Para Siddha ini merupakan lelaki dan juga wanita yang datang dari segala tingkatan kemasyarakatan dan mereka menjalani kehidupan menurut gaya kehidupan tersendiri. Boleh jadi mereka berada dalam kelompok pengemis, kelompok penjenayah, kelompok buruh, kelompok raja atau pentadbir kerajaan, boleh jadi juga ada dalam kelompok bangsa Brahmana yang mempelajari weda dan sasteragama sekeliannya.
Walaupun berbeda tingkatan kedudukan mereka dalam masyarakat, namun mereka ini duduk bersama disebabkan oleh kebaktian mereka kepada para guru agung, disebabkan oleh aspirasi kerohanian mereka itu bersangatan sekali. Setiap satu mereka menurut kepada cara mereka tersendiri mungkin mengalami masalah peribadi dan merasakan bahawa diri mereka itu lemah, tak mampu untuk menyelesaikannya dengan cara biasa. Lalu, pada titik tajam yang kritikal ini mereka pun secara tak sengaja menemui seorang guru kerohanian. Mungkin seorang siddha, atau seorang tantri yang mengangkat mereka ke dalam lingkaran Wajrayana. Lalu, mereka mula belajar bertapa dan mengamalkannya bagi membebaskan kekusutan disebabkan oleh mata benda loka pengikat minda dan hati.
Maka ramailah yang berada dalam lingkaran ini melaksanakan pengorbanan mereka dalam persendirian. Mungkin masuk ke hutan bertapa, berdiam di gua meninggalkan kehidupan berkeluarga sementara yang lain pula berada dalam putaran lokamaya ini tapi sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga mata hatinya dan senantiasa dalam tapa. Aku adalah golongan yang kedua itu kerana aku bertanggungjawab dalam kebaktian terhadap ibu bapa aku sedangkan aku seorang sahaja anak lelaki. Kemasukan aku bukan menurut cara Wajrayana. Tapi, sebaliknya menerusi Phra Buddha Chao Siddhartha Gautama sendiri dan menurut aliran Therawada. Pada masa yang sama, aku mengamalkan juga tradisi Brahmana Waisnawa.
Dari Seorang Yogin Prawisati Seorang Siddha
Selepas bertahun-tahun beramal, pelajar berbakti mencapai pencerahan maka menjadilah dia Siddha. Walaupun masih berada dalam lokamaya, namun masihlah mereka tergantung kepada kehidupan menurut warnasrama mereka, mengajar orang secara diam-diam atau terangan dan melatih orang lain ke jalan Siddha.
Dalam cetera kehidupan mereka, digambarkan bahawa cara hidup mereka bukan seperti orang biasa. Pandangan dalaman mereka, cara bercakap mereka, kebolehan dan juga pemikiran mereka berbeda daripada cara orang biasa yang hidup semasa samaya mereka. Kadangkala nampak seperti mereka ini gila, bercakap sesuatu yang tak dipahami orang, serta menyembunyikan sebolehnya pencapaian mereka daripada dilihat orang ramai kecuali kepada para pelajar terdekat mereka.
Disebabkan para Siddha ini hidup di luar lingkungan biara, pengamalan mereka pula tak menurut upacara yang ketat dan juga amalan tantra maka digambarkanlah dalam biografi Hindu yang piawai bahawasanya mereka ini bukan jenis pendita pedanda walaupun ada dalam kalangan Siddha itu dari bangsa Brahmana yang memang berpengetahuan sastera dan telah mempelajari weda-weda Hindu.
Wajrayana dengan Tiga Cara Hidup
Wajrayana masih dirujuk sebagai tradisi bukan berdasarkan biara sampailah ke sekitar kurun ke-9 M apabila ia mula menubuhkan kebiaraannya tersendiri. Sama seperti 18 aliran dan aliran Mahayana sebelumnya. Dalam kurun ke-9 M sampai ke-12 M, biara yang dibina menyaksikan pengaruh Wajrayana. Kesusasteraan Wajrayana dipelajari dan dikaji di biara-biara seperti di Tibet dan di India. Sarjana pun timbul dan semuanya diajarkan juga dengan prinsip triyana atau tiga aliran iaitu Therawada, Mahayana dan Wajrayana. Aliran Wajrayana ini katanya, boleh disesuaikan dengan kehidupan para yogi, upasaka atau pun bhikkhu yang berdiam dalam biara. Tak pastilah, tapi yang aku tahu cara hidup Phra Buddha Chao boleh dijadikan contoh untuk pertapa sekelian. Betara Guru pun mempunyai cara hidup yang boleh dicontohi oleh penganut agama orang Hindu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan