Om Awighnam Astuh!
Cetera mengenai baginda Skandha ini diperkirakan secara asing dalam cetera Hindu dengan perbedaan antara penceteraan itu diperhatikan pula. Pemujaan Sang Kumara Skandha di sebelah Pulau Bali dan Jawa Timur sebagai pusat kehinduan di dalam rantau kepulauan Hindu tidaklah aku pasti ada atau tidak. Tapi di sebelah Siam, dalam kalangan masyarakat pengikut ajaran Buddha yang sebelah selatan bersempadan dengan Tanah Melayu memang memuja Sang Skandha dalam rupa Kataragama Dewa yang dikaitkan pula dengan raja-raja dari keturunan Padmawangsa penganut ajaran Buddha Langkawangsa.
Setengah sastera Sanskerta dan purana menyatakan bahawa baginda ini anakanda tertua baginda Betara Siwa. Yang ini dikaitkan dengan penjelmaan baginda sendiri, pawiwahan Betara Siwa dengan Parwati Dewi disebabkan oleh keperluan menghapuskan Tarakasura. Begitu jua dengan baginda Skandha membantu Betara Siwa melawan Sang Ganesa yang merupakan anakanda Betara Siwa juga dalam Siwa Purana akibat salah paham. Dalam Ganapati Kandam dari Bramha Waiwarta Puranam, baginda pun dilihat sebagai anakanda tua, manakala Sang Ganesa itu yang muda.
Di India Selatan, lain pula ceritanya. Sang Skandha itu yang muda manakala Sri Ganesa itu yang tua. Yang ini pun datang dari cetera puarana jua menyatakan bahawa Sri Ganesa mendapatkan buah pengetahuan diwiyam dari kahiyangan selepas memenangi pertandingan dengan Sang Skandha melalui anjuran Maharesi Narada. Ceteranya berbunyi, semasa Sang Skandha mengelilingi lokamaya ini tiga kali dengan halaju tinggi, Sri Ganesa pula mengelilingi Betara Siwa dan Dewi Parwati tiga kali pula dan akibatnya Sri Ganesa yang menang sebab mengelilingi Yang Maha Tinggi. Maka dapatlah baginda buah tersebut. Selepas menang, sedihlah hati Sang Skandha yang muda itu lalu disemahkan jua buah itu oleh Sri Ganesa kepada saudaranya itu. Kerana perbuatannya itu, maka baginda dianggap sebagai kakanda pula kepada Sang Skandha dan dikaitkan perbuatan itu dengan kebijaksanaan baginda. Banyak pula kejadian ajaib terjadi dalam hidup Sang Skandha semasa belianya, serta cetera menarik berkenaan penjelmaan baginda. Cetera ini semuanya menarik perhatian orang ramai di India Selatan memuja baginda ini sebagai rupa anakanda Sang Hiyang Widdhi, samalah jua seperti pemujaan kepada begawan Kresna semasa kecil baginda di Utara India.
Sakti baginda atau isteri baginda itu dua pula iaitu Si Walli dan Si Dewasena. Nama Dewasenopati itu pun menarik juga dan boleh dipecah-pecahkan membawa pengertian yang bersangkutan. Mungkin tuan-tuan di Nusantara boleh mempertimbang memakai nama ini juga bagi anak-anak lelaki mereka.
Perlambangan
Lambang bagi baginda ini adalah lembing suci yang dalam bahasa Tamil disebut sebagai Wel. Wel ini dipegang baginda dengan menaiki wahana Si Merak Kahiyangan. Kadangkala baginda digambarkan oleh seniman dengan memegang banyak senjata seperti pedang, tempuling, penggada, cakera, dan juga panah walaupun kebanyakan masanya baginda digambarkan dengan saktiwel atau lembing suci.
Saktiwel melambangkan penyucian penyakit dalam jiwa manusia. Tempuling melambangkan perlindungan baginda itu berterbakan jauh, cakera melambangkan pengetahuan baginda mengenai kebenaran, penggada melambangkan kekuatan baginda dan panah menunjukkan kemampuan baginda mengalahkan segala karma buruk dan penyakit. Merak Kahiyangan melambangkan pemusnahan sikap mementingkan diri sendiri atau egoisme. Enam muka baginda melambangkan enam siddhi yang dikaruniai kepada para yogi ajar-ajar sekelian dalam usaha mencapai perkembangan kejiwaan. Jika tuan di Nusantara mencari siddhi, maka pujaan boleh ditujukan kepada baginda juga sebagai "Yang Mengaruniai Siddhi".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan