Kedudukan dan Tindakan
Dalam sastera selepas turunnya wangsit weda, betara Indera digambarkan dengan ciri-ciri yang lebih kemanusiaan dan banyak pula kenakalannya jika dibandingkan dengan dewata wedika lain. Penganut agama Hindu yang moden juga cenderung melihat betara Indera sebagai dewata kecil sahaja jika dibandingkan dengan dewata Hindu lain di kahiyangan seperti Betara Guru, Betara Wisnu Narayana dan Dewi.
Cetera purana menggambarkan tunduknya kebanggaan betara Indera dalam ceritera bukit Gowardhana apabila begawan Kresna yang merupakan tetesan jelmaan Betara Wisnu menanggung bukit itu dan melindungi pemuja baginda disebabkan mereka tak memuja betara Indera. Baginda betara Indera menurunkan hujan tak henti-henti atas kampung itu.
Cetera lain dalam Mahabharata pula menyebut bahawa Karna cuba mendapatkan pahala dan nama dengan menjadi Dhanawira. Begawan Kresna mengambil kesempatan daripada sikap dermawan Karna ini. Baginda mendapatkan betara Indera yang merupakan ketua segala dewata ketika itu lantas meminta kawasam dan kundalam sebagai dana pemberian bagi Karna. Karna mendermakan kedua benda itu pula lalu menyebabkan dirinya lemah. Kagum dengan kesungguhan Karna menderma kebajikan itu, maka betara Indera pun memberi lembing yang tak pernah tersasar dari tujuannya tapi ia hanya berguna sekali sahaja.
Sumpahan Maharesi Gautama
Betara Indera pernah menggoda Aghalya, iaitu isteri kepada Maharesi Gautama. Hubungan kedua mereka itu sebenarnya tak berlangsung baik pun. Maharesi Gautama mendenda betara Indera dengan menyumpah yang betara Indera hilang kejantanannya dan Aghalya pula disumpah tak kelihatan di mata sesiapa pun menjadi halimunan.
Betara Indera dan Semut
Dalam Purana Bramhawaiwarta, betara Indera mengalahkan si Wertra lalu melepaskan air ke bumi semula. Baginda dinaikkan semula ke pangkat raja segala dewata. Baginda kemudian mengarahkan tukang kahiyangan, Wiswakarma membina istana baginda.
Penuh bongkaknya, baginda terus meminta banyak benda dan kerjanya membuat penambahan pada istana kahiyangan sahaja. Lama-lama, Wiswakarma pun naik jelak lalu bertemu dengan dewa Bramha. Dewa Bramha membuat permintaan kepada Betara Wisnu Maha Agung. Betara Wisnu melawat istana betara Indera dalam jelmaan seorang budak Brahmana. Betara Indera pun menyambut budak itu. Jelmaan Betara Wisnu itu memuji-muji istana betara Indera. Disebut bahawa Indera-Indera sebelumnya pun tak pernah berjaya membina keinderaan sehebat itu.
Awalnya, betara Indera kagum dengan dakwaan jelmaan budak Brahmana itu yang dia mengetahui Indera-Indera sebelum baginda. Namun, kekaguman itu bertukar menjadi ketakutan tatkala budak itu menyebut tentang nenek moyang betara Indera. Budak itu menyebut tentang pusingan besar cetusan ciptaan dan kemusnahan dan juga bilangan loka yang bertaburan menerusi kekosongan itu tak terkira banyaknya, yang semuanya pun ada Indera tersendiri! Jelmaan betara Wisnu mendakwa bahawa dia pernah melihat mereka semua. Semasa budak itu berucap, tiba-tiba masuk sebarisan semut ke dalam balai rong seri keinderaan. Budak itu demi terlihat semut-semut itu lalu tertawa besar. Betara Indera yang kemudian mula merendahkan dirinya bertanya budak itu sebabnya dia tertawa. Budak itu mendedahkan bahawa semut-semut itu semuanya bekas Indera belaka.
Kemudian, pelawat lain pula masuk. Kelihatannya seorang pertapa yang sebenarnya merupakan jelmaan Betara Guru. Di dada pertapa ajar-ajar itu ada setompok bulu dada berbentuk bulatan tapi kosong di tengahnya. Betara Guru mendedahkan pula bulu dada itu sebenarnya bersamaan dengan kehidupan seorang Indera. Setiap kali sehelai bulu dada gugur, maka matilah seorang Indera dan seorang yang lain akan menggantikannya. Betara Indera yang sedar itu pun mula hilang minat terhadap kemewahan dan penghormatan. Baginda menganugerahi Wiswakarma dan melepaskannya daripada tugasan membega-bega istana Indera. Betara Indera sendiri pun ingin meninggalkan keinderaan menjadi pertapa ajar-ajar dan mencari kebijaksanaan. Isteri baginda, dewi Suci yang ketakutan melihat hal itu meminta pedanda Brighaspatti mengubah pikiran suaminya. Pedanda kayangan Sri Brighaspatti mengajarkan baginda untuk melihat kebaikan kedua-dua sekali kehidupan yang berbentuk kejiwaan dan juga kebendaan. Penghujung ceteranya, betara Indera pun belajar bagaimana mencari kebijaksanaan dalam pada memenuhi tugasan baginda sebagai Raja di Seri Indera Kahiyangan.
14 Indera
Mungkin ramai yang mendengar cetera betara Indera ini memikirkan bahawa betara Indera hanya ada seorang sahaja. Sebenarnya, betara Indera ini ramai. Penganut ajaran Buddha sendiri pun tahu akan perkara ini. Makanya, penganut ajaran Buddha tidak menjalankan puja upacara lagi kepada dewata sekelian. Sebaliknya bertapa mencari diri sendiri sahaja. Kerana para dewata sendiri pun terpaksa tunduk kepada perjalanan jagat raya dan dharma.
Harus diketahui penganut agama Hindu, ajaran Buddha dan juga bangsa Brahmana sekelian tak mengira sama ada anda itu penganut ajaran Buddha atau menurut kepada Mpu Brahmana lainnya akan tersebut bahawa setiap Manu itu memerintah semasa satu Manuwantara. 14 Manuwantara itu membentuk satu kalpa. Satu kalpa ini bersamaan dengan sehari dalam kehidupan Bramha. Setiap Manuwantara ada seorang Indera yang bererti baawa setiap satu kalpa itu ada 14 Indera bersilih-ganti!
Resi Markandeya Thaiy berkata bahawa bagi sempurnanya satu kalpa dan dalam satu puranam itu ada tersebut dalam Markandeya Purana dengan perkiraannya terperinci menurut kepada rupakarah usia manusia dan juga tahun surya.
Senarai Indera
Yang ini dari Wisnu Purana 3.1-2
Indra
1. Yagna jelmaan Betara Wisnu
2. Wipaschit
3. Susanti
4. Sibhi
5. Wibhu
6. Manojawa
7. Purandar, yang ini adalah Indera dalam Manwatara kita
8. Bali
9. Adbhuta
10. Santi
11. Wisa
12. Ritudhaama
13. Dewaspatti
14. Suchi
Pusingan loka ini ada 14 Manwantara semuanya. Bila masanya pula loka bumi manusia ini akan hancur pada Manwantara ketujoh seperti yang tersebut oleh pengikut agama orang Arab? Ada tujoh lagi Manwantara yang akan dilalui...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan