Sabtu, 14 September 2013

Betara Indera dalam Ajaran Buddha dan Jina


Ajaran Buddha

Dalam ajaran Buddha , baginda ini disebut sebagai Sang Sakra pemerintah di sorga Trayatimsah. Adakalanya jua, baginda digelar Indera atau Dewanam Indra

Ajaran Jina

Betara Indera dikenali sebagai Saudharamendra dan merupakan pelayan kepada para Thirtankara Jina. Betara Indera muncul dalam hampir setiap cetera berkaitan Mahawira. Disebut bahawa betara Indera sendiri yang menguruskan dan merayakan lima peristiwa bertuah dalam kehidupan para Thirtankara Jina seperti Chawana Kalyanaka, Jalma Kalyanaka, Diksa Kalyanaka, Kewalgiyana Kalyanaka dan Nirwana Kalyanaka

Indera di Rantau Hindu Purwa

Siam

Di Siam, nama upacara Brahmana bagi kotaraya Bangkok iaitu Krung Thep Mahanakhon Amon Rattanakosin Mahinthara Yuthaya Mahadilok Phop Noppharat Ratchathani Burirom Udomratchaniwet Mahasathan Amon Phiman Awatan Sathit Sakkathattiya Witsanukam Prasit didakwa sebagai nama yang diberi oleh betara Indera pada keinderaannya yang dibina oleh Wiswakarma. Cap mohor negeri Surin di Siam pun mempunyai rupa betara Indera duduk di atas Airawata. 

Kemboja

Angkor Wat yang merupakan bekas pura agung dalam bandar dibina sebagai pura diraja dan juga diperguna oleh baginda maharaja Suryawarman II pada 1112-1152. Ia merupakan bahagian pecandian antara terbesar di loka ini. Pada dasarnya, ia merupakan candi menyimpan abu maharaja dan keluarga diraja. Namun lagenda lainnya pula, tersebut bahawa ia dibina oleh anakanda betara Indera, iaitu maharaja Preh Katomilia. Suatu hari, baginda naik ke keinderaan melawat ayahanda baginda. Di situ semuanya lengkap sempurna termasuklah bangsalnya. Baginda sukakan tempat yang dilindungi dan disucikan untuk melindungi binatang jadi baginda mahu membawa rupa itu ke bumi. Maka, Angkor Wat itu adalah replika bagi bangsal betara Indera di kahiyangan sana. 

Rantau Nusantara

Di Pulau Bali, tersebut bahawa Pura Tirtha Empul itu terbitannya berkaitan dengan betara Indera jua. Air mata air suci di situ dicetuskan oleh betara Indera yang tenteranya pernah diracun oleh Mayadanawa. Betara Indera menyeret bumi dengan pedang baginda bagi mencetuskan air mata air keabadian dan mengembalikan kesegaran tentera baginda. 

Rantau Eropah dan Afrika

Orang Roma atau orang Gipsi masih menyebut betara Indera sebagai dewata lambang bangsa mereka. Indera itu sama ertinya dengan Raja. Di Yunani dan India, Aleksa-Indra merupakan gelaran kepada penakluk Yunani dari Makadunia, Alexander the Macedonian. Nama Indra ini menjadi nama orang, kota-kota dan pekan di banyak negara Eropah, negara Rusia, Timur Jauh dan juga di Afrika Utara seperti di Mesir: Iskandariah atau Alexandria.

Asia Timur

Sebelah Asia Timur seperti China, Korea dan Jepun pun betara Indera dikenali ramai. Nama baginda di sana disebut sebagai Taishaku Ten atau Hwan In. Di Jepun, baginda digambarkan berdepan dengan dewa Bramha atau Bon Ten dalam kesenian candi Buddha Jepun. Betara Indera dihormati sebagai pelindung para Buddha lampau dengan mencelup sang Saka dalam air penyucian. Baginda digambarkan sebagai Bodhisattwa atau ciptaan yang dicerahi. Di China, baginda digambarkan berpakaian wangsa T'ang bersenjata dan memegang petir di atas gajah.

Setengah penganut ajaran Buddha di China menganggap Maharaja Jed dalam agama Tao orang Cina sebagai pentafsiran lain bagi betara Indera. Dalam aliran ajaran Buddha Mahayana cawangan Huayen dan di mana-mana pun, rupa jaring betara Indera itu merupakan gambaran kepada kekosongan segala benda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan