Jumaat, 19 April 2013

Mistik: Perbincangan mengenai Hantu 1

Oleh Bapa yang Penyantun, Bhagyasali
Terjemahan oleh NG


Jadi marilah tuan-tuan dan puan-puan kita masuk dalam perbincangan mengenai hantu ini....

1. Hantu Jahat atau Hantu Baik serta Hukum Penyebab

Dalam dunia ini, ada orang baik dan orang jahat. Sama lah juga dengan dunia hantu pun. Ada hantu baik dan hantu jahat. Walaupun ada orang jahat dalam dunia, orang baik pastilah melebihi mereka yang jahat. Keadaan yang sama juga dengan hantu. Ada setengah hantu itu sangat jahat, tapi kebanyakan hantu itu adalah roh yang baik. Manusia sebenarnya lagi jahat daripada hantu. Manusia selalu berbuat perkara yang hantu pun tak pernah terpikir hendak lakukan.

Di seberang lautan, ada lah seorang lelaki ini bernama Sung Tingpo. Suatu malam, Sung bergegas pulang ke rumah tetapi dia tiba-tiba terserempak dengan hantu. Sung cuba berlagak berani dan dia bertanya, "Kau ini siapa dan kenapa kau berjalan pelik sebegini?"

"Aku ini hantu, sebab itulah gaya berjalanku pelik. Kau itu pula siapa?" jawab hantu itu.

Sebaik mendengar jawaban hantu itu maka takut terketar-ketarlah Sung. Lebih menakutkannya lagi, dia pula adalah manusia. Dia bimbang hantu itu akan mengapa-apakannya jika dia mengakui yang dia itu manusia. Ketika itu juga muncul ilham di benaknya. Sung berkeputusan untuk berbuat perkara yang manusia sangat hebat dalam melakukannya. Iaitu menipu.... Jawab Sung, "Aku pun seekor hantu juga". Hantu itu cuba memastikan, "Kau ni betul kah seekor hantu? Kau nak ke mana itu?" Jawab Sung, "Aku hendak ke pekan". "Bagus tu! Aku pun mahu ke pekan, jom kita jalan bersama ke sana?" Jelas sekali hantu berasa gembira kerana temannya itu pun mahu ke tujuan yang sama. Sung tiada pilihan lain lagi melainkan mengangguk sahaja dan berjalan bersama. Sebab jauhnya perjalanan, maka Sung terasa letih lalu dia tertinggal di belakang sedangkan hantu sudah terkedepan. Seketika, apabila kedua-dua mereka menunjukkan rasa keletihan maka hantu berpaling kepada Sung dan menyarankan sesuatu. "Pekan masih jauh lagi ni", kata hantu. "Berjalan lama begini, pastilah kita akan kepenatan. Marilah kita bergilir-gilir dukung mendukung. Jadi salah seorang daripada kita dapat berehat bergilir-gilir tetapi kita masih lagi meneruskan perjalanan. Apa pendapat kau dengan cadanganku ini?". "Bagus juga buah pikiran ini", kata Sung.

"Baik, biar aku tanggung kau dulu". Sejurus ditanggungnya Sung di belakangnya terasa beratlah dia lalu mengeluh. "Oooh, beratnya kau ni! Macam mana kau jadi berat begini?", tanya hantu. Hantu tak mempunyai jisim maka tiadalah beratnya. Hantu ini adalah sejenis roh atau dari jenis tenaga. Jadi, bagi hantu manusia itu berat dan bersifat legap. Apabila didengarnya soalan hantu, ditipunya lagi hantu itu. "Memanglah aku ini berat. Aku baru saja meninggal". Hantu pun percaya saja dan meneruskan perjalanan dengan Sung ditanggungnya di belakangnya.

Selepas seketika, mereka menemui sebatang sungai. Hantu berhenti sejenak dan berkata, "Baik kita berenang menyeberangi sungai ini". Maka, dia pun menyelam dalam air dan melompat dengan bantuan kabus malam. Apabila sampai ke seberang, hantu pun berpaling dan nampak Sung sedang terhegeh-hegeh di tengah sungai menguis air sambil membuat bunyi bising. Akhirnya, Sung sampai juga ke tebing satu lagi. Sebaik sahaja dia sampai, hantu segera mendekatinya dan bertanya, "Kenapa kau buat bising semasa berenang? Nanti kalau ada orang lalu sekitar sini pastilah mereka akan ketakutan!". Sung nampak yang hantu mula mengesyakinya jadi dia menggunakan helah terbaiknya itu lalu mengulangi penipuannya seperti sebelum itu. "Aku baru saja meninggal, manalah aku tahu cara nak berenang seperti hantu lagi".

Kedua-dua mereka pun meneruskan perjalanan ke pekan. Ketika berjalan Sung berkata dalam hatinya, "Sial betul malam ni. Aku kena berjalan dengan seekor hantu pula. Macam mana lah nak melepaskan diri daripadanya?!" Kemudian Sung bersuara bertanya teman hantunya itu, "Kawan, aku baru saja meninggal. Aku tak begitu jelas lagi dengan alam hantu ini. Pengalaman kau mesti luas daripada aku. Cuba kau beritahu aku, perkara apa yang menakutkan kepada kita yang jadi hantu ini? Kita kena berhati-hati dengan apa ya?"

"Jaga-jaga dengan air ludah manusia", jawab hantu. "Kalau manusia meludah pada hantu dan terkena hantu itu, maka tak dapatlah hantu selamatkan dirinya". Hantu itu jujur sekali dalam jawabannya. Di atas mereka, langit mula menyingkap tabir ke waktu siang bila kelihatan cahaya menerobosi awan-awana gelap. Hampir waktu subuh ketika itu. Kedua-dua Sung dan hantu semakin menghampiri kawasan pekan.

Sung mencari peluang terbaik apabila hantu tidak melihatnya. Dia mengumur ludahnya dan meludah sebanyak mungkin atas belakang hantu. Sekelip mata saja hantu berputar-putar dan jatuh ke tanah. Hantu mengelupur kesakitan sebelum hilang. Di tempat hantu hilang kemudian muncul seekor kambing gunung. Sung menangkap kambing itu dan menjual kambing itu dengan harga mahal.

Cerita ini menunjukkan bahawa manusia itu lebih kejam dan penipu daripada hantu. Kadang-kadang, hantu membantu kita tapi kita membalas budi mereka dengan mengenakan kejahatan kepada mereka. Jadi, ada benarnya bahawa manusia itu lebih teruk daripada hantu.

Hantu jahat yang menyakitkan manusia memang ada. Tapi jika bersikap arya dan berkebajikan dalam kehidupan maka mereka tidak boleh menyakiti kita. Ada pepatah bahasa Cina menyebut, "Kalau buat jahat di siang hari, elok dirisaukan malam hari nanti hantu setan mengetuk pintu rumah kita". Hantu yang di luar diri kita tidaklah menakutkan seperti hantu yang berada dalam diri kita.

Suatu ketika dulu ada seorang bhikku tua yang duduk bertapa apabila hantu berambut mengerbang dan bermata liar muncul depannya. Hantu itu cuba mengganggu ketenangan minda bhikku. Bhikku tua itu memandang hantu dan berkata, "Woi, apa kejadahnya ini? Semak sekali aku tengok kau! Cuba kau tengok rambut dan mata kau tu! Buruk benar rupa kau, macam ini kah kau melawat orang?!" Apabila hantu nampak yang bhikku pertapa tak takut sebaliknya dikhutbahkan lagi maka dia menarik mukanya menjadikannya lebih menakutkan sambil menunjukkan taringnya serta menjelirkan lidahnya sepanjang-panjangnya. Bhikku berkata, "Kau ingat hebat sangat kah buat macam itu? Muka kau itu sama saja macam muka aku, mungkin pucat sedikit dan gigi kau bertaring lidah kau panjang terjelir. Itu saja!"

Bila buat begitu pun gagal menakutkan bhikku pertapa, maka diubahnya rupanya. Dihilangkan mata dan hidungnya. Kemudian tangan dan kakinya dihilangkan. Bhikku masihlah tetap begitu, berkelakuan biasa saja seperti tiada sesuatu yang pelik pun terjadi. Kata bhikkhu, "Kesian aku tengok kau! Mata tak ada, hidung tak ada tangan dan kaki tak ada. Simpati dengan kau!" Tindakbalas bhikkhu pertapa itu menyebabkan hantu itu mengalah lalu dia pun menghilang begitu saja. Bila bhikkhu itu nampak hantu menakutkan itu menjelma, dia sebenarnya berasa kesian saja dengan hantu itu sebab hantu itu sedang menjana karma buruk walaupun selepas menjadi bentuk roh. Belas kasihan tiada sebarang musuh. Segala kejahatan, gangguan, halangan dan sebagainya akan mencair menjadi sunyi pada muka belas kasihan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan