Rabu, 8 Mei 2013

Dewata Hindu: Kateri Amman



!Om Svastiastu!

Kateri Amman ini berasal dari Madras di negara Tamil. Di Madras dulu, ada sebuah kampung kecil di daerah Wallore yang dikenali sebagai Kampung Kateri. Tidak jauh dari situ ada sebuah empangan dan juga air terjun yang juga dikenali sebagai Kateri. Dewi Kateri ini pula tergolong sebagai dewata pengawal kampung atau penunggu di sesuatu tempat.

Cetera dari Rahasia Dewi menunjukkan bahawa kampung dan sungai itu diberi nama sempena nama dewi penunggu ini. Menurut penduduk kampung, mereka memuja dewi ini kerana ketakutan dan meminta perlindungan. Dewi penunggu ini yang tinggal di hutan berdekatan menyebabkan wanita sering mengalami keguguran dan tidak boleh melahirkan anak. Selalunya di tubuh wanita mengandung di situ akan mempunyai tanda hitam kebiruan lebam dan kekurangan darah. 

Suatu ketika dewi ini pernah menyembuhkan penyakit anak gadis kepada seorang saudagar, lalu sebagai mengenang jasanya saudagar membangunkan sebuah tempat pemujaan untuk dewi ini. Dewi ini bagaikan jururawat dalam alam pemujaan kesaktian. Dalam bahasa Tamil, perkataan "Kateri" ini membawa arti "Si Penghisap Darah" atau pun "Pontianak". Dewi menghisap darah dan menyucikan kesakitan yang terkandung dalam darah yang dihisapnya. Pemujaan kepadanya juga dijalankan bagi mengelakkan wanita keguguran dan masalah berlaku kepada janin semasa wanita mengandung.

Bab ke-19 dalam Rahasia Dewi menyebut bahawasanya terdapat beberapa jenis bekas minuman keras yang mesti ditutup dan dijaga dengan rapi kerana dewi ini sangat sukakan minuman keras dan daging. Ia akan dipuja pada malam gelap bulan purnama. Bahan semahan dalam pemujaan antaranya, minuman keras, rokok dan burung jantan atau ayam jantan, barangan yang dipanaskan, pahit dan pedas.

Gambaran dewi ini di Kampung Arathangi di daerah Pudhukottai pula menyebutkan bahawa dewi ini adakalanya dilihat memegang trisulo sebelah tangan kanan dan membuat mudra memberi karunia, manakala tangan kirinya pula memegang mangkuk darah pengorbanan. Lidahnya terjelir keluar kerana malu disumpah baginda Betara Siwa. Baginda disumpah oleh Betara Siwa kerana cuba memecah masuk ke dalam Lingam baginda Betara Siwa menggunakan ilmu hitam. Maka dewi ini disumpah menjadi bentuk jiwa atau hantu yang merayau dalam hutan atau merayap di tempat yang dicemari dengan darah, kencing, nanah, tahi dan air mani. Kerana itu, dewi ini berkebolehan masuk ke tempat kotor dan warna kulitnya menjadi kehitaman atau kelabu. Pakaian baginda itu sama ada pakaian warna merah atau hitam.

Pemujaan kepada dewi ini terdapat juga di negara-negara Barat kerana dibawa oleh penganut Hindu Sakti yang berhijrah ke situ. Cara pemujaan kepadanya juga terdapat dua jenis menurut kepada ceritera rakyat iaitu cara pengorbanan atau cara bukan korban. Menurut kepada cetera mulut pula, dewi Pontianak ini merupakan jelmaan ibu Parameswari. Namun di India Selatan sendiri, Ibu Parameswari dan Ibu Pontianak ini dipuja secara beda-beda. Kedua-dua dewi jelmaan ini adalah jelmaan kepada Ibu Sakti tetapi berfungsi secara berlainan. Yang satunya itu sada manakala satu lagi bukan. Kedua-duanya pun menerima semahan Balidana.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan