Batu Malai ini merupakan bukit batu kapur yang di dalamnya ada serumpunan gua dan koil. Ia berada di daerah Gombak di negeri Selangor, kira-kira 13 km di utara Kuala Lumpur di negara Malaysia. Namanya diambil dari Sungai Batu yang mengalir melintasi bukit itu. Batu Malai juga merupakan nama sebuah kampung berdekatan dengan kawasan keagamaan ini. Gua ini merupakan salah satu pawitrastana terkenal di luar India, ditujukan kepada Dewa Kartikeya atau Dewa Murugan. Ia menjadi titik tumpuan bagi thirtayatram penduduk Hindu di Malaysia.
Itihasa
Batu kapur yang membentuk Batu Malai ini dikatakan berusia kira-kira 400 juta tahun. Setengah pintu masuk ke gua digunakan juga sebagai tempat berlindung oleh suku kaum Melayu Purba dari puak Temuan. Seawal 1860, orang Cina mula mencarigali guano bagi menyuburkan tanaman. Walau bagaimanapun, kawasan itu mula menjadi terkenal selepas ia direkod sebagai bukit batu kapur oleh pihak berkuasa pentadbiran British seperti Daly Syers dan juga ahli kaji alam dari Amerika, William Hornaday pada 1878.
Batu Malai diangkat menjadi tempat pemujaan oleh encik K. Tambusami Pillai, seorang pedagang Hindu. Beliau mendapat ilham selepas terlihat pintu masuk ke gua utama berbentuk seperti Sakti Wel atau Lembing Sakti yang selalunya melambangkan koil dewa Muruga di gua-gua. Pada tahun 1890, en. Pillai juga membina Koil Seri Maha Mariamman di Kuala Lumpur dan memasak murti Seri Subramania Swami di dalam gua di Batu Malai. Sejak 1892, perayaan Thaipusam dirayakan di situ. Tangga kayu ke gua utama dibina pada 1920 dan hari ini sudah digantikan dengan 272 anak tangga konkrit supaya lebih selamat. Kawasan ini merupakan kompleks keagamaan Hindu terbesar kerana menempatkan beberapa pawitrastana untuk dewata di dalam bukit.
Dengan ketinggian 100 m dari atas tanah, kompleks agama Hindu Batu Malai ini mempunyai tiga gua utama dan beberapa gua kecil lain. Yang terbesar digelar sebagai Gua Koil mempunyai langitan tinggi dan memaparkan hiasan yang terdapat dalam koil Hindu lain. Untuk sampai ke sana, pelawat kenalah memanjat 272 anak tangga.
Di dasar bukit pun ada dua lagi koil gua, galeri kesenian gua dan muzium gua yang kedua-duanya sarat dengan lukisan dan murti tokoh Hindu. Kompleks ini diubahsuai dan dibuka semula sebagai Villa Gua pada 2008. Kebanyakan pawitrastana menceterakan kejayaan dewa Muruga melawan Neraksurapadma. Ada juga lawatan beraudio untuk kemudahan pelawat.
Gua Ramayana terletak di sebelah kiri sekali sebagai pintu ke laluan di dinding gua. Terdapat murti Hanuman setinggi 50 kaki atau 15 m di laluan ke gua Ramayana dan juga ada sebuah koil untuk dewa Hanuman. Upacara penyucian bangunan juga ada dijalankan di koil sekitar November 2001. Gua Ramayana memaparkan cetera Seri Rama menurut cara babad sepanjang dinding gua. Sebuah murti dewa Muruga setinggi 42.7 m bersamaan 140 kaki diresmikan pada Januari 2006. Tiga tahun lamanya diambil bagi menyelesaikan pemasakannya. Ia merupakan murti dewa Muruga tertinggi sekali di dunia.
Pentadbiran
Kuil Sri Subramaniar Batu Malai ini diuruskan oleh Badan Pengurusan Kuil Seri Maha Mariamman Dewastanam yang turut menguruskan Koil Seri Maha Mariamman di Kuala Lumpur serta Koil Kortumalai Pillaiyar. Ia turut menjalankan peranan sebagai konsultan agama Hindu untuk Kerajaan Malaysia dalam mencari cuti menurut penanggalan Hindu bagi masyarakat Hindu menjalani upacara keagamaan tahunan.
Perayaan
Batu Malai ini menjadi titik perhatian bagi masyarakat Hindu merayakan perayaan Thaipusam. Ia menjadi tapak thirtayatra bukan sahaja oleh masyarakat Hindu di Malaysia, sebaliknya juga masyarakat Hindu di negara lain seperti dari India, Australia, Singapura dan Thailand.
Perarakan bermula pada awal pagi ketika Thaipusam dari Koil Sri Mahamariamma di Kuala Lumpur ke Batu Malai sebagai kebaktian untuk dewa Muruga. Lama masa diambil adalah lapan jam. Para pemuja akan membawa bekas besi mengandungi susu sebagai semahan untuk dewa Muruga sama ada memegang dengan tangan atau dengan menanggungnya di atas bahu dengan kawadi.
Selepas mandi di Sungai Batu berdekatan, para anak bakti yang mengangkat wratam akan berjalan ke Koil Gua dan memanjat tangga ke gua. Anak bakti nanti akan menggunakan anak tangga lebih luas di tengah sementara pemuja dan pemerhati pula akan memenuhi atas dan bawah di kiri kanan anak bakti. Apabila anak bakti menanggung kawadi tiba di anak tangga 272 maka dia harus memanjat ke atas sambil membawa semahan. Pedanda akan membacakan mantera kepada anak bakti. Debu suci atau wibuthi akan disapukan ke cangkuk-cangkuk dan cucukan besi sebelum ditikam ke kulit anak bakti. Tiada darah pun keluar disebabkan itu. Pada tahun 2007 sahaja, perayaan ini menarik seramai 1.5 juta orang berthirtayatram.
Pengangkutan
Jika ingin berthirtayatra ke Batu Malai, mudah sahaja jika menggunakan kereta api Komuter laluan Batu Caves-laluan Pelabuhan Kelang. Bayar sebanyak RM2 untuk perjalanan sehala dari hentian besar KL Sentral. Boleh juga menaiki bas 11/11d dari hentian Bangkok Bank berdekatan dengan hentian Puduraya atau bas U6 dari Titiwangsa.



Tiada ulasan:
Catat Ulasan