Jumaat, 8 Julai 2011

Pengenalan Ringkas Ramayana




Ramayana merupakan salah satu antara dua epik yang terkenal di Asia Tenggara pada zaman purba misalnya seperti di empayar Siam, empayar Kemboja, pulau Jawa, pulau Sumatera, di Kelantan, empayar Burma, dan juga di Laos sebagai contoh menunjukkan penyebaran budaya Hindu di Asia Tenggara.

Jadi wujud beberapa versi Ramayana mengikut kawasan setempat setelah epik ini mengalami proses adaptasi dalam budaya setempat. Di India pun ada beberapa versi menurut wilayah. Versi yang awal bagi kavi Ramayana ini dikaitkan dengan maharesi Vaalmiki. Kavi atau karangan puisi ini dibacakan dalam bahasa Sanskrit.

Di wilayah orang Tamil ada Ramayana Kamban atau Ramawataram. Di Benggal ada Ramakirtti. Versi bahasa Melayu diterjemahkan oleh penulis yang tidak diketahui namanya diberi nama Hikayat Seri Rama. Bagi versi Ramakien Siam dan Phra Lak Phra Lam di Laos, versi mereka mungkin berasal dari naskah bahasa Bengal. Di Jawa ada kekawin Ramayana dalam bahasa Jawa purba. Versi bahasa Hindi ditulis oleh Tulsidas diberi nama Ramacaritmanas.

Teknik tafsiran bagi epik Ramayana juga adalah pelbagai dan luas. Tidak semestinya dalam bentuk pembacaan prosa sahaja. Misalnya di Kemboja dan Siam ada Lakhorn bagi persembahan epik Ramayana. Ada tambahan lagi bagi kisah Hanuman di Siam diberi nama Mayarap. Di kuil-kuil Buddha di Siam pun ada lukisan-lukisan dinding dan ukiran kisah hidup Rama. Ada bentuk wayang kulit untuk kisah ini juga sama ada di Kemboja, Siam, atau di Jawa.

Di Kerala mereka pun ada juga persembahan kathakali untuk lakonan semula kisah hidup Sri Rama. Orang zaman dahulu belajar kehidupan bertanggungjawab dan dharma melalui epik-epik seperti Ramayana ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan