Pemujaan dewi biasanya dijalankan pada hari ketiga Dipavali atau rentetan Tihar, ketika Amavasya (bulan baru). Bolehlah dewi Lakṣmi diberi penghormatan dengan menghiasi rumah, dalam dan luar, dengan menyalakan pelita, lilin, dan lampu-lampu mengikut tradisi setempat. Umat Hindu boleh juga berdoa semoga keluarga sihat semuanya, urusan kerjaya dan perniagaan berjalan lancar.
Menurut purana (umat Hindu tidak pantas merujuk sastra agama sebagai 'mitos'!), dewi Lakṣmi, śakti Betara Viṣnu, mewakili kemewahan hidup, menziarahi penganut dan pemujanya serta memberi kurniaan serta restu kepada mereka. Untuk mengalu-alukan dewi, bersihkanlah rumah serta kampung kalian, hiasi sekeliling dengan panjut pelita dan perhiasan indah, sediakan kuih-kuih manis serta hidangan istimewa persembahan untuk semua. Jika dewi berkenan, maka direstuilah keluarga dan sekampung dengan kesihatan serta kemewahan.
Masa Bertuah untuk Pemujaan
Hari ketiga untuk Dipavali dipercayai cukup bertuah untuk memuja dewi serta membuka upacara untuk dewi. Dewi dijemput menerusi upacara sama ada yang diperbuat sendiri oleh tuan rumah, atau dengan bantuan pedanda Brahmin.
Masa memuja dikira apabila muncul Amavasya tithi semasa Pradoṣakāla atau pada petang hari. Pada hari ini, Surya dilintasi oleh pusingan kedua dan melalui Tularaśicakra (Libra) yang lambangnya adalah 'timbangan'. Ia memberi maksud, kunci kira-kira boleh diseimbangkan dan ditutup ketika itu. Walaupun jatuh pada hari bulan gelap, ia sebenarnya adalah hari yang sangat bertuah.
Cahaya pendokong pengetahuan diceriterakan muncul atas kemanusiaan pada hari ini. Pencerahan jiwa ini diungkapkan menerusi kerdipan-kerdipan pelita yang menyinari kediaman pemuja yang berbakti. Dipercayai, dewi berjalan di padang-padang hijau dan menari-nari di jalan-jalan memandikan restu dan tuah kepada manusia sekelian supaya mereka beroleh kemuliaan serta kemakmuran.
Pemujaan dewi ini merupakan acara utama pada rentetan perayaan Dipavali di India Utara dan India Barat. Sudah semestinya, dewi menyukai kesucian dan kebersihan. Oleh itu, dewi akan melawat rumah pemuja yang paling bersih dulu. Disebabkan hal ini, penyapu turut dipuja dengan memberi persembahan serbuk kunyit dan serbuk kumkum. Pelita dipasang untuk memberi penghormatan kepada dewi.
Sambutan di Nepal
Di Nepal, Lakṣmi Pūja disambut sebagai cuti umum kedua selepas peristiwa Vijayādaśamī (Dasāiṃ). Cara ia disambut turut melibatkan pelbagai jenis yajña iaitu selama lima hari juga:
- Kag, bhūta yajña menerusi gagak.
- Kukur, bhūta yajña menerusi anjing.
- Tihār, Dipavali besar.
- Gai, bhūta yajña untuk lembu.
Di pagi hari, dijalankan Tihār, di malamnya, Lakṣmi Pūja. Terdapat juga Mahā Pūja, Goru Tihar (lembu), Govardhan Pūja, dan kemudian Bhaitika mengikut urutan hari dari pertama sehingga kelima. Seperti tempat lain pun, orang Nepal membeli emas, perak, batu permata, perkakas-perkakas kegunaan sendiri buatan tembaga, loyang dan gangsa sebagai tanda bertuah, makmur, wang dan kemewahan. Bahan-bahan ini turut diguna dalam pemujaan dewi pada malam hari ketiga.
Pemujaan dewi dijalankan di ruang yang disucikan dengan tirtha suci, tinja lembu dan tanah merah. Seluruh rumah disinari simbahan cahaya lilin dan pelita. Mereka memainkan lagu-lagu raya popular seperti Deusi dan Bhailo bersama rakan-rakan sekampung.
Pemujaan dewi dijalankan menerusi gabungan pañchadevata iaitu:
- Ganesh Ji sebagai Vigneśvār, dipuja sebelum memulakan tindakan bertuah.
- Dewi Lakṣmi, dipuja dengan tiga rupa Mahālakṣmi (kewangan dan kemewahan), Mahāsaraswati (sastra, ilmu, dan bakat), dan Mahākālī.
- Betara Viṣnu.
- Kuberan, mewakili bendahari dewa-dewa.
Sila klik sini untuk mengakses lanjutnya.