Memaparkan catatan dengan label pengetahuan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pengetahuan. Papar semua catatan

Jumaat, 16 Ogos 2013

Jñāna Yoga

Om Swastiastu!


Lama aku tak bersiaran bersama rakan-rakan sekelian. Diharapkan rakan-rakan semua bergembira bercuti walaupun hari cuti yang baru berlalu itu bukan perayaan keagamaan orang Hindu tapi perayaan agama orang lain. Tapi jika sudah namanya cuti maka sudah tentulah boleh bertenang-tenang sebentar. Cubalah tuan budiman sekelian elakkan bercakap hal-hal agama dengan orang-orang beragama Arab tersebut terutamanya juga mereka sedang berada dalam musim sentap menyentap. Baru-baru ini terdapat kes-kes berkaitan dengan agama seperti agama Kristian, ajaran Buddha serta kelompok penganut agama itu sendiri yang "dikatakan" menghina itu dan ini dalam agama mereka menurut acuan pemahaman mereka. Itu bukan tujuan kita mengetik di sini lagipun aku tak berminat nak mengambil tahu hal mereka kerana suka hati mereka lah. Biar sahaja mereka. Kita ini mesti pula memantapkan pengetahuan dharma serta menjalani samskara dharmam supaya jangan kita menjadi ciptaan yang rosak dan kotor.

Pengertian Jñāna

Masukan kita ini adalah tentang Jñāna yoga yang boleh disebut pula dengan pelbagai cara seperti Nyana, Dhyana atau Gyana. Perkataan Jñāna ini membawa pengertian pengetahuan. Makanya Jñāna yoga ini merupakan jalan atau disiplin yang diamalkan bagi pengikut adat-istiadat keagamaan orang Hindu sekelian untuk mencapai pengetahuan benar. Penganut ajaran Buddha turut juga mengamalkan jalan ini yang disebut sebagai Dhyana atau Zen itu. Untuk keselarian pula, ku ceterakan bahawa Jñāna ini sepadanlah dengan Gnostisisme di sebelah Barat seperti di Mesir, Tanah Yunani, Tanah Parsi, Syria dan Iraq. Untuk bandingannya, nanti-nanti sahaja sekiranya aku berkelapangan kerana hal pekerjaan seharian ku ini sudah pun menyebabkan aku terpaksa melanggar beberapa samskara bangsa Brahmana yang menyebabkan aku berasa sesal dan pilu hati. Maka, pada masukan yang ini biar kita ketahui pada dasarnya dahulu. Kemudian baru kita membandingkannya dengan bentuk kefahaman bangsa lain tentang jalan yang ini serta melihat pula kepada ajaran Buddha.  

Matlamat Jñāna Yoga

Seperti yang tersebut menerusi Bhagawadgitam, ahli falsafah Brahmana; Mpu Adi Sangkara sangat-sangat mementingkan jalan ini serta menyatakan bahawa jalan ini adalah jalan mencapai pengetahuan tentang Yang Mutlak itu iaitu Brahman. Manakala Mpu Ramanuja yang mengulas Wisistadwaita menganggap bahawa pengetahuan itu cuma satu syarat sahaja bagi kebaktian.

Sri Begawan Kresna sebagai tercatit dalam Bhagawadgitam (13.3) menyebut bahawasanya Jñāna itu mengandungi pemahaman yang sesuai tentang ksetram atau lapangan kegiatan yang merujuk kepada tubuh kita ini dan juga ksetrajña atau pengenalan bagi tubuh kita itu atau roh yang kita selalu sebut sebagai jiwa menurut langgam bahasa Hindu kita kerana roh itu adalah bahasa Arab. Kemudian Begawan Kresna menekankan lagi dalam Gita (13.35) bahawa pelajar yang mempelajari kecakupan Nya itu mesti memahami dulu beda antara keduanya itu. Mpu Sri Ganapatrao Maharaja Kannur menekankan juga kepentingan kita mengetahui tentang diri kita kerana ia membawa kita kepada mengetahui juga Yang Maha Agung itu dan penting sekali bagi menghapuskan ego atau sikap mementingkan diri sendiri serta kecenderungan kita mengenalpasti diri kita dengan tubuh dan bukan dengan jiwa kita. 

Jalan Berlapis Empat

Adwaita Wedanta yang klasik memperguna sadhana catustaya atau jalan empat lapis bagi melatih para pelajar dan bagi pencapaian moksa. Disebut ia berlapis empat itu kerana sebenarnya ia mengandungi empat tahap pula: 

1. Samanyasa yang pada tahap ini seseorang itu cuba menuruti ciri-ciri ini:
  • Wiweka atau kemampuan untuk membedakan yang hakikat dan bukan hakikat. Konsep ini sangat penting sekali kerana ia tersebut juga dalam sastera sebelum dicetuskan sastera Bhagawadgitam. Ia selalunya diseru dalam rupa angsa yang dikatakan mampu pula mengasingkan antara susu atau soma daripada air semasa minum.
  • Wairagya yang merujuk kepada melepaskan ikatan belenggu, tidak mengendahkan kesukaan pada tubuh dan juga kesakitan pada tubuh lagi tak mengira apa jua keadaannya.
  • Shadsampat yang terdiri pula daripada enam tabiat baik:
                - Sama iaitu ketenangan atau kawalan minda. Damai-damai saja.
                - Dama atau mengawal pancaindera dan deria.
                - Uparati atau meninggalkan kegiatan keduniaan.
                - Titiksa iaitu ketahanan kepada perubahan dan keadaan yang berlawanan.
                - Sraddha atau kepercayaan teguh pada guru, atman dan juga sastera suci.
                - Samadhana iaitu tumpuan pikiran.
  • Mumuksutwa iaitu keazaman untuk kebebasan.
2. Srawana mendengar kepada ajaran-ajaran segala acarya dan resi dengan bantuan Upanishad dan Adwaita Wedanta. Belajar Caturweda dan sastera Wedanta seperti Brahma Sutra, Bhagawadgitam, Ramayana dan Mahabharata. Di tahap inilah nanti, pelajar akan mempelajari hakikat Brahman dan hubungan-Nya dengan atman.
3. Manana atau tahap merenung kepada ajaran.
4. Dhyana iaitu tahap tapa semadi pada kebenaran "bahawa Engkau itulah Engkau!" Ajaran ini tak perlu pada agama yang tertentu pun menurut pada muka buminya atau terlalu sukar untuk dipahami bagi yang biasa dengan sastera-sastera Hindu tapi mungkin terlalu tinggi bagi jenis-jenis orang yang tak biasa dengan konsep Jñāna.

Selasa, 9 Ogos 2011

Brahma Sampradaya

Brahma mempunyai sampradayanya sendiri. Dia muncul di atas bunga teratai yang tumbuh dari pusat Garbhodakashavi Vishnu. Selepas pertapaannya, dia mencipta aturan 14 graha dan banyak lah makhluk bernyawa yang datang ke situ dalam 840,000 jenis jasad kebendaan menurut keinginan lampau mereka.

Brahma menerima pustaka Veda dari Vishnu dan Brahma sampradaya ini memencarkan ilmu dari dewa Vishnu Narayan ke bumi. Oleh kerana Brahma ini merupakan pengikut kepada dewa Vishnu tidak seperti Brahma di jagat kebendaan lain, makanya kita ada Brahma sampradaya.

Apakah Brahma sampradaya ini? Ia merujuk kepada tradisi berguru yang dimulakan dengan Brahma. Avidhi (istilah) ini digunakan untuk merujuk kepada kepercayaan dan ajaran Mathavacharya dan falsafah Dvaitanya. Kadang-kala ia boleh juga merujuk kepada ajaran dari Chaitanya Mahaprabhu dengan ajaran Gaudiyanya. Sebilangan pergerakan keagamaan sedunia juga tergolong dalam tradisi Brahma sampradaya ini misalnya seperti Masyarakat Antarabangsa untuk Kesedaran Krishna (ISKCON) yang muncul dari aliran Vaishnava Gaudiya.

Pengikut tradisi ini mempercayai bahawa pengetahuan Veda itu turun dari Brahma. Dalam konsep Veda, sampradaya ini bermula dengan penciptaan jagat raya dan bertahan sehingga saat ini dalam diri guru bagi seorang anak siksha itu sendiri. Dari kerana kemalaran penyebaran pengetahuan ini, semua guru yang lampau turut wujud dalam ajaran-ajaran guru kerohanian kini. Aturan Veda mengesahkan bahawa penyebaran ini kekal tulen melalui pengesahan kelayakan penyebar tersebut.

Brahma sampradaya juga selalunya dipanggil sebagai Brahma-Mathava sampradaya kerana ajaran datang dari Mathavacharya.

Punca Rujukan

1. Denton., T. L. 2004. Female Ascetics in Hinduism, pp 224.
2. Eliot, C. 1998. Hinduism and Buddhism: An Historical Sketch, page 239.
3. Goswami, S. D. 1976. Readings in Vedic Literature: The Tradition Speaks for Itself. Assoc. Publishing Group, pp. 240, ISBN 0912776889.
4. Sharma., P. V. 1998 The Sadhus and Indian Civilisation, page 57.