Brahma lain pula akan memulakan penciptaan jagat baru. Pusingan ini akan berulang-ulang tanpa penghujung.

Rupa

Brahma memakai kain merah. Biasanya digambarkan bermuka empat atau chiturmuka iaitu ada empat kepala, empat muka, dan empat tangan. Setiap kepalanya sentiasa meratib empat Veda. Selalu juga digambarkan berjanggut putih terutamanya di India Utara menandakan sifat abadi kewujudannya. Tak seperti dewa orang Hindu yang lain, dewa Brahma tiada memegang sebarang senjata. Salah satu tangannya memegang tongkat rajadhikar. Tangan kedua memegang busur. Tangan ketiga memegang akshmala atau tasbih. Akshmala ini digunakan untuk mengira masa jagat raya. Tangan keempat memegang pustaka Veda.

Banyak sahaja ceritera mengenai berkurangnya kepentingan dewa Brahma dalam Purana, misalnya dalam Siva Purana. Seorang wizurai British yang meminati agama orang Hindu dilaporkan pernah berkata dalam cerminan falsafah bahawa India tidak akan mampu kehilangan dewa Brahma dan dewi Saraswati. Tanpa keduanya, penduduk India akan kekurangan daya kreatif, pengetahuan, dan pendidikan.

Lambang Brahma

Empat Tangan

Brahma ada empat tangan mewakili empat arah mata angin seperti timur, selatan, barat, dan utara. Tangan kanan atasnya melambangkan minda, tangan kiri atasnya melambangkan kesarjanaan, tangan kanan bawahnya melambangkan bangga diri, dan tangan kiri bawahnya melambangkan keyakinan diri.

Akshmala

Tasbih melambangkan bahan-bahan yang terlibat dalam penciptaan jagat raya.

Pustaka

Melambangkan ilmu pengetahuan dari Veda.

Kencana

Emas melambangkan kegiatan, wajah keemasan Brahma menandakan bahawa dia giat dalam penglibatannya mencipta jagat raya.

Hamsawati

Angsa melambangkan kurniaan dan pemikiran. Brahma menggunakan angsanya sebagai wahana atau kenderaannya.

Mahkota

Mahkota di kepala dewa Brahma melambangkan kekuasaan utamanya.

Padma

Teratai melambangkan alam semulajadi dan intipati hidup bagi segala yang bernyawa dan makhluk semesta.

Janggut

Janggut Brahma warna hitam atau putih menandakan kebijaksanaan dan kerja-kerja penciptaan jagat yang abadi.

Chiturmuka

Empat muka mewakili empat Veda iaitu Rigveda, Samaveda, Yajurveda, dan Atharvaveda. Veda-veda ini dilambangkan dengan empat muka, empat kepala, dan empat tangannya.

Rumah Berhala Brahma

Benua India

Walaupun kebanyakan upacara Hindu melibatkan dewa Brahma namun sikit saja koil yang dibina untuk memujanya. Antara yang masih terkenal adalah koil Brahma di Pushkar. Sekali setiap tahun, pada ketika Kartika Purnima malam bulan penuh panchangga Kartika (Oktober-November) akan ada perayaan keagamaan untuk menyembah ke Brahma. Beribu-ribu tirthayatriyom akan bersuci mandi di tasik Pushkar sebelah koil itu. Ada juga koil yang dibina untuk dewa Brahma dalam koil pekan seperti Sri Kalahasti dekat Thirupatti di Andra Pradesh.

Luar Benua India

Asia Tenggara atau Hindu Hulu

Dewasthana terkenal sekali untuk dewa Brahma boleh ditemui di Angkor Wat di Kemboja. Di Jawa, ada kompleks koil di Candi Prambanan yang dibina pada abad ke-9 M. Kawasan percandian itu dibina untuk dewa Siva namun dewa Brahma dan dewa Vishnu turut disembah di candi yang dibina berasingan di kawasan candi itu dengan candi besar di sebelah selatan candi Siva ditujukan khas untuk Brahma.

Di Bangkok dalam negara Thailand pula ada berhala dewa Brahma di Erawan. Kecubung keemasan Rumah Kerajaan Thailand juga ada berhala dewa Brahma yang disebut menurut lidah orang Thai sebagai Phra Phrom. Ada banyak juga sanggar dengan berhala Brahma di Thailand seperti di hujung jalan Silom persimpangan jalan Surasak-Naradhiwat.

sambung, panjang sangat...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan