Isnin, 22 April 2013

Mistik: Brahma Daitya


Brahma Daitya ini sebenarnya benda yang hampir sama dengan Brahma Raksha di India Selatan. Ia merujuk kepada roh Brahmana yang bujang dan agak memilih dalam pemakanannya. Brahma Daitya ini boleh bergaul baik dengan manusia asalkan mereka jangan melangkah kawasannya tanpa kebenaran. Kini kita sajikan ceritanya untuk tatapan pembaca Hindu sekelian.

Dalam sebuah kampung di negeri Bengal, hiduplah seorang Brahmana miskin dengan isterinya. Hidup mereka bukanlah sebagai yang dibayangkan oleh orang ramai bahawa jati Brahmana itu hidup kaya menindas orang. Hakikatnya, mereka meminta dana di rumah ke rumah. Kais pagi makan pagi, kais petang makanlah petang.

Berhari-hari bertahun-tahun, maka kampung mereka itu bertukar ganti jamindar atau tuan tanah. Brahmana itu terpikir untuk berjumpa dengan jamindar dan meminta sedikit dana. Esoknya, dia berpakaian kain ikat pinggang yang bagus demi berjumpa si tuan tanah. Tapi, tuan tanah bila ditemui nampaknya sibuk sekali dengan hal ehwal kampung.

Setengah pelayan jamindar memaklumkan kepadanya bahawa di bawah pohon ara besar di luar kampung itu ada banyak hantu. Beberapa orang lelaki berani pun ada mendekati pokok itu tapi tak ada seorang pun kembali selamat. Kata pelayan jamindar itu, semua mereka pun ditemui dengan leher tergantung di pokok. Sejak itulah kawasan dekat pokok itu kosong sahaja waktu malam. Waktu siang pun, ada lah beberapa orang penjaga lembu melepaskan lembu mereka meragut. 

Jaminder mendengar hal ini terasa bimbang pula. Jadi, dia mengumumkan bahawa sesiapa yang berani ke pokok ara itu waktu lepas senja dan bawa sebatang dahan dari pokok itu kepadanya akan diberi ganjaran 100 bigha tanah sewa percuma. Brahmana yang duduk dekat situ terpikir bahawa mungkin orang-orang jamindar itu cukup berani hendak menjalankan tugasan itu. Tapi selepas itu, tak ada siapa pun tampil. Jadi, dia pun mencuba nasibnya. Getus hatinya, "hidup ini pun susah saja, kalau cuba dapatkan dahan pokok itu untuk harapan hidup yang lebih baik dan terbunuh oleh setan itu maka hidup terseksa ini pun akan berakhir". Jadi dia pun berkeputusan untuk pergi ke sana dengan sukarela.

Sampai di rumah dia menceritakan hal itu kepada bininya tapi bininya berasa takut dan menangis teresak-esak. Dia meminta si suami janganlah menyia-nyiakan hidupnya begitu. "Janganlah tinggalkan aku, abang! Hidup aku lagi teruk nanti kalau kau tiada!". Brahmana masih tetap dengan keputusannya. Orang kampung pula cuma memperolokkannya dan bercakap seolahnya mereka kasihan dengannya. Kata setengahnya, "Kau ada beberapa hari lagi sebelum menyerahkan leher kau kepada setan penunggu pokok itu. Tukarlah pikiran selagi boleh!". Brahmana tidak mudahlah mengubah keputusannya. Satu jam selepas jatuhnya matahari dia pun pergi ke kawasan pokok ara itu. Hatinya berdegup kencang tatkala kakinya hampir sampai ke kawasan pokok itu. Sambil kakinya menggigil, dia berhenti sebentar di bawah pokok Bakul tak jauh dari pokok ara berpenunggu itu. Pokok Bakul itu pun dihuni oleh roh Brahma Daitya. Roh itu berasa kagum dengan keberanian Brahmana kurus kering itu yang cuba mendekati pokok ara. Tanyanya, "Hai Brahmana, kau takutkah? Kau mau apa? Maukah aku bantu kau?".

Brahmana menelan air liurnya dua kali sebelum berbisik kasar, "Tabik wahai penunggu yang direstui, aku perlu memotong dahan dari pokok ara itu untuk jamindar. Aku ini teramat miskin, tapi jika aku berbuat begitu maka aku akan mendapat 100 bigha percuma sewa tanah. Aku takut sebenarnya mau ke situ. Aku akan menghargai jasamu selamanya jika kau membantu".  

Brahma Daitya setuju, "Mari ikut aku. Aku akan bawa kau ke situ". Brahmana melepaskan nafas tanda lega kerana dia menyedari kesaktian Brahma Daitya itu. Kepalanya didongakkan sedikit, dan dia pun mengikut penunggu pokok Bakul itu ke pokok ara sambil memegang gergajinya. Tak lama kemudian, menjelmalah lebih daripada 100 ekor penunggu entah dari mana menyerbunya. Brahma Daitya masuk campur dan meminta supaya Brahmana itu dibenarkan memotong sebatang dahan dari pokok itu.

Hantu itu semua menghormati Brahma Daitya kerana walaupun dia itu sejenis hantu, tapi pangkatnya lebih tinggi. Jadi sebaik sahaja didengari arahan dari suaranya maka mereka menurut dan membantu Brahmana memotong dahan pokok itu. Sebelum terkelip mata si Brahmana, tiba-tiba sahaja sebatang dahan besar terbaring di depannya tanpa dia potong pun. Dia berterima kasih kepada Brahma Daitya kerana membantunya dan berlari sekuat mungkin ke rumah jamindar.

Jamindar terkejut beruk melihat dahan pokok itu di depannya. Dia pun ingin pergi ke pokok itu sendiri esoknya supaya dapat dipastikan dahan itu dari pokok itu. Keesokan harinya, jamindar ditemani orang suruhannya pergi ke pokok itu. Terkejutlah mereka kerana memang dahan itu dari pokok berpenunggu itu. Janji tetapi janji, maka 100 bigha sewa tanah pun dilepaskan kepada Brahmana tak bertanah miskin melarat itu. Ketika itu pula padang di tanah sewaan Brahmana itu sedang masak padinya. Kerana pengetahuan Brahmana dalam bertani tiada serta tiada siapa menolong maka dia pergi meminta bantuan Brahma Daitya. "Bantulah aku wahai penunggu, aku perlu bantuanmu lagi". "Gimana aku boleh tolong kau?", tanya si penunggu. "Tanah yang aku terima itu sudah masak padinya, dan boleh dituai. Tapi aku tiada alatan untuk menuai. Tolonglah aku, kerana hancurlah segalanya jika tidak dituai padi itu", rayu si Brahmana. Brahma Daitya menenangkannya, "Jangan kau risau, wahai Brahmana. Aku akan pastikan bukan sahaja padimu itu ditebas tapi juga dipukul, dijeramikan dan disimpan dalam jelapang. Kau hanya perlu cari 100 sabit dan letakkanlah di kaki pokok Bakul ini waktu malam. Sediakan juga jelapangnya supaya bahan itu semua disimpian dengan baik".

Brahmana miskin melarat itu langsung tak ada rakan kaya. Dia pun terlopong memikirkan siapalah yang akan meminjam sabit semua. Brahma Daitya berkata, "Kau dah kaya pun kini. Pinjam saja sabit dari orang kampung". Brahmana bergegas balik ke kampung dan berbuat seperti saranan penunggu itu. Suka hatilah dia kerana orang kampung memang menyerahkan sabit kepadanya dengan senyuman. Dia mengambil semua itu dan meletakkannya di pokok bakul menjelang senja.

Kemudian, dia menyediakan tapak dekat sawah untuk jelapang padi. Semua kerja siap maka dia pun berehat di malam hari. Sebaik saja orang kampung semua terlelap chendera, maka Brahma Daitya meminta tolong rakan-rakan penunggu di pokok ara untuk membantu mengerjakan sawah si Brahmana. Mereka semua gembira saja membantu. Sebelum subuh, padi sudah siap dikerat, dipukul dan ditampi. Jerami semua diikat dan disimpan elok dalam jelapang yang dibina Brahmana. Keesokan harinya, Brahmana dan bininya berasa teruja sekali selepas melihat kerja buatan Brahma Daitya dan rakan penunggunya. Orang kampung pun terpegun dan percaya bahawa Brahmana direstui oleh para dewata kahiyangan.

Selepas beberapa hari, Brahmana yang mengenang budi kembali menghadap Brahma Daitya berhati mulia itu, "Wahai penunggu, bolehkah kau tolong aku lagi? Aku ingin berterima kaseh kepada dewata kerana restu mereka kepada aku. Kerananya aku ingin memberi makan kepada 1000 orang Brahmana lain. Aku akan mengenang jasamu sampai bila-bila jika kau bantu aku dengan bahan untuk kenduri besar meraikan mereka". Roh yang menunggu pokok itu menjawab, "Hai Brahmana, akan ku penuhi permintaan mu. Minta tunjukkan saja tempat yang boleh aku letakkan bahan itu semua".

Brahmana menyediakan sebuah bilik untuk penunggu meletakkan bahan kenduri kendara. Sehari sebelum kenduri itu, penuhlah bilik itu dengan 100 bekas minyak sapi murni, selonggok besar tepung, buahan kering dan sayuran, 100 bekas gula, 100 bekas susu, 100 bekas susu ketulan dan lain-lain bahan untuk kenduri besar-besaran. Brahmana kemudian mengupah 100 tukang masak bagi menyediakan makanan untuk para Brahmana pedanda. Keesokan harinya subuh cerah dan jelas. Brahmana dan bininya sibuk mengalu-alukan para Brahmana. Dia sendiri kelaparan kerana mahu menunggu Brahma Daitya yang membantunya dengan barangan kenduri itu menjamah makanan bersama. Keinginan si Brahmana tidaklah kesampaian kerana kawannya si penunggu Brahma Daitya itu sudah cukup tempoh di dunia.

Puspaka yang menjadi wahana dewa kemewahan, Kuberan turun ke bumi melepaskan Brahma Daitya daripada kewujudannya sebagai makhluk halus yang tersangkut di pokok Bakul. Brahma Daitya bahagia kerana dapat meneruskan kenaikan di kahiyangan. Brahmana itu pun hidup bahagia dengan anak cucunya. Umurnya panjang tapi tetap mengingati penunggu yang membantunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan