Isnin, 15 April 2013

Mistik: Brahma Raksha


Kali ini aku tambah masukan baru untuk penganut Hindu kawasan lain yang bukan kawasan Asia Selatan iaitu segmen mistik. Tahukah anda Brahma Raksha ini apa? Brahma Raksha ini adalah roh seseorang dari kaum Brahmana yang mati dalam keadaan tertentu.

Ini cerita dari masukan seorang penulis dalam laman sesawang yang dikenali sebagai billyak18 pada 16 Januari 2013. Ceritanya adalah mengenai cerita seram yang berlaku di kejiranannya 70 tahun lalu. Mereka yang mengalaminya adalah yang tinggal berdekatan dengan rumah penulis tersebut serta sanak saudaranya. Cerita ini didengarinya dari datuknya yang mendengar cerita ini dari orang lain yang terkena.

Penulis menerangkan dalam masukan sebelum-sebelumnya bahawa orang-orang dari jatinya yang tinggal berdekatan dengan koil bergantung hidup dengan pekerjaan di koil. Pernah di situ ada seorang pedanda yang selalu menjalankan pemujaan di koil berdekatan. Pedanda itu merupakan seorang ahli keluarga yang disebutkan. Dalam agama HIndu, hanya kaum Brahmana boleh menjadi pedanda dan hanya mereka yang dibenarkan masuk ke sri koil iaitu kawasan kecubung di dalam koil tempat berhala dewata berdiam bagi menjalankan pemujaan. 

Kaum Brahmana mesti berpengetahuan dalam weda-weda, upanishad dan mantra-mantra pemujaan dari sastera purwa untuk menjalankan upacara sembahyang di samping membantu yang lain untuk masuk ke pemujaan. Selain daripada itu, mereka kena menurut kepada disiplin kehidupan yang sangat ketat serta mengelakkan perkara yang memabukkan serta perkara berlawanan dengan norma kemasyarakatan. Mereka harus hidup dengan memakan sayuran dan ketika itu, ada peraturan pula yang orang dari jati lain mesti ketepi bila pedanda berada dalam koil supaya angin sucinya tidak hilang. Jika angin suci hilang maka puja yang dijalankan untuk dewata tidak akan memberi kesan. Pendek kata, kaum Brahmana dianggap sebagai kaum sarjana dan orang alim.  

Pedanda yang disebutkan itu adalah seorang lelaki tua berusia 70 tahun. Dia itu seorang cendekiawan dan juga masuk ke pathasala yang pada zaman itu macam pusat pengajian universiti hari ini. Dia hidup bahagia bersama keluarganya dan hidup dengan menjalankan pemujaan di koil berdekatan, iaitu koil Kartika Dewi. Tetapi, satu hari keluarganya menyedari bahawa seluruh tubuh pedanda itu melepuh dan dia demam. Mereka hantarnya berjumpa dengan dukun kampung. Dukun kampung menyatakan bahawa pedanda terkena penyakit cacar air. 

Zaman itu, penyakit cacar masih tidak mempunyai penawar seperti hari ini. Daripada 10 pesakit, hanya seorang yang terlepas hidup. Kini, sudah ada vaksin yang disuntik sejak seseorang itu masih bayi lagi. 50 tahun dulu, manalah ada kes penyakit cacar ini dikesan di India. Sesiapa yang terselamat daripada penyakit itu, maka tubuhnya akan berparut dan ada setengahnya yang buta. Peringkat awal, tubuh yang dijangkiti penyakit ini akan mengalami demam panas dan melepuh ditumbuhi biji-biji termasuk di dalam mata dan di lidah. Lepuhan ini akan meletup dan tubuh pesakit akan berdarah sampai kering. Kata penulis, ia memang teruk dan boleh merebak dengan pantas jadi pesakit mesti diasingkan dari orang ramai. Mereka akan ditempatkan di rumah berasingan dan pelayan akan menghidangkan makanan serta air. Selain itu, tidak ada sebarang penjagaan atau pun perawatan diberikan kepada pesakit. 

Menyedihkan sekali, perkara ini turut terjadi kepada pedanda itu. Dia diasingkan ke pondok sebelah rumahnya dijaga oleh pelayan. Anak-anak pedanda itu menjauhinya. Tubuhnya teruk dilanda cacar sehingga matanya pun buta. Ada cacar juga di lidah dan tekaknya jadi susah untuk dia makan dan minum. Dia menderita dalam keadaan begitu dua minggu lamanya sebelum meninggal dunia. Pelayannya menemuinya sudah mati dua hari selepas menghembuskan nyawa terakhir. Tiada siapa pun mendekatinya selama beberapa hari itu. Kerana tubuhnya sudah mereput tetapi tiada sebarang upacara Brahmana untuk melepaskannya sebagai sepatutnya pun. Tubuhnya dibungkus dengan kain lalu kemudian dibakar. Untuk tempoh seminggu selepas pembakaran mayat tersebut, tiada apa pun berlaku.  

Keluarga pedanda itu mempunyai lembu ternakan yang dulunya sihat. Tapi kemudian menjadi lembu gila. Lembu-lembu itu akan membuat bising mengembuh pada waktu-waktu yang tertentu. Lantas satu demi satu mati tanpa sebarang penyakit. Selain daripada itu, keluarga kaum Brahmana itu juga mendengar bunyi menderam di sekeliling rumah mereka pada waktu malam. Anak sulung mendiang pedanda pula mengambil tanggungjawab menjalan pemujaan di koil selepas kematian pedanda itu. Dia selalu ke kolam sebelum terbitnya mentari bagi mandi. Tapi dia dapat melihat tanda-tanda air membasahi batu berdekatan kolam. Nampak seperti seseorang mandi di situ, dan perkara itu memang menggemparkan kerana kolam tersebut adalah harta peribadi selain anak sulung pedanda itu yang awal sekali bangun menggerakkan seluruh keluarga selepas kematian bapanya.

Kemudian, perlahan-lahan pula lembu-lembu ternakan rumah berdekatan mati. Keadaan ini mencetuskan cakap-cakap bahawa roh pedanda itu tidak tenang dan tidak gembira dengan pengebumian yang dijalankan. Ia disahkan oleh kejadian-kejadian apabila ahli keluarga pedanda itu nampak tanda berbentuk kaki manusia (mungkin besar sedikit dari kaki manusia biasa) berdekatan rumah. Perkara menakutkan lagi, daun-daun gugur dekat dengan tanda itu nampak separuh terbakar.

Seluruh kejiranan kaum Brahmana gempar dan ketakutan. Mereka memanggil tukang tilik untuk mendapatkan penyebab kepada semua perkara itu. Tukang tilik ternampak tanda-tanda lalu menjalankan pemujaan dan tapa. Selepas itu, dia mendapat kefahaman bahawa pedanda itu tidak tenteram jiwanya. Katanya, pedanda menjadi Brahma Raksha. Bila mana seorang Brahmana meninggal dunia dengan kematian beragan, maka jiwanya menjadi Brahma Raksha. Entiti paranormal ini sebenarnya lebih berkuasa daripada pisacha bhutam kerana mereka semua adalah bekas pedanda semasa hidup. Mereka mempunyai corak tertentu dalam perjalanan mereka. Dikatakan, baarangsiapa yang terserempak dengan mereka dan ditenungnya maka dia akan mati terbakar.

Brahma Raksha juga menyerang dan membunuh lembu. Jadi hal ini menjelaskan kenapa lembu-lembu mati dan terdapat kesan tapak kaki dekat rumah pedanda. Tukang tilik menjelaskan bahawa bukan senang hendak menenangkan Brahma Raksha tetapi dia akan cuba sebaik mungkin. Jadi, dia menjalankan lagi puja dan memberikan upacara perlepasan yang betul untuk si mati. Mereka membuat satu tapak semadi, iaitu batu yang menjadi nesan selepas menjalankan upacara pengebumian untuk pedanda. Tukang tilik meminta keluarga itu supaya menyalakan pelita di tempat semadi pada petang sebelum tenggelam matahari setiap hari!

Selepas itu, tiada kejadian pelik berlaku lagi. Namun tukang tilik menyatakan bahawa walaupun jiwa itu sudah aman dan tidak akan mengganggu yang lain atau mencetuskan kekacauan terhadap lembu-lembu tapi haruslah dielakkan sesiapa pun daripada mengganggu jalan roh pedanda itu. Dikatakan juga, sehingga kini pun ada Brahma Raksha yang berjalan di kawasan tertentu berdekatan dengan semadi mereka. Jadi, selepas masa tertentu iaitu waktu tengah malam tak ada sesiapa pun yang menghampiri kawasan-kawasan itu. Sehingga beberapa tahun pun, anak cucu pedanda itu masih menyalakan pelita di semadinya. 

Seorang Brahmana itu mungkin berubah jiwanya menjadi Brahma Raksha atau Brahma Daitya apabila disentuh oleh orang dari jati yang lain. Kejadian ini terjadi disebabkan oleh kejahilan ahli keluarga Brahmana itu walaupun mereka adalah kaum Brahmana. Mungkin selepas dia mati, tubuhnya disentuh oleh pelayan-pelayannya yang bukan kaum Brahmana dan bukan oleh ahli keluarganya jadi nyawanya menjadi nyawa pendendam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan