Sabtu, 9 November 2013

Bahasa Melayu Purwa

Swasti Srih!


Sebagai yang diketahui, bahasa ini merupakan bahasa perhubungan dalam empayar Sriwijaya. Banyak sekali perkataan dari bahasa Prakerta, Sanskerta dan setengahnya dari bahasa Tamil Lama yang menyerap ke perbendaharaan bahasa Melayu Purwa. Dalam masukan yang ini, aku mengertikan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian ajaran Buddha dan juga bahasa pengantar bagi agama Hindu. Kadangkala aku sendiri pun tercampur bahasa Melayu dengan bahasa rantau Hindustan secara tidak sengaja kerana aku cuba menyah buang bahasa Arab tapi dalam situasi bahasa moden keadaan ini mustahil sekali. 

Untuk mulaannya, kita boleh mempelajari langgam-langgam bahasa Melayu yang ada kerana bahasa Melayu ini seperti juga bahasa Mandarin yang dituturkan juga oleh sejumlah besar penutur negeri-negeri yang bukan penuturnya disebabkan ia diangkat menjadi bahasa pengantar. Beda nya bahasa Mandarin yang dituturkan di China dan di beberapa tempat di dunia ini baru sekitar kurun ke-18 M sahaja mendapat tempatnya sedangkan bahasa Melayu sudah semenjak kurun ke-8 M lagi. Pengaruh kesusasteraan Hindu Jawa tidak dapat aku nafikan memasukkan lagi kata serapan bahasa Jawa ke bahasa Melayu sedang kedua-dua bahasa ini adalah seperti bahasa Italia dan bahasa Portugis. Aku sangatlah menggalakkan anak-anak Hindu sekelian, rakan-rakan Hindu sekelian agar bantu rakan-rakan lain dengan menulis rencana tuan itu sekurang-kurangnya dalam bahasa Melayu setempat tuan-tuan. Setakat ini aku merasakan orang Hindu dari Bali sangat berjasa dalam penyebaran dharma kerana menulis dalam bahasa Melayu sedang mereka pun ada bahasa mereka sendiri. Begitu juga dengan orang-orang keturunan Siam dan keturunan Melayu yang menganuti ajaran Buddha di rantau Selatan Thailand. Alangkah bagus jika penganut agama Hindu yang berketurunan Tamil, Telugu, Malayala dan lain-lain turut serta juga.

Sebelum kedatangan pedagang-pedagang Hindu dari benua kecil India ke gugusan kepulauan di selatan Asia Tenggara ini, bahasa yang diperguna penduduk setempat pun memang merupakan dasar bagi bahasa Melayu yang ada kini iaitu bahasa Melayu Tuha yang masih dipertutur oleh beberapa kelompok orang Melayu yang dimasukkan dalam senarai orang asli di negara aku hanya kerana mereka bukan beragama Islam secara keseluruhan dan masih mengamalkan animisme dan kepawangan nenek moyang atau menganuti agama Kristian sedangkan yang menganut agama Islam pula mula diserap dengan cepat ke dalam masyarakat Melayu Pesisiran dan bandar yang memegang gelaran Melayu sedangkan mereka itu sudah bercampur-baur bersangatannya.

Bahasa Melayu kemudian mendapat pengaruh ajaran Buddha dan agama Hindu juga disebabkan oleh raja-raja pedagang Hindu bercampur dengan orang-orang Laut yang kini menjadi orang Melayu di rantau pantai Sumatera, Perhuluan Tanah Melayu dan pesisiran Pantai Barat dan Timur Tanah Melayu serta rantau Selatan Thailand. Orang Laut ini sebenarnya sangat jauh sebarannya kerana mereka pandai ilmu membuat sambau, berangai atau sampan. Ada yang terlepas sampai ke Vietnam dan Selatan China seperti orang Tanka yang kini mungkin sudah bercampur bahasa mereka dengan bahasa Cina langgam Selatan. Kemunculan kerajaan Sriwijaya menjadi sebuah empayar kelautan menyebarluaskan lagi bahasa Melayu kerana putera-putera raja Hindu juga berketurunan orang Laut dari sebelah ibu mereka sedangkan dalam pentadbiran kerajaan dan keagamaan dipakai pula bahasa Sanskerta.    

Penutur bahasa Melayu Tuha ada sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau, Bangka dan Belitung serta di rantau Pulau Sumatera. Selain itu, bahasa Melayu turut dituturkan oleh pedagang-pedagang Hindu purwa. Ia mudah diterima ramai kerana sikapnya yang mudah menyerap pengaruh luaran, tiada ikatan tatasusunan bicara menurut jatiniyam, dan lebih mudah rupakara tatabahasanya.

Pengaruh Bahasa Sanskerta

Bahasa Melayu Purwa banyak terpengaruh dengan rupakara bahasa Sanskerta. Ketika itu kebanyakan penutur bahasa Melayu beragama Hindu dan menurut ajaran Buddha jadi bahasa Sanskerta dipakai kelompok bangsawan dan Brahmana. Lebih kurang sekarang ini, penduduk yang berbahasa Inggeris atau berbahasa Belanda itu dari kelompok bangsawan dan berpendidikan begitu lah juga dulu.

Ciri bahasa Melayu itu sendiri mudah dibentur, dan menyebabkan kosa kata bahasa asing mudah diserap apabila dituturkan oleh orang Melayu peranakan India. Terbukti juga dengan penerimaan aksara Pallawa dan aksara Daiwanagri dari benua kecil India, rangkai kata pinjaman dan swanima-swanima dari bahasa Sanskerta. 

Kesan pengaruh keagamaan pula membawa kepada penambahan kosa kata bahasa Melayu. Contohnya perkataan bahasa Sanskerta seperti śukacitta, athawa, karana, tatakala, dan sebagainya. Ketika itu tiada lagi pengaruh bahasa Persia atau pengaruh bahasa Arab yang meluas seperti dalam bahasa Melayu Jati Klasik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan