Penterjemahan oleh NG
Malam ini saya ingin berbicara mengenai hantu. Mesti ramai yang pikir bahawa hal ini sesuatu yang pelik terutamanya dalam zaman moden yang dipenuhi oleh teknologi terkini. Kenapa lah ada lagi orang yang nak bercakap tentang hantu?
Sebenarnya, pada zaman lampau pun para resi semua cuba mengelakkan berbicara tentang perkara ghaib ini jika mereka mampu. Sebagai seorang Cina, saya bawakan Konfusius sebagai contoh. Beliau sendiri tak pernah bercakap mengenai hantu. Tapi pada malam yang gelap ini, kita sedang masuk ke perbicaraan mengenai hantu. Tak pelik kah begini? Bila sebut saja hantu, mesti akan muncul rupa yang menakutkan dalam pemikiran kita, wajah mereka yang pucat, rambut yang mengerbang dan bertaring bagai. Kebenarannya, hantu-hantu ini sebenarnya tidaklah menakutkan sangat pun. Hakikatnya, banyak juga daripada mereka ini yang agak comel.
Hantu ini seperti juga jenis binatang yang berlainan jenis. Setengahnya menakutkan seperti singa atau harimau sementara yang lain pula comel seperti arnab atau pun sepolos anak kucing. Ajaran Buddha tidak mengajar kita supaya memuja hantu-hantu, tetapi ajaran Buddha memang ada menyebut tentang kewujudan hantu. Alam yang didiami hantu ini merupakan salah satu daripada enam alam kewujudan dalam kehidupan makhluk berperasaan berhati nurani. Enam alam itu adalah petala neraka, alam hantu, alam haiwan, alam manusia, alam sorgaloka dan alam para asura.
Ramailah yang tak percaya kewujudan hantu ini. Setengahnya sengaja menafikan kewujudan hantu. Mereka selalu juga berkata sambil berjenaka, "Ah, tak percayalah aku dengan hantu-hantu ini!" Walau bagaimanapun, kerana setengah orang ini menafikan kewujudan jenis makhluk ini adakah bererti bahawa jenis makhluk ini tak wujud juga? Manusia seluruh dunia, percaya adanya hantu. Ada banyak jenis cerita mengenai hantu walaupun dalam negara yang paling moden dalam dunia misalnya seperti di Amerika Syarikat atau pun di benua Eropah. Hantu Abraham Lincoln dikatakan kadang-kadang muncul di Rumah Puteh. Risalah pelancongan juga pernah diterbitkan menjelaskan mengenai 29 rumah berhatu di Amerika Syarikat.
Di Taiwan ini, saya kadang-kadang melawat dua rumah tempat hantu terkenal selalu muncul. Satunya di Chiayi. Ia sebuah rumah moden yang cantik dengan taman yang luas tapi tiada siapa yang berani tinggal di situ sebab hantu kata mereka. Di Taipei, saya melawat satu lagi rumah berhantu di Jalan Jenai betul-betul dekat dengan balai polis. Pintu rumah itu terkatup rapat dan tiada siapa pun tinggal di situ bertahun lamanya. Kata orang hantu selalu menjelma di situ.
Kita tak perlulah nak menafikan kewujudan hantu sama ada ia wujud atau pun tak wujud. Kita sudah tahu pun bahawa banyak jenis hidupan yang tinggal bersama berkongsi bumi ini. Ada burung, ikan, serangga dan haiwan dari pelbagai jenis spesisnya yang menambahkan keindahan dan kepelbagaian dalam hidup. Jika ada hantu dalam kalangan kita, tidakkah ia menambahkan lagi tarikan dalam hidup kita ini? Hanya manusia yang berpemikiran cetek dan angkuh sahaja menafikan kewujudan makhluk lain yang berbeza dari kejadian dirinya. Manusia itu bergerak cergas di siang hari dan di awal petang. Hantu pula katanya giat cergas pada lewat malam. Mereka tak mengganggu kita dan kita pun tak mengganggu mereka. Bukankah ini satu susunan yang menyenangkan?
Dalam 25 Cetera Bersejarah, ada cerita tentang seorang sarjana Cina bernama Yuan Chienli. Walaupun beliau ini banyak membaca dan menulis puisi, tapi masihlah dia tak percaya akan hantu. Satu tengah malam, seorang lelaki budiman yang nampak seperti sarjana melawat Yuan Chienli. Pelawat itu adalah seorang asing tapi bercakap dengan penuh hikmat dan kedua-dua mereka itu bercakap tentang banyak perkara. Akhirnya, perbincangan mereka itu menyentuh mengenai hantu. Yuan Chienli begitu tegas sekali dengan penafiannya terhadap kewujudan hantu. Kata, "Ah, tidak ku percayai hantu-hantu semua. Bagaimana seorang yang sarjana seperti kau ini pun percaya benda mengarut seperti penjual ikan dan orang kampung?" Pelawat tersebut memberikan pelbagai contoh berulang-ulang demi membuktikan kewujudan hantu, tapi Yuan tetap dengan penafiannya tentang kemungkinan wujudnya hantu atau roh-roh sekeliling. Katanya, "Kalau aku nampak sendiri dengan mata kepala aku, barulah aku percaya ada hantu!" Tatkala itu juga, kelakuan pelawat itu berubah terus. Katanya, "Orang cerdik pandai dan ahli falsafah seluruh abad pun percaya wujudnya roh-roh dan hantu, tapi kau tetap menafikan mereka wujud. Baiklah, kau lihat ini... kerana aku ini adalah seekor hantu!" Sesaat itu juga, wajah tetamu Yuan itu berubah menjadi hodoh dengan rambut mengerbangnya mata berapi. Yuan begitu takut sekali sehingga pucat lesi wajahnya, lalu jatuh terduduk. Kemudian dia menderita demam sehingga genap tempoh setahun, maka meninggallah dia.
Saya tidak pastilah sama ada tuan-tuan dan puan-puan rakan sekelian akan percaya dengan ceritera ini atau tidak. Tapi bolehlah diperiksa sendiri. Jika seorang cendekiawan berseorangan memakai serba putih bertamu di rumah anda pada tengah malam, beranikah anda bercakap dengannya? Bagaimana pula dengan wanita pemalu berwajah pucat mengetuk pintu rumah anda pada malam hari? Adakah anda akan benarkannya bertamu singgah di rumah anda?
Ramai orang berkepercayaan salah bahawa lepas kematian, semua orang akan jadi hantu. Jasad yang sudah mati menakutkan orang ramai sebab mereka percaya badi jasad itu akan melekat kepada mereka jika mereka mendekatinya. Bila orang tua meninggal, dalam budaya Cina kita akan ada upacara peringatan untuk roh mereka yang sudah meninggal itu. Mereka ingat yang orang tua mereka itu menjadi hantu yang dicelup dalam neraka. Kalau tidak ditenangkan dengan semahan dan upacara maka mereka menjadi anak cucu yang tidak setia tiada mengenang budi. Tapi, adakah ini sikap yang menghormati bila kita pikirkan semula? Kenapa orang ramai tidak pikir yang nenek moyang mereka boleh juga terjelma di sorga loka atau Tanah Murni?
Walaupun ajaran Buddha mengiktiraf kewujudan hantu, tapi ajaran Buddha tiadlah mengajarkan bahawa setiap orang itu akan menjadi hantu atau turun ke neraka. Lepas mati, setengah orang akan naik ke sorga loka, setengah yang lain akan dijelmakan semula menjadi manusia dalam tubuh kasar lain. Seseorang itu harus menjana banyak karma buruk untuk terjelma menjadi hantu selepas mati. Jadi, macam mana pula semua nenek moyang yang mati itu disangka menjadi hantu? Lagi pula, hantu atau roh sebenarnya tak berkuasa menyakiti kita. Mereka bukanlah jahat atau menakutkan sangat seperti yang dipercayai orang ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan